Sunday, 8 January 2012

Al-Jinn -perkahwinan Jin dan manusia





Dalam artikal sebelum ini saya menyiarkan ayat Al-Quran Surah Al-Jin yang membuktikan bahawa jin adalah salah satu makhluk ciptaan Allah SWT. Sekaligus, ayat tersebut dengan jelas menolak dakwaan sesetengah golongan yang enggan mempercayai adanya makhluk tersebut.

Saya berpendapat ‘orang bunian’ yang diceritakan dalam masyarakat Melayu adalah sebahagian makhluk jin.


Sejak kecil saya biasa mendengar kisah seseorang yang hilang kemudiannya menceritakan bahawa dia telah sampai ke kampung bunian dan berkahwin dengan gadis bunian.

Tamar Jalis, seorang penulis kisah misteri yang sangat saya minati (Siri Bercakap Dengan Jin) juga mendakwa datuknya mempunyai seorang isteri dari kalangan orang bunian.

Timbul persoalan, benarkah manusia boleh berkahwin dengan makhluk halus sedangkan asal kejadian kedua-dua makhluk tersebut amat jauh berbeza? Manusia berasal daripada tanah manakala jin daripada api.

Lihat ayat Al-Quran berkenaan penciptaan manusia:

“Dari bumi (tanah) itulah Kami menjadikan kamu dan kepadanya Kami akan mengembalikan kamu dan daripadanya Kami akan mengeluarkan kamu pada kali yang lain” Suran Thaha (20): 55

Berikut pula ayat Al-Quran mengenai kejadian jin:
“Dan Kami telah menciptakan jin sebelum (Adam) dari api yang sangat panas .” (Al Hijr 27)

“Dan Kami telah menciptakan jin dari nyala api.” (Ar Rahman 15)

Sebuah hadis riwayat Muslim mencatatkan:
” Malaikat diciptakan dari cahaya, jin diciptakan dari nyala api dan Adam diciptakan dari apa yang telah engkau ketahui.” [iaitu dari tanah]
(HR. Muslim didalam kitab Az Zuhdi dan Ahmad di dalam Al Musnad).

Berdasarkan hadis tersebut, terdapat perbezaan yang nyata antara penciptaan manusia, jin, dan malaikat.

Kembali pada persoalan asal, bolehkah manusia berkahwin dengan jin?

Dalam menjawab persoalan ini beberapa ulama mengatakan, walaupun asal kejadian jin daripada api, namun makhluk tersebut kini telah melalui proses beranak pinak. Justeru keturunan jin bukan lagi daripada api.

Hal ini samalah dengan manusia. Walaupun Adam dijadikan daripada tanah, namun sekalian manusia dijadikan daripada titisan air mani.

Para ulama’ bukan sahaja telah membicarakan tentang kewajaran berlakunya perkahwinan antara manusia dan jin bahkan menghasilkan fatwa tentang hukum perkahwinan tersebut:

Jumhur ulama’ seperti al-Hasan, Qatadah, Ishak, dan Hakim menyatakan hukumnya makruh.

Imam al-Malik bin Anas r.a mengatakan hukumnya harus tetapi tidak digalakkan.

Abu Othman bin al-Abbas al-Razi dalam kitabnya “Al-Ilham wa al-Waswas menceritakan bahawa suatu kaum jin telah mengutus surat kepada Imam Malik bin Anas untuk bertanya masalah perkahwinan manusia-jin. Imam Anas menjawab: “Aku melihat tidak ada masalah dalam agama tetapi adalah makruh apabila terdapat seorang wanita hamil, dan ditanya siapa suaminya maka jawapannya ialah jin, maka akan timbul kerosakan dalam agama kita.”

Apakah boleh berlaku persetubuhan antara manusia dengan makhluk halus atau ghaib?

Beberapa ulama menyandarkan kewajaran perkara itu boleh berlaku berdasarkan hadis:
Ibnu Abbas r.a berkata; maksudnya: “Apabila seorang suami menyetubuhi isterinya di dalam keadaan haid, ia didahului oleh syaitan. Apabila perempuan itu hamil, ia akan mengandungkan khunsa (pondan). Kaum khunsa itu adalah anak-anak jin.”

Wallahu’alam.

No comments:

Post a Comment