
Surah ini diturunkan di Mekah, mengandungi 28 ayat.  Dinamakan surah “Al-Jinn” (Perihal  Jin), kerana pada awal surah ini, Allah Ta’ala perintahkan Nabi Muhammad  (s.a.w.) menyatakan kepada umum bahawa ia telah diwahikan kepadanya mengenai  perihal jin.
 Tujuannya supaya diketahui oleh umum bahawa Baginda  sebagaimana ia diutuskan menjadi Rasul kepada umat manusia, ia juga diutuskan  menyampaikan Islam kepada umat jin, dan bahawa ada di antara golongan jin yang  telah Islam – dengan beriman kepada Allah dan RasulNya dan juga kepada Al-Qur’an  yang mereka dengar Baginda membacanya.
 Intisari  kandungannya surah ini :  Membentangkan hakikat bahawa satu rombongan jin telah mendengar Al-Qur’an yang  dibacakan oleh Nabi Muhammad (s.a.w.) dan bahawa mereka telah beriman dan telah  menjalankan dakwah Islamiyah dalam kalangan kaum masing-masing.
 Setelah menerangkan bahawa jin itu ada yang Islam dan  ada yang kafir, Allah Ta’ala wahikan kepada Baginda supaya menyatakan kepada  umum : Bahawa sesungguhnya kalau manusia dan jin berjalan betul di atas jalan  Islam, sudah tentu Allah akan memberikan mereka sebab-sebab kemewahan, untuk  menguji adakah mereka bersyukur dan tetap betul menurut Islam atau  sebaliknya.
 Ya’ni limpahan nikmat dari Allah Ta’ala Yang Maha  Pemurah kepada seseorang, mewajibkan orang itu melipat gandakan ibadat dan  syukurnya, kerana tiap-tiap satu nikmat yang datang kepada manusia  berkehendakkan orang itu bersyukur kepada Allah yang mengurniakannya; kalau  tidak, nikmat itu akan menjadi bala’ bencana.
 Surah ini diakhiri dengan menerangkan: Bahawa Nabi  Muhammad (s.a.w.) diberi kuasa hanya menyampaikan wahi dari Allah dan  perintah-perintahNya yang ditugaskan menyampaikannya; dan sesiapa yang  menderhaka kepada Allah dan ingkarkan bahawa RasulNya, buruklah akibatnya.  
No comments:
Post a Comment