Monday, 9 January 2012

Al-Jinn -dari sudut bahasa

Dari segi bahasa Alquran, kata jin terambil dari akar kata yang terdiri dari tiga huruf: jim, nun, nun. Menurut pakar-pakar bahasa, semua kata yang terdiri dari rangkaian ketiga huruf ini mengandung makna ketersembunyian atau ketertutupan. Kata janna dalam Alquran surah Al-An’am ayat 76 bererti menutup. Kebun yang lebat pepohonannya sehingga menutup pandangan dinamai jannah. Syurga juga dinamai jannah kerana hingga kini ia masih tersembunyi, tidak dapat dilihat oleh mata. Manusia yang tertutup akalnya (gila) dinamai majnuun, sedangkan bayi yang masih dalam perut ibu kerana ketertutupannya oleh perut dinamai janin. Al-junnah adalah perisai kerana dia menutupi seseorang dari gangguan orang lain, baik fizik mahupun non-fizik.





Orang-orang munafik menjadikan sumpah mereka sebagai junnah demikian Alquran surah Al-Munafiqun ayat 3, yakni menjadikannya sebagai penutup kesalahan agar mereka terhindar dari kecaman atau hukuman. Kalbu manusia dinamai janaan kerana ia dan isi hati tertutup dari pandangan dan pengetahuan. Kerana itu pula roh dinamai janaan. Kubur, orang mati, kafan semuanya dapat dilukiskan dengan kata janaan kerana ketertutupan dan ketersembunyian yang selalu berkaitan dengannya.

 
Kata jin pun demikian, ia tersembunyi dan tertutup. Demikian tinjauan kebahasaan. Tetapi, apa makna ketertutupan dan ketersembunyiannya, serta sampai di mana batasnya? Inilah yang menjadi bahasan para pakar dan masyarakat sejak dahulu, bahkan hingga kini.


Jin adalah nama jenis, bentuk tunggalnya adalah Jiniy ( dalam bahasa arab dahulu kala, dan Genie dalam bahasa Inggeris ) yang ertinya “yang tersembunyi” atau “yang tertutup” atau “yang tak terlihat”. Hal itulah yang memungkinkan kita mengaitkannya dengan sifat yang umum “alam tersembunyi”, sekali pun akidah Islam memaksudkannya dengan makhluk-makhluk berakal, berkehendak, sedar dan punya kewajipan, berjasad halus and hidup bersama-sama kita di bumi ini. Dalam sebuah hadith dari Abu Tha’labah yang bermaksud : “Jin itu ada tiga jenis iaitu : Jenis yang mempunyai sayap dan terbang di udara, Jenis ular dan jengking dan Jenis yang menetap dan berpindah-pindah.”
Apakah jin itu?

Berbeza dengan kaum materialis yang berwawasan sempit, umat Islam, bahkan majoriti umat beragama di dunia ini mengakui adanya sesuatu yang dinamakan jin.
Pendapat Pakar Islam Rasionalis

Meskipun majoriti umat mengakui adanya jin, pemahaman mereka tentang makhluk yang tersembunyi ini berbeza-beza. Bahkan, para pakar Islam pun terdapat beberapa pendapat tentang makhluk jin. Pakar-pakar Islam yang sangat rasional tidak mengingkari ayat-ayat Alquran yang berbicara tentang jin, tetapi mereka memahaminya bukan dalam pengertian hakiki. Paling tidak ada tiga pendapat yang menonjol dari kalangan rasionalis Islam menyangkut makhluk jin.

1. Mereka memahami jin sebagai potensi negatif manusia. Menurut penganut fahaman ini, malaikat adalah potensi positif yang mengarahkan manusia ke arah kebaikan.

Pandangan ini menjadikan jin sepenuhnya sama dengan syaitan. Di sisi lain mereka menilainya tidak memiliki wujud tersendiri kerana jin atau syaitan menurut fahaman ini merupakan potensi negatif yang berada di dalam diri manusia.

2. Mereka memahami antara lain sebagai virus dan kuman-kuman penyakit. Fahaman ini mengakui eksistensi jin tetapi menyatakannya sebagai kuman-kuman. Maka, mereka menilainya bukan makhluk berakal, apalagi makhluk mukalaf, yang dibebani tugas-tugas tertentu oleh Allah s.w.t.


3. Mereka yang memahami jin sebagai jenis dari makhluk manusia liar yang belum berperadaban. Pendapat ini dikemukakan kali pertama oleh salah seorang pemikir India kenamaan yang bernama Ahmad Khan (1817–1898 M), yang menulis buku tentang jin dalam pandangan Alquran. Menurutnya, ayat-ayat yang menunjukkan tentang jin tidak dapat dijadikan bukti tentang adanya makhluk yang bernama jin. Ahmad Khan juga menguatkan pendapatnya dengan beberapa syair-syair jahiliah.

Bintu asy-Syathi, Aisyah Abdurrahman, pakar kontemporari Mesir dalam bidang bahasa dan Alquran, dalam bukunya Al-Qur’an wa Qadhaya al-Insan menulis antara lain lebih kurang sebagai berikut.


“Bukanlah satu keharusan membatasi pengertian jin pada hal-hal yang secara umum kita kenal pengertiannya sebagai hantu-hantu yang tidak nampak kepada kita kecuali dalam kegelapan yang manakutkan atau gambaran waham dan ilusi. Tetapi kata jin sesuai dengan pengertian kebahasaan yakni ketertutupan dan sesuai juga dengan kebiasaan Alquran memperhadapkan penyebutannya dengan ‘ins’ (manusia) dapat mencakup semua jenis makhluk selain manusia yang hidup di alam-alam yang tidak terlihat atau terjangkau dan yang berada di luar batas alam tempat kita manusia hidup, serta yang tidak terikat dengan hukum-hukum alam yang mengatur kehidupan kita sebagai manusia.”


Atas dasar pandangan ini, Bintu asy-Syathi tidak menutup kemungkinan jin masuk dalam pengertian apa yang dinamakan UFO (Unidentified Flying Object). Dalam dunia sains dan teknologi, UFO adalah objek yang dilihat di angkasa dan diduga sebagai makhluk angkasa yang datang dari luar planet bumi namun tidak dapat dikenalpasti.

No comments:

Post a Comment