Sunday, 1 January 2012
An-Naba' -pengajaran 1 - 16
Allah SWT telah menciptakan kehidupan di dunia untuk diuji kepatuhan mereka kepada Allah. Selepas kehidupan ini Allah akan menghentikan pentas kehidupan dan diadakan majlis penilaian dan anugerah. Hari penilaian dan penyampaian augerah inilah yang dimaksudkan dengan hari kiamat atau pembalasan. Setiap prestasi manusia ketika kehidupan di bumi akan dinilai dengan terperinci dan adil berdasarkan rekod yang amat lengkap. Keputusan penilaian ini akan diumumkan dan terus diberi ganjaran bagi mereka yang berjaya dan hukuman bagi mereka yang gagal.
Allah telah memberi al Quran sebagai panduan yang lengkap dan Allah telah menghantar Rasul untuk memberi taklimat tentang tugasan atau ‘task’ yang perlu manusia lakukan. Rasul juga telah memberi taklimat tentang syarat-syarat yang perlu dipatuhi. Baginda juga menerangkan dengan jelas cara-cara untuk melepasi ujian dan berjaya dengan mudah. Baginda juga menerangkan akibat pelanggaran syarat yang telah ditetapkan oleh Allah.
Allah amat marah melihat manusia yang masih lagi keras kepala dan engkar kepadanya dan menafikan wujudnya hari penilaian dan pembalasan. Kebodohan mereka yang menolak kewujudan hari penilaian dan pembalasan tidak akan mengubah apa-apa. Setuju atau tidak mereka akan hadapi hari tersebut. Jadi Allah telah memberi peringatan bahawa Dia telah mencipta kehidupan di dunia yang amat indah, amat sempurna, amat hebat dan Allah ini jugalah yang akan menghancurkan bumi ini dan di wujudkan hari penilaian dan pembalasan. Adakah manusia akan dapat lari dari ketentuan ini?
Di dalam ayat 6 hingga 16 Allah telah menghuraikan konsep asas kejadian bumi ini dan sistemnya. Sistem langit, tanah, matahari, konsep malam dan siang dan keperluannya dan juga sistem kitaran air untuk menyuburkan tanah sehingga boleh menumbuhkan tanaman yang pelbagai. Semua proses ini Allah telah cipta dan sediakan agar manusia dapat hidup dengan selesa. Sistem ini wajib di fahami dan diterokai oleh manusia agar ia dapat dikembangkan untuk menjadikan kehidupan ini lebih sejahtera. Manusia juga perlu mengelak dari melanggar sistem yang telah ditetapkan oleh Allah agar ianya tidak mendatangkan kerosakan yang boleh menghancurkan kehidupan.
Ingatlah keindahan dan keselesaan kehidupan di dunia ini menuntut kepatuhan dan kehambaan pada Allah. Nun di sana ada lagi kehidupan yang perlu ditempuh oleh manusia dan ia bergantung kepada keadaan kehidupan di dunia ini. Patuhlah pada Allah pastinya anda selamat. Engkar kepada Allah tanda anda akan celaka ..
Selamat menjalani kehidupan yang amat mencabar
Labels:
An-Naba'
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment