Thursday, 26 January 2012

bacalah surah NUH




Bacalah Surah Nuh. Saya menyeru sekali lagi... bacalah. Bacalah dan tadabbur. Surah itu penuh dengan inspirasi untuk seorang pendakwah.

Mari kita baca sebahagian darinya.
(Setelah puas menyeru mereka), Nabi Nuh berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menyeru kaumku siang dan malam (supaya mereka beriman)


“Maka seruanku itu tidak memberikan mereka (sesuatu faedah pun) selain daripada menambahi mereka melarikan diri (dari kebenaran).

 
“Dan sesungguhnya aku, tiap-tiap kali menyeru mereka (beriman) supaya Engkau mengampunkan dosa-dosa mereka, - mereka menyumbatkan telinganya dengan jari masing-masing, dan berselubung dengan pakaiannya, serta berdegil dengan keingkarannya, dan berlaku sombong takbur dengan melampau.


“Kemudian aku telah menyeru mereka dengan terang-terang;


“Selain dari itu, aku (berulang-ulang) menyeru mereka secara beramai-ramai dengan berterus-terang, dan menyeru mereka lagi secara berseorangan dengan perlahan-lahan.


“Sehingga aku berkata (kepada mereka): `Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun.


“(Sekiranya kamu berbuat demikian), Ia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu;

“Dan Ia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya

harta kekayaan serta anak-pinak; dan Ia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).


“Mengapa kamu berkeadaan tidak menghargai kebesaran Allah (dan kekuasaanNya),

“Padahal sesungguhnya Ia telah menciptakan kamu dengan kejadian yang berperingkat-peringkat?


“Tidakkah kamu mengetahui dan memikirkan bagaimana Allah telah menciptakan tujuh petala langit bertingkat-tingkat,


“Dan Ia menjadikan padanya bulan sebagai cahaya serta menjadikan matahari sebagai lampu (yang terang-benderang),

“Dan Allah telah menumbuhkan kamu (hidup dari benda-benda yang berasal) dari bumi, dengan pertumbuhan yang sungguh-sungguh sempurna,


“Kemudian Ia mengembalikan kamu ke dalam bumi (sesudah mati), dan mengeluarkan kamu daripadanya (sesudah dihidupkan semula untuk dihitung amal kamu dan diberi balasan), dengan pengeluaran yang sesungguh-sungguhnya?

“Dan Allah telah menjadikan bumi bagi kamu sebagai hamparan,

“Supaya kamu melalui jalan-jalan yang luas padanya”.

Nabi Nuh (merayu lagi dengan) berkata: “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya, mereka telah menderhaka kepadaku, dan mereka telah menurut orang yang harta bendanya dan anak-pinaknya tidak menambahinya melainkan kerugian (di akhirat kelak).
“Dan mereka telah menjalankan tipu daya dengan merancangkan rancangan yang amat besar jahatnya (untuk menentang seruanku).

“Dan (ketua-ketua) mereka (menghasut dengan) berkata: `Jangan kamu meninggalkan (penyembahan) tuhan-tuhan kamu, terutama (penyembahan) Wadd, dan Suwaa’, dan Yaghuth, dan Ya’uuq, serta Nasr.

“Dan sesungguhnya ketua-ketua itu telah menyesatkan kebanyakan (dari umat manusia); dan (dengan yang demikian) janganlah Engkau (wahai Tuhanku) menambahi orang-orang yang zalim itu melainkan kesesatan jua”.
Ayat 5-24 Surah Nuh


Lihat… Nabi Nuh ini melalui semua itu selama 950 tahun. Dia tidak henti-henti berusaha. Kalau cara terang-terangan tak berjaya, dia ubah kepada senyap-senyap, bila lama menggunakan cara senyap-senyap dan tidak berjaya, dia kembali menggunakan cara terang terangan. Kalau dengan menyatakan berita gembira tidak berjaya, dia cuba membawa pula kepada ancaman neraka.


Rasul ALLAH bernama Nuh ini tidak pernah lesu, tidak pernah letih, tidak pernah bosan, tidak pernah jemu melalui 950 tahun dakwahnya dalam keadaan manusia menyumbat telinga, memalingkan muka, memasukkan muka ke dalam baju apabila dia menyeru.


Bayangkan kalian, bila kalian berucap, semua pendengar menyumbat telinga mereka dengan jari telunjuk, apakah kalian mampu berbicara? Tidak. Jangan bohong saya. Hari ini, sudah hampir pupus manusia yang mempunyai kesabaran seperti Nabi Nuh ini.


Tetapi Nabi Nuh, dia terus menjalankan tanggungjawabnya sebagai Rasul, sebagai da’ie, sebagai penyeru, sebagai pembawa manusia ke arah kebenaran.


Tahukah kalian, 950 tahun itu, berapa ramaikah pengikut Nabi Nuh?


Diriwayatkan bahawa, pengikutnya pada penghujung 950 tahun hanyalah 83 orang sahaja. Sedikit bukan? Hatta anak dan isterinya juga menolak dakwahnya. Tetapi apakah dia kecewa dengan sedikit yang menyahut seruannya? Adakah dia berhenti? Tidak… Malah dia teruskan dakwahnya. 950 tahun dilangkahi dengan penuh tabah.

Kalau kita bagaimana? Baru hendak mengajar budak sekolah rendah ABC, sudah marah-marah kerana lambatnya budak itu menangkap ajaran kita. Kalau kita fikir semula, sekurang-kurangnya budak itu tidak menyumbat telinganya dari mendengar ajaran kita.
Kemudian Nabi Nuh diuji lagi, apabila ALLAH SWT mengarahkan dia membuat bahtera.

Dan (setelah itu) diwahyukan kepada Nabi Nuh:

“Bahawa sesungguhnya tidak akan beriman lagi dari kaummu melainkan orang-orang yang telah sedia beriman. Oleh itu, janganlah engkau berdukacita tentang apa yang mereka sentiasa lakukan. Dan buatlah bahtera dengan pengawasan serta kawalan Kami, dan dengan panduan wahyu Kami (tentang cara membuatnya); dan janganlah engkau merayu kepadaKu untuk menolong kaum yang zalim itu, kerana sesungguhnya mereka akan ditenggelamkan (dengan taufan)”.
Surah Hud ayat 36-37.

Manusia tambah mengejeknya gila.

“Dan Nabi Nuh pun membuat bahtera itu, dan tiap-tiap kali sepuak dari kaumnya melalui tempat ia membina bahteranya, mereka mengejek-ejeknya.” Surah Hud ayat 38.
Namun dia tetap tabah. Terus melaksanakan arahan ALLAH SWT tanpa bertanya, tanpa rasa kecewa, tanpa rasa tak bermakna. Dia terus melaksanakan kerja-kerja yang diarahkan.
Kita lihat di sini, Nabi Nuh tidak pula membentak kepada Allah.

Tidak.


Nabi Nuh sedikit pun tidak berkata begitu. Dia taat, patuh tanpa banyak soal.
Kita bagaimana? Baru kata jangan couple, kita dah sibuk tanya: “Kenapa tak boleh? Salah ke? Apa yang salah? Kenapa salah?” Dan sebagainya.

Nabi Nuh kemudiannya diuji lagi, sudahlah 950 tahun dilalui dengan kesusahan, kemudian diminta pula membuat bahtera keseorangan, dikutuk gila atas arahan TUHAN, ketika peristiwa banjir besar yang diiturunkan ALLAH kepada kaumnya sebagai hukuman, dia diuji lagi dengan anaknya sendiri tenggelam tidak selamat, mati dalam kekafiran di hadapan matanya.

Adakah dia patah hati dengan dakwahnya?
Tidak…

Nabi Nuh berkata: “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku berlindung kepadaMu daripada memohon sesuatu yang aku tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; dan jika Engkau tidak mengampunkan dosaku, dan memberi rahmat kepadaku, nescaya menjadilah aku dari orang-orang yang rugi”.

Surah Hud ayat 47.
Dia terus menjalankan tanggungjawab sebagai da’ie sebaik sahaja bahteranya mendarat di bukit Judiy, terus mendidik 83 orang yang naik ke bahteranya itu, sehingga ke akhir hayatnya, dan buat sementara selepas zamannya, manusia menikmati kehidupan dalam keimanan dengan tenang, sebelum zaman berzaman berlalu dan manusia dengan sifatnya yang pelupa melupakan arahan ALLAH sekali lagi.

Nah…
Setelah menyelusuri perkara ini bersama saya, apakah yang kalian dapat?
Wahai da’ie, wahai penyeru, wahai pendakwah, apakah kalian hendak menyatakan kalian telah berusaha sebagai alasan untuk kalian mengundur dan berputus asa atas jalan ini? Adakah usaha kalian setegar usaha Nuh?

Wahai da’ie, wahai penyeru, wahai pendakwah, apakah kalian hendak menyatakan yang kalian telah kekeringan idea untuk menyeru manusia kembali kepada ALLAH? Adakah kalian ini dikurniakan kehidupan yang teramat panjang seperti Nuh untuk kalian kehabisan idea sehingga tak terkeluar apa-apa lagi kekreatifan dari kepala kalian?
Tak mahu menyeru? Malas? Penat?

Wahai manusia, apakah kamu sudah putus asa untuk meneruskan pekerjaan kamu? Adakah kamu sudah berputus asa mencari rahmat dan maghfirah Allah kamu? Adakah kamu sudah penat dalam melakukan amal kebaikan? Adakah kamu sudah rasa bosan taat kepada Allah?

No comments:

Post a Comment