Ayat 17
Hari perbicaraan dan penentuan hukuman telah ditetapkan masa dan ketikanya. Tarikh hari perbicaraan ini sudah ditetapkan dan hanya diketahui oleh Allah. Tarikh ini menjadi rahsia besar tidak diketahui oleh sesiapa pun. Sebarang andaian yang dibuat oleh manusia walaupun berdasarkan telahan, mimpi atau fakta sains tidak boleh diterima. Lebih-lebih lagi menentukan tarikh kiamat adalah sangat bertentangan dengan ilmu Allah taala. Kita sebagai umat Islam yang beriman kepada hari akhirat mesti menolak sesiapa yang telah mengandai dan dan meramal tarikh berlakunya hari kiamat.
Ayat 18
Hari perbicaraan dan penentuan hukum itu bermula apabila Allah telah memerintahkan malaikat Israfil meniup sangkakala atau semboyan. Ketika ini semua manusia yang pernah hidup diatas muka bumi ini bermula dari Nabi Adam sehinggalah orang yang terakhir meninggal pada hari kiamat (tiupan sengkakala pertama) akan di bangkitkan semula dari kubur-kubur mereka. Mereka yang mati tidak berkubur pun akan dibangkitkan tiada seorang pun yang akan tertinggal. Manusia ini akan datang ke tempat perhimpunan atau disebut padang Mahsyar secara berkumpulan mengikut pemimpin ikutan mereka. Allah menerangkan kedatangan manusia berkumpulan ini di dalam surah al Isra’ ayat 71 yang bermaksud: “Kami memanggil mereka pada hari itu dengan pemimpin-pemimpin mereka telah ikuti didunia”.
Ayat 19
Pada hari itu jugalah langit-langit akan dibuka dan keadaannya adalah seperti terbukanya pintu-pintu yang banyak. Malaikat-malaikat akan turun melalui pintu ini. Langit dan bumi yang ada pada hari itu adalah merupakan kejadian yang lain telah ciptakan semula oleh Allah tidak sama dengan langit dan bumi yang dilihat pada hari ini. Hal ini tidak perlu dihairankan kerana alam baru ini berbeza keadaan dan juga sistemnya. Malah fizikal dan sistem badan manusia di akhirat nanti juga berlainan sama sekali dengan kejadian mereka di dunia dahulu.
Ayat 20
Allah telah menyebut kehancuran bumi yang dilihat kukuh dengan adanya bukit bukau dan gunung ganang yang amat besar dianggap mustahil untuk dihancurkan pada perkiraan manusia. Pada hari itu bukit bukau dan gunung ganang tersebut Allah ibaratkan sebagai dipaksa berjalan dan hancur menjadi debu. Kejadian ini dilihat oleh manusia sebagai fatamorgana. Nampak ada tetapi sebenarnya tak ada. Mungkin manusia melihat peristiwa ini dengan keadaan terlopong dan ternganga kerana keajaiban peristiwa yang berlaku.
Ayat 21
Pada hari perbicaraan dan pembalasan tersebut Neraka Jahannam sudah di persiapkan Oleh Allah. Neraka ini telah dipertontonkan kepada semua manusia yang berada di Padang Mahsyar. Manusia dapat melihat dan menengar bunyi ngauman api yang lahap bersiap sedia untuk membakar apa saja yang akan dimasukkan kedalamnya.
Ayat 22
Neraka Jahannam tadi telah disediakan untuk mereka yang telah melanggar garis panduan yang telah ditetapkan oleh Allah Taala ketika hidup di dunia dahulu. Mereka yang melakukan perkara yang dilarang oleh Allah digelar sebagai ‘Tughah’. Neraka Jahannam ini akan menjadi tempat tinggal mereka yang berpangkat ‘Tughah’.
Ayat 23
Mereka akan dimasukkan ke dalam neraka Jahannam sepanjang masa sedangkan tempoh masa di akhirat nanti tiada pengujungnya. Disebut ahqaab yang bermakna beberapa tempoh masa yang panjang yang tiada penghujung.
Ayat 24
Di dalam neraka Jahannam mereka tidak akan merasa istilah sejuk yang boleh mengurangkan panas api neraka. Mereka juga tidak akan dapat minum apa yang dikatakan sebagai minuman yang boleh melegakan apatah lagi untuk menghilangkan dahaga.
Ayat 25
Melainkan apa yang mereka dapat minum ialah ‘hamim’ iaitu air yang menggelegak yang teramat panas. Mereka juga hanya diberi minum ‘Ghassaqa’ iaitu air darah dan nanah yang keluar dari jasad-jasad ahli-ahli neraka yang lain.
Ayat 26
Itulah balasan yang setimpal dengan apa yang mereka lakukan di atas dunia dahulu.
Ayat 27
Mereka ini ‘Thughah’ ini melanggar batasan yang telah ditetapkan oleh Allah Taala semasa hidup di dunia dahulu. Apa yang ditegah dan dilarang oleh Allah lakukan tanpa rasa takut dan gerun. Ketika hidup di dunia dahulu mereka beranggapan bahawa tidak akan ada hari perbicaraan, hari penilaian atau hari pembalasan sebegini. Jadi mereka bebas melakukan apa sahaja mengikut rasa hati dan nafsu mereka
Ayat 28
Apabila Rasul dan orang beriman memberi peringatan tentang Hari akhirat dan hari pembalasan mereka menolaknya mentah-mentah. Bahkan mereka tidak berfikir tentang kekuasaan Allah yang telah mencipta mereka dan diberi nikmat yang amat banyak.. Ketika di dunia mereka memandang remeh dan lekeh peringatan-peringatan dan garispanduan yang Allah taala bekalkan melalui al Quran. Mereka menentang Rasul dan para ulamak. Mereka menolak konsep kebangkitan semula dan penalasan hari akhirat. Mereka melakukan kemungkaran dan dosa-dosa tanpa rasa takut dan langsung tidak terfikir tentang akibat perbuatan mereka.
Ayat 29
Kami tahu apa yang mereka lakukan di dalam kehidupan di dunia dahulu. Kami rekodkan semuanya dengan teliti. Kami semak dan kira dengan adil. Apa baik akan direkodkan baik. Apa yang buruk akan direkodkan buruk.Semuanya dicatatkan dengan rapi.
Ayat 30
Kemudian, dengan nada sindiran, Mereka di herdik. “Nah rasalah apa yang kamu dapat, Kami tak akan tambah melainkan dengan azab siksa semata-mata”. Inilah balasan mereka yang engkar dan tidak melanggar batas dan panduan yang telah digariskan oleh Allah.
No comments:
Post a Comment