Sepertimana  tajuk post kali ini, sudah pasti ada yang tertanya-tanya wujudkah generasi  al-Muzammil ini? Ya, itulah jawapannya. Kewujudannya bermula seawal penurunan  wahyu Surah al-Muzammil kepada Rasulullah. Sama-samalah kita mentadabbur surah  ini dalam menghayati intipati serta taujihatnya.
Sepertimana  yang kita tahu, Allah telah mewajibkan qiyamullail kepada Rasulullah . Ia secara  jelas dinyatakan di awal surah ini. Baginda dan para sahabat telah melaksanakan  ‘qiamulail’ atau solat malam di sebahagian malam sehingga bengkak kaki-kaki  mereka. Setelah genap dua belas bulan, Allah memberikan keringanan dengan  diturunkannya ayat yang kedua puluh dari surah ini Maka berubahlah hukum  qiamulail yang sebelum ini wajib kepada semua menjadi satu ibadah yang sunat  namun kewajipan tersebut masih tetap kepada baginda Rasulullah. 
Perlu  kita fahami bahawa kewajipan qiamullail bukanlah sekadar berdiri untuk  melaksanakan solat berjam-jam lamanya. Tetapi ia lebih daripada itu. Ia  merupakan satu tarbiyah imaniyah dalam menguatkan rohani. Apabila kita berbicara  bagaimana hendak menguatkan jasmani kita? Sudah pasti pelbagai method serta  pelaksanaan dapat kita nyatakan bermula dengan diet yang seimbang, ditambah  dengan mengambil vitamin tambahan dan akhir sekali senaman yang berkala iaitu  sekurang-kurangnya 3 kali dalam seminggu. 
Apa  yang dikesalkan persoalan memantapkan rohani amat sukar untuk dibicara serta  dilaksanakan. Sekiranya jasmani kita boleh lapar dan sakit, begitu juga rohani,  malah mampu MATI apabila terus  dibiarkan sakit dan lapar. Tarbiyah imaniyah ini adalah satu  tarbiyah yang terus berhubung dengan Yang Maha Pencipta, melalui munajat  ke padaNya. Selain itu, ia juga merupakan wasilah untuk mendekatkan diri,  berzikir dan bertawakkal kepadaNya.
        ‘Sebutlah nama Tuhanmu, dan beribadatlah kepada-Nya dengan penuh ketekunan.  (Dia-lah) Tuhan masyrik dan maghrib, tiada Tuhan (yang berhak disembah)  melainkan Dia, Maka ambillah Dia sebagai Pelindung.’  (Al-Muzammil:8-9)
Ingatlah  bahawa berzikir kepada Allah dengan taat, tunduk dan patuh serta pada masa yang  bertawakkal setelah berusaha dan beribadah hanya kepadaNya, merupakan senjata  yang sangat ampuh di medan dakwah yang penuh dengan rintangan dan cubaan.  Kesannya menjadikan para dua’t dan mujahid terbiasa dan mampu untuk bersabar  secara berterusan atas segala cubaan yang mendatang. Mereka juga akan mampu  menanggung derita di medan ini dan terus istiqamah dalam mempertahankan perkara  yang hak.
        Katakanlah:  "Tidak sama yang buruk dengan yang baik, meskipun banyaknya yang buruk itu  menarik hatimu, Maka bertakwalah kepada Allah wahai orang-orang berakal, agar  kamu mendapat kejayaan." (Al-Maidah:100)
Ini  semua merupakan satu-satunya senjata pada marhalah makkiah ini. Marhalah yang  belum diizinkan untuk menghadapi kaum kafir secara  langsung.
        ‘Dan  Bersabarlah terhadap apa yang mereka  ucapkan dan jauhilah mereka dengan cara yang  baik.’ (Al-Muzammil:10)
Sesungguhnya  di atas pundak seseorang da’i terbeban panji-panji dakwah, cubaan, siksaan dan  mehnah merupakan satu kepastian yang sudah tentu sangat memerlukan senjata untuk  mengukuhkan jiwa dan rohani mereka. Qiamulail inilah senjatanya. Senjata yang  mampu meneguhkan hati dan jiwa mereka. Kekuatan yang sesekali tidak dapat  dimiliki hanya setelah digembleng dengan gemblengan Al-Muzammil. Seterusnya  sesuatu organisasi perjuangan sekiranya generasinya tidak diasuh dengan asuhan  dan tarbiyah Al-Muzammil, maka mereka akan mudah jatuh dan lemah atau futur di  tengah jalan ketika mereka berhadapan dengan cubaan dan rintangan.
Konklusinya,  penghasilan generasi al-Muzammil yang mantap adalah sesuatu yang amat penting  untuk kesinambungan survival dakwah. Generasi pemuda yang memiliki sebahagian  al-Quran di dada mereka amat-amat diperlukan untuk memimpin arus organisasi  perjuangan Islam dalam era globalisasi ini. Satu zaman yang penuh dengan  kegelapan yang memerlukan kekuatan rohani para duat untuk menjunjung serta  menjulang risalah Allah.Apa yang menjadi bekalan kita adalah al-Quran dan  hadith. Dengan bekal ini, kita akan mampu untuk terus meneguk nikmatNya serta  dapat terus bermunajat dan bertaqarrub kepadaNya.
Inilah  potret generasi al-Muzammil, yang seharusnya kita kejar. Seorang pemuda yang  telah melalui hari-harinya dengan kecintaan pada ibadah, ketaatan , dan taqarrub  kepadaNya. Pemuda yang selalu bertilawah dengan tartil, yang setiap malam air  matanya bercucuran deras dari kelopak matanya bukan kerana putus cinta manusia  tetapi kerana mentadabbur ayat-ayatNya untuk mencari cinta ilahi . Pemuda yang  al-Quran terukir di hati dan fikirannya
No comments:
Post a Comment