Qiamullail boleh diertikan sebagai sembahyang malam, bermula daripada selesainya solat Isya’ hinggalah masuknya waktu Subuh. Sebelum turunnya perintah Allah berkenaan qiamullail ini, umat Islam di Makkah pada ketika itu masih lagi sembahyang secara sembunyi-sembunyi di lembah-lembah. Imam Ahmad meriwayatkan dari Aisyah ra. bahawa dengan turunnya ayat 1-7 daripada surah al-Muzammil ini maka qiamullail menjadi ibadah yang wajib. Kewajipan ini bertahan selama setahun hingga akhirnya di akhir surah tersebut Allah menurunkan keringanan sehingga qiamullail menjadi sunnah hukumnya.
“Wahai orang yang berselimut! Bangunlah pada malam hari kecuali sebahagian kecil, iaitu separuhnya atau kurang sedikit daripada itu, atau lebih daripada itu, dan bacalah Al-Quran itu dengan perlahan-lahan. Sesungguhnya Kami akan menurunkan perkataan yang berat kepadamu. Sungguh, bangun malam itu lebih kuat dan lebih berkesan. Sesungguhnya pada siang hari engkau sangat sibuk dengan urusan-urusan yang panjang.”
Allah tidak memerintahkan qiamullail untuk mempersulit manusia bahkan sebenarnya untuk memperkuatnya. Dengan qiamullail, seorang Muslim akan memperoleh tenaga tambahan yang dikatakan ‘super’ untuk menggalas tugas-tugas yang sangat berat. Bagaimana proses munculnya kekuatan tersebut? Tentulah tidak dengan tiba-tiba, tetapi semua itu melalui proses merutinkan qiamullail dalam hidup hinggalah ke tingkatan kekhusyukannya.
Superhuman pada kaca mata Islam bukanlah seorang manusia yang kebal tubuh badan mahupun yang boleh terbang ke udara, tetapi superhuman ini adalah mereka yang beriman, bertakwa dan memiliki darjat yang tinggi lagi mulia di sisi Allah SWT. Mereka kebal daripada segala maksiat, mereka mampu memikul beban berat tugas sebagai khalifah di muka bumi, mereka mampu melihat kebesaran Allah dan mereka juga mampu mendengar arahan Allah dan Rasul dengan cahaya hati mereka.
Jadi, apakah kehebatan qiamullail sehinggakan Rasulullah saw konsisten mengamalkannya hingga kedua-dua tapak kakinya pecah-pecah? Hebatkah qiamullail sehingga Salahudin al-Ayubi memilih mereka yang bangun malam sebagai barisan mujahidin paling hadapan untuk menggempur musuh? Ataupun sehingga Umar Abd Aziz berkata,
“ Bagaimana mata ini dapat tertutup rapat dan tenteram sedangkan ia tak tahu di mana kelak ia akan kembali di antara dua tempat..” berulang-ulang?
No comments:
Post a Comment