Sunday, 1 January 2012

An-Naba' -pengertian 9 - 16




9. Dan kami jadikan tidurmu sebagai rehat,
10. Dan kami jadikan malam sebagai pakaian,
11. Dan kami jadikan siang untuk mencari kehidupan,
12. Dan kami bina di atas kamu tujuh lapis (langit) yang kukuh,
13. Dan kami jadikan lampu yang amat terang (matahari),
14. Dan kami turunkan dari awan, air yang banyak mencurah-curah,
15. Supaya kami tumbuhkan dengan air itu biji-bijian dan tumbuh-tumbuhan,
16. Dan kebun-kebun yang subur



Ayat 9 dan 10

“Kami telah ciptakan untuk kamu aktiviti tidur untuk merehatkan badan kamu setelah penat bekerja di siang hari. Tidur ini akan menjana tenaga dan kekuatan, mencergaskan fizikal dan mental. Kami jadikan malam yang gelap dapat menutup pandangan kamu dari pandangan yang boleh menyebabkan meletihkan fikiran seterusnya memberi ketenangan dan kerehatan Ini dibaratkan pakaian yang menutup anggota badan dari cuaca panas, sejuk dan juga menghindarkannya dari penglihatan orang lain Ini akan menyebabkan kamu lebih selesa dan tenang” Ya, malam yang gelap menjadikan kita tidur dengan lebih selesa dan lebih puas. Malam menjadikan skop pandangan menjadi sempit dan mata dan fikiran kita tidak dibebankan dengan pelbgai gambaran dan imej. Suasana gelap menjadikan rehat kita lebih bermakna berbanding dengan tidur dan rehat pada waktu siang.
Ayat 11

“Kami telah jadikan waktu siang yang diterangi dengan cahaya matahari agar manusia dapat melakukan aktiviti dan kerja-kerja harian yang boleh mendatangkan hasil dan manfaat untuk kehidupan. Dengan kecerahan waktu siang kamu dapat menjalankan aktiviti perniagaan, pertanian, perindustrian dan sebagainya untuk menjana ekonomi yang amat penting untuk kehidupan”
Ayat 12 dan 13

“Kami telah bina di atas kamu tujuh lapisan langit yang amat kukuh binaannya dan amat teliti bentuknya. Ianya dihiasi dengan bintang-bintang dan planet-planet yang bergerak. Kami ciptakan matahari sebagai lampu besar untuk menerangi seluruh bumi yang kamu diami. Matahari ini adalah sumber cahaya dan haba yang amat penting kehidupan kamu di dunia malah ia juga berguna untuk semua makhluk yang wujud dibumi ini. Tanpa matahari ini kehidupan tak akan wujud di bumi ini”
Ayat 14 hingga 16

“Kami telah turunkan dari awan-awan yang telah kami proses, air-air yang banyak diturunkan keatas muka bumi dengan teratur. Air hujan ini akan menjadikan tanah subur dan bumi dipenuhi dengan tumbuhan-tumbuhan yang pelbagai. Tumbuhan ini amat banyak dengan pelbagai jenisnya sepeti gandung, beras, barli dan sebagainya sebagai punca makanan kamu dan juga haiwan lain yang hidup di atas muka bumi. Tumbuhan ini pada masa yang sama ada yang mengeluarkan buah, ada yang mengeluarkan wangian pelbagai malah boleh digunakan dan proses untuk membina tempat tinggal kamu.

No comments:

Post a Comment