
Seperti dikemukakan sebelum ini, ada jin yang  taat kepada Allah dan ada pula yang durhaka, membangkang terhadap perintah-Nya  dan mengajak kepada kedurhakaan.
Jin muslim yang taat, yang mendengar dengan  tekun ayat-ayat Alquran memahami pesan-pesannya serta mengecam kaumnya yang  membangkang.
Dalam surah Al-Jin, Allah s.w.t berfirman,  “Sesungguhnya kami telah mendengar Quran yang menakjubkan, yang memberi petunjuk  ke jalan yang benar.” Demikian ucapan mereka ketika pertama kali mendengar  ayat-ayat Alquran.
“Kami sekali-kali tidak mempersekutukan sesuatu  pun dengan Tuhan kami.” 
(Al-Jin: 2–3).
Demikian jin yang beriman mengemukakan  keyakinan mereka dengan murni tidak disentuh oleh kekeruhan, tidak pula  bercampur dengan khurafat. Hal ini kerana sebelum mengenal Alquran, mereka telah  mengenal kitab suci yang diturunkan Allah kepada Nabi Musa a.s., sebagaimana  ucapan mereka dalam ayat lain ketika menyampaikan tentang Alquran kepada kaum  mereka. Mereka berkata, “Hai kaum kami, sesungguhnya kami telah mendengarkan  kitab (Alquran) yang telah diturunkan sesudah Musa yang membenarkan kitab-kitab  yang sebelumnya legi memimpin kepada kebenaran dan kepada jalan yang lurus.”  (Al-Ahqaaf: 30).
Mereka tahu bahawa ada di antara mereka yang  durhaka, mengada-ada terhadap Allah, antara lain ada yang mengatakan bahawa  terjalin hubungan antara Allah dengan jin, yang menghasilkan anak-anak berupa  malaikat. Jin muslim yang taat dengan tegas membantah dengan menyatakan, “Bahawa  Maha Tinggi kebesaran Tuhan kami. Dia tidak beristeri dan tidak (pula) beranak.”  (Al-Jin: 3).
“Orang yang kurang akal dari jenis kami, dahulu  selalu mengatakan (perkataan) yang melampaui batas terhadap Allah.” (Al-Jin:  4).
Mereka hairan dengan pernyataan itu, kerana  seperti kata mereka, “Sesungguhnya kami tadinya mengira bahawa manusia dan jin  sekali-kali tidak akan mengatakan perkataan yang dusta terhadap Allah.” (Al-Jin:  5).
Dalam ayat-ayat di atas terbaca betapa bersih  hati mereka, sampai-sampai mereka tidak menduga bahawa ada manusia atau jin yang  berbohong. Tetapi, begitulah kenyataan yang mereka jumpai pada manusia dan jin  yang durhaka. Bahkan lebih dari itu, ada manusia yang meminta perlindungan  kepada jin, atau ada jin yang merasa dapat memberi perlindungan kepada manusia.  Ada beberapa orang di antara manusia meminta perlindungan kepada beberapa di  antara jin. Maka, jin-jin itu menambah bagi mereka dosa dan kesulitan. Demikian  ucapan jin lebih lanjut, sebagaimana diabadikan dalam surah Al-Jin ayat 6.
Meskipun jin muslim yang diceritakan di dalam  Alquran itu adalah mereka yang beriman dengan benar, murni, tidak bercampur  dengan khurafat, tidak menutup kemungkinan ada jin-jin muslim yang keislaman dan  keimanannya masih lemah. Hal itu sama halnya dengan manusia, yang juga  diceritakan di dalam Alquran tentang orang-orang yang beriman dan bertakwa  kepada Allah, tetapi di kalangan manusia ada saja yang keimanan dan keislamannya  masih lemah.
Dengan demikian, antara bangsa manusia dengan  bangsa jin ada kesamaan dalam beragama atau berkepercayaan. Jika manusia ada  yang beragama Islam, Kristian, Hindu, Buddha, kebatinan, dll, di kalangan bangsa  jin juga demikian. Hal ini dapat kita lihat di dalam kenyataan sehari-hari  bahawa ramai rakan-rakan dakwah kita yang menghadapi orang yang kerasukan,  setelah ditanya agamanya apa, ternyata jin yang merasuk ke dalam tubuh manusia  itu ada yang beragama, ada yang tidak; ada yang Islam, ada yang non-Islam.
“Sesungguhnya di antara kami ada orang-orang  yang saleh dan di antara kami ada (pula) yang tidak demikian halnya. Adalah kami  menempuh jalan yang berbeza-beza.” 
(Al-Jin: 11)
Apakah di antara jin ada nabi dan  rasul?
Menurut jumhur ulama salaf dan khalaf, tidak  ada sama sekali di antara jin yang menjadi rasul atau nabi. Inilah yang  diriwayatkan oleh Ibnu Abbas, Mujahid, Al-Kalbi, dan Abi Ubaid.
Imam Suyuthi mengatakan, Ibn Humaid, Ibn  al-mundzir, dan Ibn Abi Hatim meriwayatkan dari Mujahid tentang ayat “Hai  golongan jin dan manusia, apakah belum datang kepadamu rasul-rasul dari golongan  kamu sendiri,” kata Mujahid, tidak ada rasul pada bangsa jin. Rasul-rasul hanya  ada pada manusia, sedangkan nadzdzarah (peringatan) ada pada jin. Selanjutnya,  dia membaca ayat “Ketika pembacaan telah selesai, mereka kembali kepada kaumnya  (untuk) memberi peringatan.” (Al-Ahqaf: 29).
Ibn al-Mundzir mengeluarkan riwayat dari Ibn  Juraij sekitar rasulum minkum (para rasul dari kalian), kata Juraij, “Utusan  para rasul.” Selanjutnya dia membacakan ayat, “Mereka kembali kepada kaumnya  (untuk) memberi peringatan.”
Ibn Jarir dari Adh-Dhahak meriwayatkan bahawa  dia ditanya tentang jin: apakah pada mereka ada nabi yang diutus sebelum  Muhammad? Adh-Dhahhak menjawab, “Apakah kamu tidak mendengar ayat Allah, ‘Wahai  sekalian jin dan manusia, apakah belum datang bagimu rasul-rasul dari golongan  kamu?’ Yang dimaksud ayat tersebut adalah para rasul dari golongan manusia dan  para rasul dari golongan jin. Mereka menjawab, “Ya.”
Ibn Hazm berkata, “Seorang nabi tidak pernah  diutus kepada golongan jin sebelum Nabi Muhammad s.a.w. Kerana, menurut ijma,  beliau nabi akhir zaman. Nabi s.a.w. mengatakan, “Seorang nabi diutus kepada  kaumnya saja.” Dengan yakin kita tahu bahawa mereka (golongan jin) telah diberi  peringatan. Kerana itu, para nabi dari mereka mendatangi mereka, seperti dalam  ayat berikut, “Apakah belum datang kepadamu utusan dari kamu?”
Imam Suyuthi mengatakan bahawa apa yang  dikatakan oleh Adh-Dhahhak ditunjukkan juga oleh apa yang diriwayatkan Ibn  Juraij, Ibn Abi Hatim, Al-Hakim, dan Al-Baihaqi (dalam Asy-Syu’aib) dari Ibn  Abbas tentang ayat “dan seperti itu pula di bumi.” dia mengatakan, “Tujuh bumi,  pada setiap bumi ada nabi seperti nabi-nabi kamu, Adam seperti Nabi Adam, Nuh  seperti Nabi Nuh, Ibrahim seperti Nabi Ibrahim, dan Isa seperti Nabi Isa  kamu.”
Majoriti ulama memberikan penafsiran bahawa  mereka adalah satu kaum dari golongan jin, bukan para rasul Allah, lalu mereka  mendengar pembicaraan para rasul Allah yang mereka itu dari Bani Adam. Kemudian,  mereka kembali ke kaumnya, dan memberikan peringatan kepada mereka.
Imam Suyuthi mengatakan, As-Subki mengatakan  dalam fatwanya, “Al-Kalbi mengatakan, ‘Para rasul sebelum dibangkitkannya  Muhammad diutus kepada manusia saja, sedangkan Muhammad diutus untuk golongan  jin dan manusia’.”
Selanjutnya, persoalan tersebut dikatakan oleh  As-Subki, “Tidak ragu lagi bahawa jin diberikan beban pada umat-umat terdahulu,  sebagaimana mereka diberikan beban dalam agama ini. Beban tersebut terjadi  melalui pendengaran mereka dari Rasulullah atau dari orang yang jujur mengenai  hal itu. Mengenai apakah mereka dari jenis manusia atau jin tidak ada dalil yang  pasti. Konteks eksplisit Alquran adalah seperti yang dikatakan oleh Adh-Dhahhak,  sedangkan kebanyakan ulama memiliki pendapat yang berbeza dengan itu. Mentahqiq  masalah tersebut merupakan sesuatu yang tidak ada faedahnya.
No comments:
Post a Comment