
Adakah eksistensi atau wujud dari sesuatu yang  dinamai oleh Alquran dengan jin (atau syaitan)?
Imam Al-Haramain dalam kitabnya yang berjudul  Asy-Syamil pernah menjelaskan, “Majoriti ahli falsafah, orang-orang Qadariyah,  dan kebanyakan kafir zindik (orang yang melahirkan keislaman tetapi batinnya  kafir) sama sekali tidak mengakui adanya syaitan dan jin.” 
Selanjutnya, beliau  memberikan komentar dengan ungkapanya, “Tidak apalah orang-orang yang tidak  mengakui adanya jin itu orang-orang yang tidak berpegang teguh dengan syariat,  yang menghairankan adalah pengingkaran kaum Qadariyah dengan melandaskan  pendapatnya pada nas-nas Alquran, hadis, dan atsar.”
Abul Qasim al-Anshari dalam kitabnya yang  berjudul Syarah al-Irsyad menerangkan, “Kaum Muktazilah juga mengingkari adanya  jin, pengingkaran mereka ini justeru menunjukkan kurangnya perhatian dan  nipisnya keagamaan mereka. Sedang menurut hukum akli saja adanya jin ini tidak  mustahil. Nas-nas Alquran dan hadis pun menunjukkan adanya jin. Oleh kerana itu,  bagi para cendekiawan yang berpegang pada syariat agama Islam pasti akan  menetapkan sesuatu yang dibenarkan akal dan telah dinas oleh syara.”
Abul Qasim Abu Bakar al-Baqilani memberikan  keterangan yang lebih terperinci lagi, iaitu sebagai berikut.
- Majoriti kaum Qadariyah mengakui adanya jin  pada zaman dahulu, tetapi pada zaman sekarang mereka tidak percaya.
- Sebahagian dari mereka ada yang menetapkan  adanya jin tetapi tidak dapat dilihat lantaran jasadnya yang halus sehingga  sinar pun dapat menembusnya. Ada yang memberikan alasan sehubungan dengan tidak  terlihatnya, iaitu kerana jin tidak mempunyai warna atau rupa.
- Berpegang teguh pada lahirnya dalil,  hadis-hadis dhaif, serta ijma' ulama pada masa sahabat dan tabi’in cukup dapat  meyakinkan kita bahawa jin dengan syaitan itu benar-benar ada. Dan orang-orang  yang kuat agamanya tidak akan membantah kesepakatan ulama tersebut di atas.  Barang siapa mengingkari keberadaan jin setelah mengetahui dasar-dasar yang  digunakan, orang yang bersangkutan perlu dicurigai keagamaannya yang bererti  pula bahawa dia telah keluar dari agama, yakni murtad.
Ibnu Taimiyyah berpendapat bahawa tidak seorang  pun dari kaum muslimin dan kebanyakan dari golongan orang-orang kafir yang tidak  mengakui adanya jin. Demikian juga orang-orang ahli kitab, baik Yahudi mahupun  Nasrani, mereka mengakui dan menetapkan bahawa jin itu benar-benar ada, yang  demikian itu berita-berita para nabi a.s. telah mutawatir, menunjukkan bahawa  jin itu ada hidup berakal sihat dan terkena beban baik yang berupa perintah  mahupun larangan.
Perlu dicatat bahawa ketika seseorang  menyatakan bahawa jin adalah makhluk halus, maka kehalusan yang dimaksud tidak  harus difahami dalam erti bahawa hakikatnya demikian, tetapi penamaan itu  ditinjau dari segi ketidakmampuan manusia melihatnya. Jika demikian, boleh jadi  saja ia makhluk kasar, tetapi kerana keterbatasan mata manusia, maka ia tidak  kelihatan, dan kerana ia tidak kelihatan, bahasa manusia menamakannya makhluk  halus.
Dalam pandangan sementara ilmuwan muslim ada  lima hal yang merupakan hierarki keseluruhan realiti wujud, iaitu alam naasuut  (alam materi), alam malakuut (alam kejiwaan), alam jabaruut (alam roh), alam  laahuut (sifat-sifat uluhiyah), dan alam haahuut (wujud zat Ilahi). Kelima ragam  bentuk wujud di atas mereka sebut dengan istilah al-hadharaat al-ilahiyah  al-khams (lima kehadiran Ilahi). Hanya alam pertama yang dapat dijangkau oleh  manusia secara umum, dan kerana itu Allah bersumpah dalam Alquran, “Aku  bersumpah dengan apa yang kamu lihat dan apa yang kamu tidak lihat.” (Al-Haaqah:  38–39).
Berkaitan dengan makhluk ciptaan Allah, Alquran  secara tegas menyatakan, “Dia (Allah) menciptakan apa yang kamu tidak ketahui.”  
(An-Nahl: 8).
Jangan kan makhluk-makhluk yang menghuni  seluruh alam raya, yang berada di planet bumi yang kita huni saja belum semua  dapat kita ketahui, bahkan dari kita sebagai manusia banyak sisinya yang sampai  kini masih merupakan hal-hal yang ghaib sekalipun bagi para pakar.
Ilmu pengetahuan hingga kini belum banyak  mengetahui rahsia fenomena alam yang terbentang di hadapan ilmuwan, bahkan  walaupun yang mereka gunakan dalam eksperimen-eksperimen mereka, misalnya  eletrik! Bahkan, dewasa ini ramai pakar yang percaya adanya sesuatu yang tidak  dikenali atau tidak mereka ketahui.
Merupakan satu keangkuhan intelektual, menolak  atas nama ilmu pengetahuan, wujud sesuatu yang diinformasikan oleh kitab suci  dengan alasan bahawa dunia empiris tidak menyaksikannya atau laboratorium tidak  mengesannya. Kebenaran tidak diukur di makmal, atau dibuktikan melalui  eksperimen. Banyak informasi dari kitab suci yang dahulunya oleh para ilmuwan  dianggap atau ditafsirkan secara metafora, tetapi kini ternyata benar dan tidak  perlu difahami secara metafora.
Di sisi lain, kepercayaan dan agama bersumber  dari rasa manusia yang mendalam. Perasaan tidak diukur dengan ukuran material  atau harus dihidangkan dalam dunia nyata. Para ilmuwan lah yang terlebih dahulu  mentertawakan, bahkan mengecam siapa yang menggunakan alat ukur yang tidak  sesuai dengan objek yang akan diukur. Anda keliru jika menggunakan timbangan  untuk mengukur panjang dan luas ruangan.
Ada banyak hal yang tidak diberitahu dalam  agama, boleh jadi kerana tidak perlu diketahui manusia, boleh jadi juga kerana  bila dijelaskan tidak akan dicerna oleh fikirannya. “Mereka bertanya tentang  roh. Katakanlah, ‘Roh adalah sebahagian dari urusan Tuhanku.’ Kalian tidak  diberi pengetahuan kecuali sedikit.” 
(Al-Isra: 85).
Meskipun telah dicapai kemajuan dalam bidang  psikologi, yang belum terungkap dari jiwa manusia masih jauh lebih banyak. Ini  terhadap manusia yang wujudnya kelihatan dan dapat diukur, dapat diraba dan  dibawa ke makmal untuk diuji dan dianalisis. Bagaimana dengan sesuatu yang sejak  semula dinyatakan jin, yakni sesuatu yang tersembunyi dan yang tidak dapat  dilihat oleh manusia? Sekali lagi jangan tergesa-gesa menolaknya. Memang ada  informasi dari kitab suci yang belum terbukti. Ada juga yang sebelum ini tidak  dapat dibuktikan oleh generasi lalu, tetapi kini telah terbukti. Sekali lagi,  merupakan kekeliruan intelektual menolak informasi yang belum terbukti itu  selama belum dapat dibuktikan kekeliruannya dengan alat ukur yang  sesuai.
No comments:
Post a Comment