Sunday 20 January 2013

Kisah Ratu Balqis





Dan sesungguhnya kami telah mengurniakan ilmu pengetahuan kepada Nabi Daud dan Nabi Sulaiman; dan mereka berdua bersyukur dengan berkata: "Segala puji tertentu bagi Allah yang dengan limpah kurniaNya memberi kami kelebihan mengatasi kebanyakan hamba-hambaNya yang beriman". (An-Naml 27:15)

Dan Nabi Sulaiman mewarisi (pangkat kenabian dan kerajaan) Nabi Daud; dan (setelah itu) Nabi Sulaiman berkata: "Wahai umat manusia, kami telah diajar mengerti bahasa pertuturan burung, dan kami telah diberikan serba sedikit dari tiap-tiap sesuatu (yang diperlukan); sesungguhnya yang demikian ini adalah limpah kurnia (dari Allah) yang jelas nyata". (An-Naml 27:16)

Dan dihimpunkan bagi Nabi Sulaiman bala tenteranya, dari jin dan manusia serta burung; lalu mereka dijaga serta diatur keadaan dan perjalanan masing-masing. (An-Naml 27:17)

(Maralah angkatan itu) hingga apabila mereka sampai ke "Waadin-Naml", berkatalah seekor semut: "Wahai sekalian semut, masuklah ke sarang kamu masing-masing, jangan Sulaiman dan tenteranya memijak serta membinasakan kamu, sedang mereka tidak menyedari". (An-Naml 27:18)

Maka tersenyumlah Nabi Sulaiman mendengar kata-kata semut itu, dan berdoa dengan berkata:" Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah daku - dengan limpah rahmatMu - dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh". (An-Naml 27:19

Dan (setelah itu) Nabi Sulaiman memeriksa kumpulan burung (yang turut serta dalam tenteranya) lalu berkata: "Mengapa aku tidak melihat burung belatuk? Adakah ia dari mereka yang tidak hadir? (An-Naml 27:20)

"Demi sesungguhnya! Aku akan menyeksanya dengan seksa yang seberat-beratnya, atau aku akan menyembelihnya, kecuali ia membawa kepadaku alasan yang terang nyata (yang membuktikan sebab-sebab ia tidak hadir)". (An-Naml 27:21)

Burung belatuk itu tidak lama ghaibnya selepas itu, lalu datang sambil berkata (kepada Nabi Sulaiman): "Aku dapat mengetahui secara meliputi akan perkara yang engkau tidak cukup mengetahuinya, dan aku datang kepadamu dari negeri Saba' dengan membawa khabar berita yang diyakini kebenarannya. (An-Naml 27:22)

"Sesungguhnya aku dapati seorang perempuan memerintah mereka dan ia telah diberikan kepadanya (serba sedikit) dari tiap-tiap sesuatu (yang diperlukan) dan ia pula mempunyai singgahsana yang besar. (An-Naml 27:23

"Aku dapati raja perempuan itu dan kaumnya sujud kepada matahari dengan meninggalkan ibadat menyembah Allah, dan Syaitan pula memperelokkan pada pandangan mereka perbuatan (syirik) mereka, lalu menghalangi mereka dari jalan (yang benar); oleh itu mereka tidak beroleh petunjuk, - (An-Naml 27:24)

"(Mereka dihalangi oleh Syaitan) supaya mereka tidak sujud menyembah Allah yang mengeluarkan benda yang tersembunyi di langit dan di bumi, dan yang mengetahui apa yang kamu rahsiakan serta apa yang kamu zahirkan. (An-Naml 27:25)

"Allah! - Tiada Tuhan melainkan Dia, Tuhan yang mempunyai Arasy yang besar ". (An-Naml 27:26)

Nabi Sulaiman berkata: Kami akan fikirkan dengan sehalus-halusnya, adakah benar apa yang engkau katakan itu, ataupun engkau dari golongan yang berdusta. (An-Naml 27:27)

"Pergilah bawa suratku ini, serta campakkanlah kepada mereka, kemudian berundurlah dari mereka; dalam pada itu perhatikanlah apa tindak balas mereka". (An-Naml 27:28)

(Setelah membaca surat itu), berkatalah raja perempuan negeri Saba': "Wahai ketua-ketua kamu! Sesungguhnya telah disampaikan kepadaku sepucuk surat yang mulia. (An-Naml 27:29)

"Sesungguhnya surat itu dari Nabi Sulaiman, dan kandungannya (seperti berikut): `Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani, (An-Naml 27:30)

" `Bahawa janganlah kamu meninggi diri terhadapku, dan datanglah kamu kepadaku dengan menyerah diri (beriman dan mematuhi ajaran agama Allah). ' " (An-Naml 27:31)

Raja perempuan itu berkata lagi: "Wahai ketua-ketua kaum, berilah penjelasan kepadaku mengenai perkara yang aku hadapi ini; aku tidak pernah memutuskan sesuatu perkara sebelum kamu hadir memberi pendapat dan mempersetujuinya". (An-Naml 27:32)

Mereka menjawab: Kita adalah orang-orang yang kuat gagah dan amat berani merempuh peperangan; dan perkara itu (walau bagaimanapun) terserahlah kepadamu; oleh itu fikirkanlah apa yang engkau hendak perintahkan. (An-Naml 27:33)

Raja perempuan itu berkata: "Sesungguhnya raja-raja, apabila masuk ke sebuah negeri, mereka merosakkannya, dan mereka menjadikan penduduknya yang mulia hina-dina; dan sedemikian itulah mereka akan lakukan. (An-Naml 27:34)

"Dan bahawa aku hendak menghantarkan hadiah kepada mereka, kemudian aku akan menunggu, apakah balasan yang akan dibawa balik oleh utusan-utusan kita" (An-Naml 27:35)

Maka apabila (utusan pembawa hadiah itu) datang mengadap Nabi Sulaiman, berkatalah Nabi Sulaiman (kepadanya): "Tidaklah patut kamu memberikan kepadaku pemberian harta-benda, kerana apa yang telah diberikan Allah kepadaku lebih baik dari apa yang telah diberikanNya kepada kamu; (bukan aku yang memandang kepada pemberian hadiah) bahkan kamulah yang bergembira dengan hanya kekayaan yang dihadiahkan kepada kamu (atau yang kamu hadiahkan dengan perasaan megah). (An-Naml 27:36)

"Kembalilah kepada mereka, (jika mereka tidak juga mahu beriman) maka demi sesungguhnya Kami akan mendatangi mereka dengan angkatan tentera yang mereka tidak terdaya menentangnya, dan kami akan mengeluarkan mereka dari negeri Saba' dengan keadaan hina, menjadi orang-orang tawanan." (An-Naml 27:37)

Nabi Sulaiman berkata pula (kepada golongan bijak pandainya): "Wahai pegawai-pegawaiku, siapakah di antara kamu yang dapat membawa kepadaku singgahsananya sebelum mereka datang mengadapku dalam keadaan berserah diri memeluk Islam?" (An-Naml 27:38)

Berkatalah Ifrit dari golongan jin: "Aku akan membawakannya kepadamu sebelum engkau bangun dari tempat dudukmu, dan sesungguhnya aku amatlah kuat gagah untuk membawanya, lagi amanah". (An-Naml 27:39)

Berkata pula seorang yang mempunyai ilmu pengetahuan dari Kitab Allah: "Aku akan membawakannya kepadamu dalam sekelip mata!" Setelah Nabi Sulaiman melihat singgahsana itu terletak di sisinya, berkatalah ia: "Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberianNya. Dan (sebenarnya) sesiapa yang bersyukur maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah". (An-Naml 27:40)

Nabi Sulaiman berkata pula (kepada orang-orangnya): "Ubahkanlah keadaan singgahsananya itu, supaya kita melihat adakah ia dapat mencapai pengetahuan yang sebenar (untuk mengenal singgahsananya itu) atau ia termasuk dalam golongan yang tidak dapat mencapai pengetahuan yang demikian". (An-Naml 27:41)

Maka ketika ia datang mengadap, Nabi Sulaiman bertanya kepadanya: Serupa inikah singahsanamu?" Ia menjawab: "Boleh jadi inilah dia; dan kami telah diberikan ilmu pengetahuan sebelum berlakunya (mukjizat) ini, dan kami pula adalah tetap berserah diri (menjunjung perintah Allah)". (An-Naml 27:42)

Dan ia dihalangi (daripada memeluk Islam pada masa yang lalu): apa yang ia pernah menyembahnya (dari benda-benda) yang lain dari Allah; sesungguhnya adalah ia (pada masa itu) dari puak yang kafir. (An-Naml 27:43)

(Setelah itu) dikatakan kepadanya: "Dipersilakan masuk ke dalam istana ini." Maka ketika ia melihatnya, disangkanya halaman istana itu sebuah kolam air, serta dia pun menyingsingkan pakaian dari dua betisnya. Nabi Sulaiman berkata: "Sebenarnya ini adalah sebuah istana yang diperbuat licin berkilat dari kaca". (Mendengar yang demikian), Balqis berdoa: "Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menganiaya diri sendiri dan (sekarang aku menegaskan bahawa) aku berserah diri memeluk Islam bersama-sama Nabi Sulaiman, kepada Allah Tuhan sekalian alam ". (An-Naml 27:44)



sumber dari: menggapaihusnulkhotimah.blogspot.com

Nabi Sulaiman dan Ratu Balqis






“APABILA ratu itu sampai tanyakan, apakah takhtamu serupa ini?” 
Jawab ratu, “Seolah-olah inilah dia. 
Dan kepada kami telah diberikan pengetahuan sebelum ini, 
dan kami adalah orang-orang yang tunduk kepada Tuhan.
(An-Naml: 42)

Ratu Balqis terpaksa datang mengadap Nabi Sulaiman di istana bagi menyelamatkan diri dan kerajaannya. Ini kerana Nabi Sulaiman bersama bala tenteranya berjanji untuk memerangi Ratu Balqis sekiranya dia enggan beriman kepada Allah SWT.

Maka Ratu Balqis bersama pembesar-pembesar berangkat menuju ke istana Nabi Sulaiman. Setelah sampai di hadapan istana Nabi Sulaiman, Ratu Balqis berasa bingung dan ragu-ragu kerana istana Nabi Sulaiman menyerupai istananya.

“Wahai Balqis, adakah istana aku ini sama dengan istanamu di Saba’?,” tanya Nabi Sulaiman kepadanya.
“Memang bentuk istana ini menyerupai istana aku,” jawab Ratu Balqis.

“Ini adalah istanamu, aku membawa istanamu ke mari dengan mudahnya kerana Allah SWT telah memberi pengetahuan kepada aku. Sesungguhnya aku tunduk dan beriman kepada-Nya.”
“Aku yakin ini adalah istanaku,” jawab Ratu Balqis lagi.


hudhud_by_arconic-300x267

Kemudian, Ratu Balqis dipersilakan masuk ke dalam istana yang lantainya diperbuat daripada kaca yang putih bersih, rata dan licin. Di bawahnya dialirkan air sehingga nampak seakan-akan lantai istana itu penuh dengan air.

Ratu Balqis pun masuk ke dalam istana Nabi Sulaiman. Ketika berjalan masuk ke dalam istana itu, Ratu Balqis menyingkap kainnya agar tidak membasahi gaun yang dipakai sehingga menampakkan kedua-dua betisnya. Dia menyangka lantai istana itu dipenuhi dengan air.

Tidak usahlah kamu menyingkap kainmu itu. Lantai itu bukannya dipenuhi dengan air tetapi ia diperbuat daripada kaca yang sangat nipis dan licin. Oleh kerana itulah ia nampak berkilau-kilauan seperti adanya air,” kata Nabi Sulaiman.

“Ya Tuhanku, sesungguhnya aku telah menganiayai diriku sendiri dengan menyembah matahari. Aku telah tersesat dan melalaikan nikmat yang diberikan oleh-Mu. Ampunilah diriku ini. Kini aku tunduk kepada-Mu dan berserah diri kepada Sulaiman, nabi-Mu dengan penuh keyakinan. Kasihanilah diriku wahai Tuhanku sekelian alam. Sesungguhnya hanya Engkaulah yang berhak disembah,” kata Ratu Balqis.



sumber dari: hazis.wordpress.com

Dakwah dan Halatujunya






Hingga apabila mereka sampai di lembah semut, berkatalah seekor semut, “Hai semut-semut, masuklah ke dalam sarang-sarangmu, agar kamu tidak diinjak oleh Sulaiman dan tenteranya, sedangkan mereka tidak menyedari.” (An-Naml 27:18)

Kelmarin daurah tentang Dakwah dan Halatujunya. Saya tertarik dengan analogi sunnah si semut oleh ikhwah yang menyampaikan pengisian. Perhatikan di dalam surah An-Naml (Semut), seekor semut yang menyedari kemaraan Nabi Sulaiman bersama tenteranya telah segera memberi amaran kepada semut yang lain untuk berlindung di dalam sarang masing-masing.

Prihatin seekor semut dan sikap peduli ke atas kemaslahatan ‘ummat’ semut mesti diteladani oleh para dai’e. Apakah hikmah Allah menyelitkan peristiwa semut ini di dalam Al Quran? Tentulah ia bukan perkara remeh atau kejadian kecil yang tiada kepentingan terhadap kita. Terdapat idea dakwah yang mahu disampaikan di sini.

Muslim yang mempunyai kefahaman menyampaikan dakwah wajib bertindak seperti semut di dalam petikan surah An-Naml diatas- sentiasa awas dengan bahaya di sekeliling dan berusaha menyelamatkan bukan sahaja diri sendiri malah ummah keseluruhannya dari bahaya yang nampak. Apakah bahaya tampak ke atas ummah yang jelas kita ketahui ketika ini? Saya beri satu contoh jawapan- Kejauhan umat Islam dari identiti dan kehidupan Islam. Kebejatan akidah ini kelak akan menghayutkan mereka di dalam maksiat dunia.

Tarbiah dan dakwah tidak boleh dipisahkan. Dakwah bermula dengan tarbiah. Rasulullah SAW mendapat tarbiah berterusan daripada Allah dan malaikatNya Jibril sebelum baginda menyampaikan dakwah Islam kepada sahabat-sahabat. Manfaat tarbiah adalah buat individu yang melaluinya. Kefahaman yang diperoleh daripada pakej tarbiah berfungsi membentuk individu muslim yang terkesan dengan Al Quran dan Sunnah. Kebaikannya untuk menyelamatkan diri sendiri daripada perkara-perkara yang menarik ke neraka. Dakwah pula ialah output tarbiah. Muslim yang ditarbiah dan menyimpan agama hanya untuk keselamatan dirinya adalah mereka yang meninggalkan hikmah cerita semut dalam surah An-Naml. Tiada rasa tanggungjawab untuk sama-sama memastikan manusia lain juga harus selamat daripada azab neraka.

Saya rasa sangat kecil apabila memikirkan sunnah si semut. Malah lebih kecil rasanya dari semut. Sehingga umur saya pada hari ini, berapa ramai sahaja yang saya dakwahkan? Belum lagi kalau ditapis berapa ramai pula yang saya sungguh-sungguh mahu menyampaikan Islam kepada mereka. Hujah apa yang saya terpaksa berikan apabila ditanya di akhirat nanti?

Mudah ke dakwah? Saya kata susah (Adakah dakwah yang senang??). Mahu menyelamatkan diri sendiri dari api neraka pun masih merangkak, kena pula menarik sama emak abah, adik-adik, saudara mara, kawan-kawan dan orang sekeliling. Beratnya. Tapi bolehkah saya beralasankan susah untuk bebas dari dakwah? Tidak boleh. Malu kalau semut tahu. Semut pun ‘berdakwah’ menyelamatkan bangsanya dari bahaya. Saya bagi alasan susah? Tak patut..tak patut..



sumber dari: zooxanthellae.wordpress.com

ORANG MELAYU - ALAM GHAIB






Katakanlah! Tidak ada yang dapat mengetahui perkara ghaib baik di langit atau pun di bumi kecuali Allah.� 
(Surah An-Naml, ayat 65)

Jadinya, bagaimana dengan orang-orang yang mengaku mengetahui perkara ghaib atau dapat melihat jin. Betul ke mereka boleh nampak makhluk-mahkluk halus ni? Adakah mereka semua temberang? Kita biasa melihat orang-orang yang dirasuk Jin. Histeria contohnya dikaitkan dengan rasukan Jin. Malah ada yang berbual dengan jin pun semasa mengubati.


Aku sudah tentu percaya makhluk-mahkluk ghaib ni wujud tetapi boleh ke kita manusia ni melihat mereka? Kenapa hanya orang-orang tertentu sahaja yang dapat melihat mereka? Adakah untuk melihat mereka yang halus ini perlu mempelajari atau mengamalkan petua-petua tertentu? Macam angin lah kita semua leh rasa jer tapi tak nampak. Begitu juga dengan kehadiran makhluk-makhluk ini, kita dapat rasa, agak-agak meremang bulu roma tu , adalah kot sebelah kita. Yang ini aku tidak pasti. Yang pasti makhluk-makhluk tersebut memang nampak kita.


Wahai Rasulullah! Sesungguhnya orang yang mendakwa mengetahui ilmu ghaib lazimnya mengkhabarkan kami dengan sesuatu, kemudian kami dapati ia adalah benar!” Rasulullah menjawab:“Ia adalah kalimah (perkara) benar yang diambil oleh seorang jin lalu dibisikkan kepada telinga pengikutnya, kemudian dibuat tambahan padanya dengan seratus kedustaan.” [Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim di dalam Shahihnya – hadis no:2228 (Kitab al-Salam, Bab larangan menilik nasi)]


“Wahai Rasulullah! Ada perkara yang kami lakukan zaman Jahiliyyah (seperti) mengunjungi orang yang mengetahui ilmu ghaib.” Rasulullah menjawab: Jangan mengunjungi orang yang mendakwa mengetahui ilmu ghaib.” [ Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim di dalam Shahihnya-hadis no: 537-1 (kitab al-Salam,Bab larangan menilik nasib].





Sekarang ni pula ramai orang kita kecoh pasal tarikh lahir. Penuh dewan. Dengan tarikh lahir akan dapat menentukan keperibadian , kebaikan dan keburukan seseorang itu juga kununnya boleh mengandaikan nasib masa depan kita. Contoh kalau campur-campurlah tarikh lahir kita akan mendatangkan nombor 8. Aaaaa kalau nombor 8 maksudnya seseorang itu akan menjadi seorang pemimpin, berdaya maju dalam semua tindakan seperti kerjaya, perniagaan dan lain-lain lagi. Fuhhhh punyalah berjuta orang ada nombor 8 tuuuu. Entahlahhh... masing-masing... Kelakar pun adakan. Kalaulah dorang ni boleh menetukan masa depan atau nasib seseorang tu, aku rasa dorang mesti perbaiki masa depan dorang terlebih dahulu. Tapi macam itu aja tengok gayakan. Tapi dorang berjaya lah ... berjaya dapat duit kita. Entahlah..


Kita juga biasa mendengar ada orang boleh mengubat seseorang daripada jarak jauh. Ada orang yang boleh mengetahui kita ni ada pemakai atau tidak. Ada orang mendakwa dapat melihat jin-jin yang berkeliaran. Ada orang yang 'buat' orang seperti pukau dan lain-lain. Ada orang yang boleh meramal kita ni selamat atau tidak. Macam-macam. Persoalannya, betul ke mereka ini? Betullah kot tetapi Nabi telah menasihatkan kita supaya menjauhi orang-orang yang mendakwa mengetahui ilmu ghaib ini. Bermakna perkara itu benar tetapi kita dinasihatkan jangan dekati orang itu. So jelas. Orang-orang yang mengaku kebal dan hebat ini , kenapa tidak pergi melawan Amerika yang banyak menindas orang-orang Islam. Kenapa tidak pergi membantu orang-orang yang teraniaya kalau mereka benar dan ilmu ghaib mereka itu dibenarkan dalam Islam? Heran kan....



Kalaulah orang yang mendakwa mengetahui perkara ghaib ini boleh jadi hebat, terfikir pula aku, kenapa nabi dan sahabat-sahabat tidak mempelajari ilmu ghaib ini? Kenapa bersusah payah berperang demi mempertahankan agama Islam. Sampai gugur syahid. Kalau Nabi kita pun tidak mahu belajar atau diajar, kenapa kita perlu belajar? Dan juga jelas dalam Al-Quran tidak ada pun pelajaran untuk ilmu ghaib ini. Allah hanya membenarkan penggunaan jin dan setan ini kepada Nabi Sulaiman sahaja. Itulah sekali dan tidak diberikan kepada nabi-nabi lain wahimah kepada Rasulullah pun. Dan Allah telah juga berfirman hanya Dia sahaja yang mengetahui perkara ghaib ini. So jelaslah bahawa ilmu ghaib yang didakwa oleh orang-orang tertentu itu semuanya adalah pasti menggunakan jin dan syaitan sebagai perantaraannya. Semuanya terserah kepada Allah. Allah izinkan perkara itu berlaku tetapi Allah tidak redha. Kita punya akal kita sendiri fikirkan.



Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudarat kecuali apa yang dikehendaki Allah. Jika aku mengetahui perkara-perkara yang ghaib, tentulah aku akan mengumpulkan dengan banyaknya kebaikan dan (tentulah) aku tidak ditimpa kesusahan. Aku ini tidak lain hanyalah pemberi amaran (bagi orang-orang yang engkar) dan pembawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman”(Surah al-A’raf: 188).


Aku sendiri pun pernah pergi berjumpa dengan orang-orang semacam ini. Aku pernah pergi bawa mak aku berubat. Tapi sampai sekarang aku langsung tak percaya. Punyalah hebat orang ni, boleh transfer 'benda' yang didakwa berada dalam tubuh mak aku kepada seekor kambing. Setelah dipindahkan kepada kambing tersebut, kambing itu pun disembelih dan dagingnya disedekahkan kepada orang-orang kampung. Nak buat macam mana , dah nasib kambing itu akan disembelih. Tapikan memang betullah lepas itu mak aku sihat dan tak macam dulu. Apapun yang terjadi semuanya adalah kuasa Allah. Allah izin tapi aku fikir memang Allah tak redha. Astagfirullah al'azimmmmm.


Ada yang boleh membenarkan jin masuk ke dalam badan mereka, lepas tu mereka akan bercakap dengan orang hebat ini. Orang hebat ini boleh menghalau atau membunuh jin tersebut sekiranya jin tersebut tidak mahu mengikut kehendak orang hebat ini atau tidak mahu meninggalkan orang yang telah dirasuk oleh jin tersebut. hebat sungguh mereka nih.


Tetapi apapun, aku tidak akan sekali-kali mempelajari ilmu ghaib ini. Ilmu nyata pun tak habis belajar. Adalah lebih baik kita belajar Al-Quran dan mengajar anak-anak kita lagi lah bagus. Sudah tentu pelajaran ini diredhai oleh Allah swt. Sekurang-kurangnya jelas kalau kita mempelajari Al-Quran, Jin Kafir atau Setan tidak akan mendekati kitakan.



sumber dari: raufjaffar.com

Pelajari teknik ‘management & leadership’ terunggul dari C.E.O bernama Sulaiman






Apabila bercerita tentang Surah An-Naml, kita tidak akan dapat lari dari tokoh terpenting dalam mencorakkan intipati kandungannya iaitu Nabi Sulaiman. Sebut tentang Baginda, apakah yang tergambar di fikiran anda? Sudah tentu, perkara ini pasti ‘pop-up’ terlebih dahulu :

Raja yang kaya-raya, mampu ber’sembang’ dengan burung serta semut, ‘bodyguard’nya luarbiasa hebat iaitu golongan jin, serta ‘last but not least’, dapat kahwin dengan Ratu Balkis yang bukan setakat kaya-raya, bahkan cantik rupawan!

Hmm, jika itulah sahaja yang kita fikirkan, ada baiknya kita kaji semula kelebihan Baginda dengan ‘menghadam’ Surah An-Naml. Bagi saya, surah ini amat menggugah minda kita kerana kandungannya amat berkesan untuk mencabar persepsi sesetengah orang yang ‘asyik’ berkiblatkan barat, yang melihat Al-Quran setakat ‘yasin malam jumaat’ & hafazan surah lazim untuk anak2 sahaja….

Jika mereka fikir Al-Quran ‘gagap’ dalam membicarakan ilmu-ilmu ‘up-to-date’ seperti holistic management, leadership, high-technology dll…., Nah…surah ini sedia menjawabnya

APAKAH KELEBIHAN UTAMA NABI SULAIMAN?

1. Kepintaran & kebijaksanaan luarbiasa hasil tradisi keilmuan yang kuat.

Ayat 15 Surah Naml menjelaskan kenyataaan ini : ‘Maka kami telah memberi ilmu kepada Daud dan Sulaiman’. Siapa kata ‘Nabi Sulaiman bolehlah jadi nabi yang hebat, sebab Baginda dapat ‘rezeki terpijak’ warisi kekayaan bapanya!’ … Tidak sekali-kali! Bukan itu sebabnya Sulaiman hebat. Baginda ingin menyatakan ‘Jika engkau berkuasa dan kaya raya, itu tidak berguna jika otakmu ‘kosong!’

Bagi mereka berdua, kekayaan dan kekuasaan bukanlah factor utama yang dinilai tinggi, tetapi ilmu pengetahuan yang berada di kedudukan nombor 1. Kerana itulah, mereka telah menzahirkan penghargaan tinggi kepada Tuhan terhadap kelebihan tersebut

Keduanya mengucapkan ‘Segala puji bati Allah yang melebihkan kami dari kebanyakan hambaNya yang beriman’. (Naml, 15)

2. Kejayaan dan kecemerlangan perlu diwariskan kepada generasi agar terus berkesinambungan.

‘Maka Sulaiman telah mewarisi Daud’ : Ujar ayat 16 Surah An-Naml.
Soalnya, apakah yang diwarisi Sulaiman itu? Adakah kerusi empuk kekuasaan/kekayaan sahaja tanpa factor lain? Tidak sepenuhnya. Ia menggambarkan bahawa Sulaiman juga mewarisi tanggungjawab meneruskan factor ‘success’ lain lebih besar yang dimulakan oleh Nabi Daud. Ia termasuk kejayaan dakwah, kejayaan hidayah dan yang terbesar : kejayaan membina tamadun bangsa yang berkarekter tauhid.

3. Penguasaan bahasa asing.

Ayat 16 Surah Naml memperincikan lagi kelebihan Sulaiman : ‘Hai manusia, kami telah diberikan pemahaman bahasa burung’.
Ada sudut pandang lain yang ingin disampaikan disini. Ia tidaklah memaksa anda pergi ke taman burung, duduk berjam-jam mendengar burung ‘bersiul-siulan’, tetapi ia mengilhamkan sesuatu yang lebih besar dari itu sebenarnya. Ilhamnya ialah : kuasailah bahasa asing, bukan setakat bahasa inggeris atau mandarin sahaja, kalau boleh bahasa Ivory Coast pun kena pandai juga! Perkara ini penting kerana dengan kelebihan tersebut, seperti yang ditunjukkan Sulaiman, dakwah boleh di’internasional’kan dengan lebih mudah. Bayangkan sahaja jika Sulaiman tidak memahami pertuturan Hud-hud, pasti Ratu balkis tidak masuk islam!

4. Kepintaran mengeksploitasi potensi sumber alam dan sumber tenaga kerja.

Ayat 16 Surah Naml menjelaskan lagi kelebihan Sulaiman : ‘dan kami diberi segala sesuatu. Semua ini benar-benar kurniaan yang nyata.’

Dengan baik sekali, Nabi Sulaiman telah mengeksploitasi seratus-peratus segala kelebihan yang dimilikinya. Para Jin yang memiliki kehebatan luarbiasa diperintahkan untuk membina bangunan termewah & tercanggih, termasuk menyelam ke dasar laut mencari permata terbaik untuk menghiasnya. Para haiwan pula, termasuk hud-hud bukan setakat ditugaskan untuk melaporkan hal-ehwal komuniti burung semata, bahkan diberikan tugas unik lain, iaitu sebagai pasukan peninjau dan ‘posmen’ dakwah! Pokoknya, setiap makhluk dibawah Sulaiman membantu baginda secara langsung dan tidak langsung melanjutkan tugas dakwah tauhid yang diwarisi dari bapanya, Nabi Daud.

5. ‘Management style’ dan ‘Leadership skill’ yang berkesan.

Ayat 17 menjelaskan : ‘Maka Sulaiman telah menghimpunkan bala tenteranya yang terdiri dari jin, manusia, burung lalu mereka diaturkan dengan penuh tersusun.’

Sekali imbas, ayat ini tidak memberi apa-apa makna…. Tetapi apabila saya menghayatinya lebih mendalam, saya terkagum terlopong-lopong dengan kemampuan Sulaiman selaku C.E.O yang sangat terserlah sekali kemampuan pengurusan dan kepimpinannya.

Mengapa saya berfikir begitu? Bayangkan sahaja begini : Jika anda pernah menjawat jawatan ketua organisasi (tidak kira N.G.O atau organisasi besar) atau bahagian H.R.D, anda pasti menyedari betapa sulitnya mengatur dan menguruskan manusia. Tetapi Sulaiman dengan begitu mudah sekali mengatur ‘pekerja bawahan’nya yang terdiri bukan setakat manusia, bahkan binatang dan jin turut serta! Saya pasti, sudah tentu ‘leadership & management style’ yang Sulaiman miliki amat berkualiti tinggi, cekap dan lebih hebat dari apa yang dipraktikkan dunia pengurusan barat mahupun Jepun sekarang.

Apakah kelebihan yang dipraktikkan oleh Nabi Sulaiman selaku pemerintah & C.E.O dalam amalan pentadbiran dan pengurusannya sehingga terhasil ‘mereka diaturkan penuh tersusun –Naml, 17’ itu? Ini antara ‘basic’ yang perlu dikuasai : Strategic management, inovative, kreatif, ‘top-down’ & ‘bottom-up’ management style, ketelusan, integriti dll.

Darinya, Sulaiman ingin mengajar kita selaku ‘pengkagum’ budaya management jepun & barat bahawa ‘Kami sudah lama mempraktikkannya’

6. Latihan dan semangat ‘KAIZEN’ yang berterusan.

Dalam ayat 17 dan 18, ia memperihalkan bagaimana Sulaiman mengumpulkan semua ‘co-worker’nya untuk satu latihan rutin yang tidak diperincikan. Dalam latihan tersebut, mereka telah melalui satu komuniti masyarakat semut, digelar sebagai ‘Wadi An-Naml’ di mana melaluinya, telah terserlah kelebihan Sulaiman dalam memahami pertuturan semut.

Tetapi, adakah itu sahaja yang boleh kita manfaatkan dari peristiwa ini? Adakah setakat mengkagumi kelebihan Sulaiman ‘Wow! Baginda boleh fahami bahasa semut!’ sambil menggeleng-gelengkan kepala?

Tidak sama sekali. Bagi saya, sudah tentu baginda menyimpan tujuan lebih besar untuk mengumpulkan segala ‘pekerja’nya itu selain berjalan-jalan membuat lawatan ‘ramah mesra’ dengan semut. Ia menunjukkan kita bahawa Nabi Sulaiman sentiasa mengadakan ‘latihan rutin’ dalam memeriksa kesiap-siagaan semua pekerjanya. Ia juga memberikan indikasi bahawa Sulaiman selaku C.E.O berketerampilan tinggi, amat mementingkan kualiti pekerjanya dengan selalu mengadakan ‘spot check’ sebegitu.

Dari peristiwa ini, nampak sangat yang Nabi Sulaiman telah lama menerapkan semangat ‘Kaizen’ iaitu‘never-ending efforts for improvement’ atau penambahbaikan yang berterusan dalam pengurusan organisasinya.

Yang paling mengharukan saya dalam peristiwa itu ialah betapa tingginya empati dan keperihatinan Sulaiman terhadap pekerja bawahannya iaitu semut. Bayangkan, dengan segala kehebatannya itu, Sulaiman dan beratus ribu tenteranya itu boleh sahaja ‘memijak-mijak’ rumah semut. Ya-lah, apalah yang boleh dilakukan oleh semut dengan Sulaiman, setakat impian mentimun ingin mengopek durian sahaja! Itulah sebabnya pemimpin semut sejak awal lagi ‘surrender’ : “Wahai sekalian semut, masuklah ke sarang kamu masing-masing, jangan Sulaiman dan tenteranya memijak serta membinasakan kamu, sedang mereka tidak menyedari”.

Tetapi Baginda menunjukkan contoh terbaik bagaimana berkomunikasi dan menghormati ‘rakyat marhaen’ dengan kata-katanya Maka tersenyumlah Nabi Sulaiman mendengar kata-kata semut itu, dan berdoa Dengan berkata:” Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu Yang Engkau kurniakan kepadaKu dan kepada ibu bapaku, dan supaya Aku tetap mengerjakan amal soleh Yang Engkau redai; dan masukkanlah daku – Dengan limpah rahmatMu – Dalam kumpulan hamba-hambaMu Yang soleh”.

Alangkah bagus jika pemimpin tertinggi/ C.E.O/ Manager kita juga melafazkan kata-kata sama?

7. Amalan proses P.D.C.A (Plan-do-check-action).

Bagi pengurusan organisasi yang mementingkan M.B.O (management by objective), kejayaan operasi dan ketinggian kualiti kerja/hasil, frasa P.D.C.A tidak boleh lari dari ‘amalan wajib’ mereka. Namun, terfikirkah anda bahawa beribu-ribu tahun sebelum teori tersebut tercipta, ia telah lama dipraktikkan Sulaiman dalam system ‘management’nya?
Saya melihat Sulaiman telah menerapkan proses P.D.C.A tersebut dalam interaksinya bersama burung Hud-Hud begini :

P – Plan : Baginda merancang teknik dakwah berkesan untuk mengajak Ratu Balkis memeluk islam (mission dakwah) dengan menghantar surat ‘rasmi’ kepada Ratu Balkis. (ayat 27 dan 28)

D – Do : Burung Hud-hud telah berjaya menjalankan misi Sulaiman untuk menjalankan ‘high profile dakwah mission’, iaitu dengan terbang beratus kilometer menghantar surat ‘rasmi’ dengan jayanya. (ayat 29-31)

C – Check : Mengkaji semula keefisienan teknik dakwah yang telah dilakukan sebelum itu hasil dari respon Ratu Balkis terhadap surat ‘rasmi’nya. (ayat 36 dan 37)

A – Action : Sulaiman memperbaiki teknik dan ‘approach’ misi dakwahnya dengan melakukan sesuatu ‘di luar kotak’, iaitu mengarahkan tentera terhebatnya membawa istana Ratu Balkis yang terletak jauh ratusan kilometer dihadapannya sekelip mata! Hasilnya memang membanggakan : Ratu Balkis akhirnya berjaya di’islam’kan. (ayat 38-44)

Melihatkan kesungguhan Hud-hud, kelebihan ‘Jin Ifrit’ dan kehebatan pemuda ‘ahli kitab’ yang mewarnai latarbelakang cerita ini, nampak sangat tertonjolnya kelebihan Sulaiman selaku pemimpin berkualiti tinggi. Bak kata pepatah inggeris :

‘Management is what people do when you are there, leadership is what they do when you are not there.’

8. Berfikiran ‘glokal’ dalam dakwah.

Kepada para sukarelawan dakwah, ustaz mahupun alim-ulama, Nabi Sulaiman sebenarnya ingin berkongsi rahsia kepada kita satu rahsia kejayaan dakwah iaitu : GLOKAL.

Hmm… tentu anda terfikir ‘macam pernah dengarlah perkataan tu’… Ya, anda benar. Ia pernah dipopularkan oleh pemimpin utama kita sedikit masa dahulu. Tetapi, apakah teknik ‘glokal’ yang telah diimplementasikan Nabi Sulaiman?

Teknik ‘glokal’ (global + local) dalam berfikir dan bertindak yang dimaksudkan Sulaiman adalah : Global melibatkan antarabangsa, internasional dan menjalar serata dunia iaitu misi dakwah menjalar ke luar dari autoriti kawasan Sulaiman di Palestin hingga sejauh beratus kilometer di Negara Saba’ sana. Sementara local bermaksud tempatan, iaitu tinjauan dakwah ke kawasan semut dalam jajahan takluk negaranya.

Inilah semangat dakwah yang ingin dibangunkan Sulaiman iaitu generasi serta misi pendakwah yang berakar nasional dan berakal internasional. Kita bukan setakat perlu hebat di ‘tempat permainan’ kita, bahkan juga perlu memainkan peranan di serata dunia. Dalam contoh sekarang, jika boleh, biarlah institusi pendidikan agama kita menjadi ‘kilang’ utama bagi melahirkan ulama, ustaz serta para hafiz sehebat Dr. Yusuf Al-Qardawi!



sumber dari: asraffayob.com

۞۩ KISAH SEMUT DAN KETELADANANNYA ۩۞






Kerajaan Nabi Sulaiman AS dikala itu sedang mengalami musim kering yang begitu panjang. Lama sudah hujan tidak turun membasahi bumi. Kekeringan melanda di mana-mana. Baginda Sulaiman AS mulai didatangi oleh ummatnya untuk dimintai pertolongan dan memintanya memohon kepada Allah SWT agar menurunkan hujan untuk membasahi kebun-kebun dan sungai-sungai mereka.
Baginda Sulaiman AS kemudian memerintahkan satu rombongan besar pengikutnya yang terdiri dari bangsa jin dan manusia berkumpul di lapangan untuk berdo’a memohon kepada Allah SWT agar musim kering segera berakhir dan hujan segera turun.
Sesampainya mereka di lapangan Baginda Sulaiman AS melihat seekor semut kecil berada di atas sebuah batu. Semut itu berbaring kepanasan dan kehausan. Baginda Sulaiman AS kemudian mendengar sang semut mulai berdo’a memohon kepada Allah SWT penunai segala hajat seluruh makhluk-Nya.
Ya Allah pemilik segala khazanah, aku berhajat sepenuhnya kepada-Mu, Aku berhajat akan air-Mu, tanpa air-Mu ya Allah aku akan kehausan dan kami semua kekeringan. Ya Allah aku berhajat sepenuhnya pada-Mu akan air-Mu, kabulkanlah permohonanku”, do’a sang semut kepada Allah SWT.
Mendengar do’a si semut maka Baginda Sulaiman AS kemudian segera memerintahkan rombongannya untuk kembali pulang ke kerajaan sambil berkata pada mereka, “kita segera pulang, sebentar lagi Allah SWT akan menurunkan hujan-Nya kepada kalian. Allah SWT telah mengabulkan permohonan seekor semut”. Kemudian Baginda Sulaiman dan rombongannya pulang kembali ke kerajaan.



Umat muslim diperintahkan untuk tidak membunuh semut, berdasarkan hadits riwayat Abu Hurairah Muhammad bersabda bahwa, Ada seekor seekor semut pernah menggigit salah seorang nabi. Nabi tersebut lalu memerintahkan umatnya untuk mendatangi sarang semut kemudian membakarnya. Tetapi kemudian Allah menurunkan wahyu kepadanya,

Apakah hanya karena seekor semut menggigitmu lantas kamu membinasakan satu umat yang selalu bertasbih.” 
Hadits shahih Imam Muslim No.4157.



sumber dari: umrahhajiku.wordpress.com

keajaiban kerajaan semut





Surat an-Naml terdiri daripada 93 ayat, termasuk golongan surah-surah Makkiyyah dan diturunkan sesudah surah Asy Syu'araa'.

Dinamai dengan "An Naml", kerana pada ayat 18 dan 19 terdapat perkataan "An Naml" (semut), di mana raja semut mengatakan kepada anak buahnya agar masuk ke sarang masing-masing, supaya jangan terpijak oleh Nabi Sulaiman a.s. dan tenteranya yang akan lalu di tempat itu. Mendengar perintah raja semut kepada anak buahnya itu, Nabi Sulaiman tersenyum dan takjub atas keteraturan kerajaan semut itu dan beliau mengucapkan syukur kepada Tuhan Yang Maha Kuasa yang telah melimpahkan nikmat kepadanya, berupa kerajaan, kekayaan, memahami ucapan-ucapan binatang, mempunyai tentera yang terdiri daripada jin, manusia, burung dan sebagainya. Nabi Sulaiman a.s. yang telah diberi Allah nikmat yang besar itu tidak berasa takbur dan sombong, dan sebagai seorang hamba Allah mohon agar Allah memasukkannya ke dalam golongan orang-orang yang soleh.

Allah Subhanahu Wata'ala menyebut binatang semut dalam surah ini agar manusia mengambil pelajaran dari kehidupan semut itu.

Semut adalah binatang yang hidup berkelompok di dalam tanah, membuat liang dan ruang yang bertingkat-tingkat sebagai rumah dan gudang tempat menyimpan makanan musim dingin. Kerapian dan kedisiplinan yang terdapat dalam kerajaan semut ini, dinyatakan Allah dalam ayat ini bagaimana rakyat semut mencari perlindungan segera agar jangan terpijak oleh Nabi Sulaiman a.s. dan tenteranya, setelah menerima peringatan dari rajanya.

Secara tidak langsung Allah mengingatkan juga kepada manusia agar berusaha untuk mencukupi keperluan seharian, mementingkan kemaslahatan bersama dan sebagainya, rakyat semut mempunyai organisasi dan kerjasama yang sangat baik.

Dengan mengisahkan kisah Nabi Sulaiman a.s. dalam surah ini Allah mengisyaratkan hari kehadapan dan kebesaran nabi Muhammad s.a.w. Nabi Sulaiman a.s. sebagai nabi, rasul dan raja yang dianugerahi kekayaan yang melimpah ruah, begitu pula Nabi Muhammad s.a.w. sebagai seorang nabi, rasul dan seorang ketua negara yang ummi' dan miskin akan berhasil membawa dan memimpin umatnya ke jalan Allah.


sumber dari: misteriousgrapersz.blogspot.com

poster surah An-Naml






COLLECTION FROM IMAM TABARI ON SURA AN-NAJM








sumber dari: strateias.org

Saturday 19 January 2013

Satu Unit Saham Amanah Yang Dijamin Rasulullah SAW.




Masalah utama bagi setiap orang ialah kekurangan wang atau masalah ekonomi kewangan.Kesempitan hidup dan kekurangan wang menjadikan kita resah gelisah selalu , stress dan kadangkala boleh membawa kepada berlakunya kes- kes kecurian, jenayah dan sebagainya.Apa yang lebih teruk dari itu ialah kita menjadi semakin jauh dengan Allah,malah ada juga di antara kita yang menyalahkan takdir dan berkata Tuhan itu tidak adil.Lalu kita pun menjadi betul betul jauh dengan rahmat Allah swt.


Memang benar,dalam agama islam kita selalu dituntut untuk mencari sebanyak-banyak bekalan untuk hari akhirat seolah olah kita akan mati esok hari namun kita juga disarankan supaya jangan pula melupakan bekalan kita di dunia seolah olah kita ingin hidup seribu tahun lagi! Sesungguhnya kefakiran itu boleh membawa kepada kecelakaan!


*Deretan peminta sedekah muslim!

Alangkah baiknya jika kita menjadi seorang yang beriman,yang kaya raya,yang berhati mulia dan suka bersedekah , yang berkereta mewah dan mempunyai seorang isteri yang cantik jelita,yang bersembahyang didalam bilik berhawa dingin di atas permaidani yang tebal dan indah dengan bau-bauan yang harum semerbak TANPA hati kita tertawan dengan kemewahan dunia yang kita miliki,yang tidak riya’ dan takbur atas pemberian Allah,yang selalu bersyukur atas pemberianNya, yang selalu menitiskan airmata di malam hari kerana taubat dan mensyukuri segala nikmat Allah dan selalu mengharapkan redhaNya. Tidakkah kita mahu jadi seperti itu???


Firman Allah swt dalam Surah Al-Qasas, ayat 77 ini yang bermaksud :

“Carilah pada apa yang Allah anugerahkan kepadamu iaitu kebahagiaan di negeri akhirat dan jangan kamu melupakan bahagianmu daripada kenikmatan duniawi.Berbuat baik lah kepada orang lain seperti Allah berbuat baik kepadamu.Janganlah kamu melakukan kerosakan di muka bumi, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang melakukan kerosakan” [ Surah Al-Qasas : 77 ]


Semenjak Persepsi kita semua dipesongkan oleh Dajjal terhadap kemewahan dan kebahagiaan hidup,maka ramai dari kita sudah terkeliru dan menganggap bahawa kekayaan itu dilambangkan dengan betapa banyaknya jumlah simpanan wang ringgit kita di bank atau sebanyak mana jumlah saham-saham kita di pasaran saham atau sekian banyaknya harta benda kita seperti tanah, rumah kedai, bangunan dan aset yang lain.

Oleh itu jadilah kita seorang manusia yang sentiasa tidak merasa cukup dengan apa yang ada, tamak haloba mengumpul kekayaan dunia sehingga melupakan segala tanggungjawab kita terhadap Allah,masyarakat di sekeliling kita, lupa pula kepada kewajipan zakat dan sumbangan kita terhadap perjuangan menegakkan agama Allah di atas muka bumi ini.


Kita sebenarnya lupa bahawa kekayaan sebenar kita ialah Kekayaan Hati kita dengan sifat-sifat yang terpuji, kebahagiaan sebenar ialah Ketenangan Hati setelah beroleh redha dan nikmat dari Allah swt.

Oleh kerana takut manusia berpaling kepada dunia dan melupakan akhirat , banyak ulamak tasawuf mengesyorkan kita supaya hidup zuhud dan beruzlah.Itulah cara terbaik mengelakkan diri dari terpengaruh dengan isi dunia dan segala macam sandiwara dunia.

Biarpun begitu ,apakah kita tidak mahu menjadi seorang jutawan seperti sahabat nabi malahan dijamin pula syurga iaitu Abdul Rahman bin Auf dan Saidina Usman Bin Affan?



Menyingkap kembali sejarah sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir, Nabi Muhammad saw sering menyebut ‘umatku’, ‘umatku’, ‘umatku’. Ini menunjukkan betapa prihatin dan sayangnya Nabi kita kepada kita umatnya! Jadi, apakah seorang rasul yang amat menyayangi umatnya akan membiarkan kita hidup dalam kemiskinan dan kefakiran setelah peninggalannya? Sudah tentu tidak !

Jika kita orang biasa sudah pasti kita akan meninggalkan wasiat sekurang-kurangnya sebidang tanah atau sebuah rumah buat isteri dan anak-anak sepeninggalan kita.Namun bagi Rasulullah saw,seorang Rasul dan kekasih Allah sudah pasti meninggalkan kita satu amanah sebagai plan kewangan jangka panjang berbentuk saham spiritual iaitu satu surah dalam al-quran yang mulia untuk kita umatnya yang dikasihi mengamalkannya.Surah tersebut ialah surah Al-Waqiah.



Jadi,bagi sesiapa yang percayakan Rasulullah saw ,sudah pasti akan mempercayai segala kata-katanya dan sudah pasti akan beramal dengan apa yang disarankan olehnya demi mencapai keselamatan dan kebaikan di dunia dan akhirat.Nabi Muhammad saw yang mulia telah memperkenalkan satu unit saham amanah dan memberi jaminan pula seperti sabdanya yang bermaksud :

“Siapa membaca surah Al-Waqi’ah setiap malam, dia tidak akan ditimpa kesusahan atau kemiskinan selama-lamanya”.
(Diriwayatkan oleh Baihaqi dari Ibnu Mas’ud r.a.)


Surah Al-Waqi’ah adalah surah yang ke -56 di dalam Al-Quran, terletak pada juzuk ke 27 dan terdiri dari 96 ayat. Namun asbabun nuzul menjelaskan, surah al-Waqiah diturunkan selepas surah Taha. Dinamakan Al-Waqi’ah kerana di ambil dari lafaz Al-Waqi’ah yang terdapat pada ayat pertama surah ini, yang ertinya “Hari Kiamat”. Di dalam surah Al-Waqi’ah ini ada menerangkan tentang hari kiamat, balasan yang diterima oleh orang-orang mukmin dan orang-orang kafir. Diterangkan pula penciptaan manusia, tumbuh-tumbuhan dan api, sebagai bukti kekuasaan Allah dan adanya hari berbangkit.

Secara ringkasnya kandungan surah Al-Waqiah dihuraikan dengan baik dalam sebuah buku di atas seperti berikut :

Sumber : Sila Klik Sini

[Kandungan utama surah al-Waqiah adalah penjelasan berkenaan terjadinya hari kiamat, gambaran syurga dan neraka, serta perihal orang yang banyak melakukan kezaliman dan keingkaran. Tidak ketinggalan juga ia mengandungi maklumat mengenai orang yang beriman. Dalam penjelasannya yang lebih terperinci, ia menerangkan manusia terbahagi kepada tiga golongan pada hari akhirat iaitu:

Golongan yang segera melakukan kebaikan.
Golongan kanan iaitu orang yang beriman.
Golongan kiri iaitu orang yang mengingkari Tuhan.

Surah al-Waqiah menjelaskan, golongan orang yang segera melakukan kebaikan adalah golongan para nabi yang selalu bersegera mengamalkan ibadah kepada Allah dengan penuh tawaduk.

Golongan kanan pula adalah orang yang soleh iaitu mereka yang bertindak sesuai dengan tuntutan Quran. Ahli tafsir Quran menggambarkan golongan kanan sebagai ashabul yamin atau ashabul mujahadah iaitu orang yang berjihad, orang yang mahu berjuang dan sabar dalam menanggung penderitaan.

Golongan kanan memperoleh kemenangan walaupun mereka ditimpa pelbagai ujian dan kegelisahan. Mereka menyedari kehidupan ini adalah ujian dan ia penuh dengan penderitaan. Kelak, mereka pasti mendapat balasan kebaikan daripada Allah. Mereka melalui semua ujian dengan penuh kerelaan dan keikhlasan seperti Nabi Muhammad yang sering menerima ujian, namun beliau tetap ikhlas dan sabar.

Golongan kiri adalah orang yang mendustakan ayat-ayat Quran. Dengan demikian, mereka adalah orang yang sesat. Mereka mengingkari kebenaran yang datang daripada Allah dan mendustakan agama tauhid. Mereka termasuk dalam golongan orang yang sesat. Mereka mengingkari apa yang sebenarnya dipandang benar oleh hatinya hingga segala kebaikan terasa seperti duri yang menyeksa diri. Inilah manusia sesat yang mendapat balasan neraka pada hari kiamat kelak.]

Walaupun sudah lama saya mengetahui khasiat dan kelebihan amalan surah ini terutamanya dalam bab rezeki,namun selepas membeli dan membaca buku seperti yang dinyatakan dalam sumber di atas itu, kefahaman dan keyakinan saya menjadi semakin bertambah! walaupun harganya murah iaitu RM10.90 saja dan setebal 116 mukasurat,namun cara penulisan dan kupasan penulis tersebut amat baik sekali.


Ternyata , dengan selalu mengamalkan surah ini, alhamdulillah,ia memberi kesan positif kepada kehidupan saya sekeluarga.Anda semua pun mungkin sudah lama mengetahui khasiat dan sudah lama mengamalkan surah ini.Oleh itu saya ingin mengajak anda semua beramal dengan surah ini tanpa menyisihkan surah-surah yang lain kerana setiap huruf,setiap ayat dan setiap surah dalam kitab suci Al-Quran itu ada khasiatnya yang tersendiri.

Ibnu Mas’ud merekodkan ,Rasulullah saw pernah bersabda :

“Sesiapa yang membaca satu huruf daripada kitab Allah,Allah memberikan satu kebaikan kepadanya.Daripada setiap satu kebaikan itu pula, Allah menggangdakan sebanyak 10 kali ganda. Aku tidak mengatakan alif-lam-mim itu satu huruf, tetapi alif adalah satu huruf, lam adalah satu huruf dan mim adalah satu huruf” [ Hadis riwayat Tarmizi]

Oleh itu,plan kewangan yang ditawarkan Rasulullah ini merupakan plan yang terbaik setakat ini kerana ia dijamin oleh rasul yang bergelar Al-Amin (yang berkata benar) dan pulangannya pula ialah melebihi 10 kali ganda!!! Bukan pulangan 10% seperti faedah yang ditawarkan oleh unit-unit saham amanah sekarang!




sumber dari: sangtawal.blogspot.com