Persoalan ini kerap berlegar dikalangan perawat Islam dalam  masyarakat Melayu khususnya. Bukan setakat menyintai,malah ada juga jin yang  mengahwini manusia dikalangan perempuan. Sama ada ini benar bergantung kepada  kebenaran penyampaian cerita yang selalunya disandarkan kepada pengembaraan  seseorang itu ke alam jin tersebut. Persoalan ini dijawab ialah kerana terdapat  pertanyaan dalam ruangan sembang blog ini dan jika ada kekurangan fakta,sudilah  pembaca menambah serta berkongsi ilmu dalam ruangan komen yang  disediakan.
Kepada saudari yang bertanya, asasnya makhluk jin adalah  ciptaan kebesaran Allah swt sepertimana maksud Firman Allah di dalam Surah  Az-Zariyat : 56 "...Dan tidaklah aku ciptakan jin dan manusia melainkan supaya  menyembah akan daku.". Dalil lain melalui Surah Al-Jin : Ayat 1, Surah Al-An'am  : Ayat 128 dan banyak lagi yang boleh dirujuki sebagai dalil kewujudan makhluk  jin.
 
Memang kita biasa mendengar isu perkahwinan diantara manusia  dan jin. Apabila dua makhluk ini berkahwin tentulah dimulai dengan saling  mengenali, bercinta atau sebagainya. Didalam buku karangan Dato Ismail Kamus  dalam membicarakan bab ini menyatakan bahawa Nabi Muhammad s.a.w. telah menegah  kita berkahwin dengan jin. Para Fuqaha berkata, tidak harus berkahwin diantara  manusia dengan jin dan dimakruhkan pula oleh tabiein. Ini menunjukkan  perkahwinan itu boleh berlaku. Sekiranya tidak boleh berlaku perkahwinan ini,  maka tidak akan timbul hukum harus ataupun haram.
Persoalan ini terlalu panjang untuk dilanjutkan, cuma sekadar  untuk berpesan kepada kebaikan, rujuklah buku di atas atau mana-mana jua sumber  ilmu yang sahih agar menjadi panduan kepada kita semua. 
Berbalik kepada soalan yang diajukan menampakkan ianya lebih  bersifat peribadi yang dialami sendiri oleh saudari yang bertanya. Begitu  subjektif untuk membuktikan betulkah peristiwa ini sebenar-benar kejadian yang  dialami ataupun sekadar gangguan jin terhadap manusia. Sejauhmana hubungan cinta  jin lelaki itu terhadap si perempuan? Berapa lama tempoh masa berlaku proses  percintaan itu? Di masa mana sering berlaku sama ada malam atau siang atau masa  yang tertentu sahaja? Dan banyak lagi persoalan yang perlu diperjelaskan agar  jawapan yang diberikan menjadi kemas. Eloklah saudari datang berjumpa ustaz atau  mana-mana ilmuwan untuk mendapat penjelasan terhadap peristiwa yang saudari  alami.Ustaz juga pernah merawat dua orang pesakit perempuan, anak dara, masih  bekerja dan di institusi pengajian tinggi, yang telah datang membuat rawatan  serta mengikuti kisah bagaimana mereka membuat hubungan dengan jin sehinggakan  seorang daripadanya berasa telah melahirkan anak dialam jin,kesannya ia menjadi  sakit seperti orang bersalin sehingga terpaksa mengambil cuti sebulan  "berpantang" sakit seperti manusia bersalin di alam yang sebenarnya.
Sama ada kisah ini benar atau tidak, ikuti siri penjelasan  yang kedua nanti. Bagi ustaz ianya lebih kepada pengalaman peribadi seseorang  pesakit. Tanpa rujukan dan dalil yang boleh disandarkan, maka setiap penjelasan  kelak bergantung kepada pertimbangan diri kita jua.
Amalan yang dicadangkan untuk melupakan serta mengusir jin  ini ialah :
* Menjaga amalan ibadah wajib serta menambah ibadah  sunat
* Melakukan amalan ibadah pada waktu malam dengan mendirikan  solat sunat taubat dan beristighfar, solat tasbih, solat tahajud, solat witir,  zikir, doa, selawat ke atas Nabi dan solat hajat. Saudari boleh merujuk kepada  ilmuawan agama untuk mengetahui kaedah serta amalan untuk melaksanakan ibadah di  atas secara tertib.
* Sebagai ikhtiar tambahan, amalkan ayat-ayat ruqyah yang  boleh digunakan untuk menjadi pendinding diri dari gangguan makhluk jin dan  syaitan ini.
Semoga kita dapat berkongsi ilmu serta pengalaman yang boleh  menjadi panduan generasi akan datang.
No comments:
Post a Comment