Sunday, 1 January 2012

An-Naba' -tafsir surah





Penduduk musyrik Mekah bertanya2 tentang berita kebangkitan manusia hidup semula untuk menerima balasan perbuatan mereka semasa hidup di dunia. Mereka merasa ragu dan berselisihan sama sendiri mengenai kebenarannya.

Sebenarnya tak perlulah mereka bersikap demikian kerana mereka akan mengetahui dengan yakinnya nanti tentang kebenaran di hari balasan itu. Mereka juga akan mengetahui apa yang akan terjadi pada mereka kelak.

Mengapakah mereka ragu tentang kekuasaan Allah menghidupkan semula manusia yang telah mati? Bukankah Allah yang menjadikan bumi terbentang luas seperti hamparan? Dengan gunung-ganang dijadikan pancang pasaknya?

Allah juga yang mencipta makluknya berpasangan. Menjadikan tidur untuk berehat. Menjadikan malam yang gelap. Menjadikan siang terang cahayanya supaya mudah mencari rezeki. Allah juga menjadikan tujuh petala langit kuat kukuh dengan matahari sebagai lampu yang terang cahayanya.

Dia juga menurunkan dari awan, hujan membolehkan pengeluaran biji-bijian dan tumbuhan serta menjadikan kebun subur bertaut pokoknya.

Hari pemutusan hukum Allah itu sudah pun ditentukanNya. Ketika ditiup sangkakala, manusia semuanya akan bangkit hidup semula untuk berarak ke Padang Mahsyar.

Pada hari kiamat, langit akan pecah menjadikan setiap belahannya saperti pintu yang terbuka luas. Gunung yang hancur berderai akan beterbangan ke angkasa.

Neraka Jahannam pula tersedia untuk dijadikan tempat tinggal mereka yang melampaui batas hukum Tuhannya tatkala di dunia dulu. Kekal mereka tinggal di situ tanpa merasai keadaan udara yang selesa, tidak pula terdapat sebarang air minuman kecuali air panas menggelegak dan air danur.

Itulah balasan yang paling sesuai dengan amalan mereka yang buruk semasa di dunia dahulu. Mereka dahulunya tidak ingat langsung kepada hari hitungan amal dan mereka bersungguh2 mendustakan ayat keterangan Allah.

Sebenarnya setiap sesuatu bawaan hidup manusia telah Allah hitungkan secara bertulis.
Semasa berada di neraka akan dikatakan kepada mereka: “Sebab kamu mendustakan ayat Kami, dulu maka rasalah kamu azab yang disediakan, kerana Kami tidak akan melakukan selain dari menambah berbagai azab kepada kamu”.

Bagi orang yang bertaqwa pula, disediakan Syurga di mana mereka beroleh apa yang mereka ingini. Dengan taman bunga dan kebun buah-buahannya. Juga perawan yang sebaya umurnya melayannya, serta piala atau gelas yang penuh dengan minuman pilihannya. Mereka tak akan mendengar di dalam Syurga itu perkataan yang sia-sia atau perkataan dusta.

Itulah balasan Tuhanmu, satu limpah kurnia yang dikira cukup menurut yang dijanjikanNya.

Allah mentadbirkan langit dan bumi serta yang ada di antaranya, Tuhan Yang Maha Pemurah. Tiada sesiapapun diberi kuasa berkata denganNya memohon pertimbangan tentang balasan atau pengurniaan. Jibril dan malaikat lainya bersiap bersedia menunggu perintahNya. Tiada yang berani berkata memohon pertimbangan melainkan yang diizinkanNya.

Itulah keterangan mengenai hari kiamat yang tetap akan berlaku. Sesiapa yang mahukan kebaikan bagi dirinya, ambillah jalan dan cara kembali kepada Tuhannya dengan beriman dan beramal soleh!

Dengan keterangan ini, Allah memberi amaran kepada manusia mengenai azabNya. Pada hari itu manusia akan melihat apa yang telah diusahakannya semasa berada di dunia. Ketika itu juga orang yang kafir akan berkata: “Alangkah baiknya kalau aku menjadi tanah supaya aku tidak dibangkitkan untuk dihitung amalku dan menerima balasan”.

No comments:

Post a Comment