Friday, 27 January 2012

At-Talaq -bertawakal






وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ إِنَّ اللَّهَ بَالِغُ أَمْرِهِ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْراً

3 . Dan memberinya rezki dari arah yang tidada disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah niscaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan (yang dikehendaki)-Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.


Untuk mencapai kecemerlangan, selepas setiap perancangan, usaha dan jihad dilakukan, kita perlulah bertawakal kepada Allah. Dalam kitab Dalilul Falihin dinukilkan definisi dari kitab Al-Hikmat yang mendefinisikan tawakal sebagai “yakin sepenuhnya kepada dia yang memberikan jaminan (iaitu Allah).” Imam Abu Uthman Al-Hairi pula mendefinisikan tawakal sebagai “berasa cukup dengan Allah dan bergantung kepadanya.”

Kita bertawakal kerana secara dasarnya kita tidak memiliki apa-apa pun tanpa keizinan Allah. Usaha yang kita lakukan pun berlaku dengan izinnya. Justeru dalam sebuah hadis oleh Imam Al-Hakim, nabi menggalakkan umat Islam berkata, “Lahaula wala quwwatailla billah.” Ia bermaksud, “Tidak ada sebarang daya dan kekuatan melainkan di sisi Allah.” Mereka yang bertawakal akan mendapat keuntungan yang besar. Imam Tirmizi meriwayatkan sabda nabi yang bermaksud, “Jika kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal kamu akan dikurniakan rezeki sebagaimana burung-burung dikurniakan rezeki, berpagi-pagi ia keluar dengan perut kosong dan berpetang-petang ia kembali kekenyangan.”

Tawakal Dan Usaha

Tawakal memerlukan usaha. Dalam Dalilul Falihin dinukilkan perkataan Imam Qusyairi yang bermaksud, “Ketahuilah tempat bagi tawakal ialah di hati. Adapun pergerakan zahir (iaitu usaha), ia tidak membatalkan tawakal yang di hati kerana si hamba telah meyakini bahawa apa yang akan berlaku adalah mengikut ketetapan Allah. Jika dipermudahkan usahanya maka ia berlaku dengan kehendak Allah demikianlah juga sebaliknya.”

Dalam berusaha hukum sebab musabab tidak boleh dilupakan. Mengikut Bukhari dan Muslim nabi menyimpan untuk keluarga baginda makanan untuk setahun. Dalam konteks yang sama, nabi telah menegur seorang arab badwi yang membiarkan untanya merayau-rayau dengan berkata, “Ikatlah ia dan kemudian hendaklah kamu bertawakal.” Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Tirmizi. Demikian juga dalam aspek pengubatan. Apabila kita mendapat sakit kita disuruh berubat. Berhubung dengan ini Imam Tirmizi dan Ibn Majah meriwayatkan sabda nabi yang bermaksud, “Berubatlah wahai hamba Allah. Sesungguhnya Allah telah menjadikan penyakit dan ubat.”

Imam Al-Ghazali telah merumuskan konsep ini dalam kitab Ihya Ulumuddin dengan berkata, “Tidaklah mengurangkan tawakal dengan mengunci rumah ketika keluar dari rumah atau ketika menambat unta (kenderaan), kerana kesemua ini dikenali sebagai sunah Allah.”

Adab-Adab Tawakal

Tawakal dan usaha berhubung harta benda mempunyai adab-adabnya. Imam Al-Ghazali menggariskan enam adab dalam kitab Ihya Ulumuddin.

1. Mengunci pintu rumah untuk memelihara harta. Malik bin Dinar mengikat pintu rumahnya dengan tali.

2. Tidak ditinggalkan di dalam rumah benda-benda berharga yang dapat menarik perhatian pencuri untuk mencuri.

3. Ketika keluar dari rumah hendaklah seseorang itu serahkan keselamatan rumah itu kepada Allah dan dia reda dengan ketetapan Allah. Jika berlaku kecurian dia tetap reda dengan Allah.

4. Tidak bergundah gulana jika harta bendanya dicuri. Sebaiknya hendaklah dia bergembira dan berkata, “Jika ada kebaikan pada harta ini pasti ia tidak akan dicuri.” Unta sahabat Abdullah ibn Omar pernah dicuri orang. Beliau mencari unta itu sehingga kepenatan dan akhirnya beliau berkata, “(Unta itu aku serahkan) pada jalan Allah.”

5. Tidak didoakan kemelaratan dan musibah bagi pencuri itu kerana perbuatan itu membatalkan tawakal.

6. Dia berdukacita bagi pencuri itu kerana pencuri itu telah melakukan maksiat dan maksiat mendekatkan seseorang pada azab Allah. Dia bersyukur kepada Allah kerana dia berada di pihak yang teraniaya dan bukan yang menganiaya.

Doa Agar Senantiasa Dapat Bertawakal

“Ya Tuhan kami, hanya kepada Engkau kami bertawakal dan hanya kepada Engkau kami bertaubat dan hanya kepada Engkaulah kami kembali. (Q.S. al-Mumtahanah [60]: 4)”

Daripada Abdullah ibn Abbas ra, bahawa Rasulullah pernah berdoa:

“Ya Allah aku berserah kepada engkau, aku beriman kepada engkau, aku bertawakal kepada engkau, aku kembali kepada engkau dan aku berjuang kerana engkau. Ya Allah, aku berlindung dengan kemuliaan dan kekuatan engkau, tiada Tuhan yang aku sembah melainkan engkau, janganlah aku disesatkan. Engkau yang hidup dan tidak akan mati sedangkan jin dan manusia semuanya akan mati (Muttafiqun alaih)”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Doa adalah mustajab bagi orang mukmin. Oleh itu hendaklah berdoa kepada Allah dengan menyerahkan diri dengan penuh keimanan dan bertawakal kepadanya serta memuji sifat-sifatnya. Setiap hamba Allah hendaklah meletakkan sepenuh harapan kepadanya supaya diterima doanya.

No comments:

Post a Comment