
Allah swt berfirman: 
“Katakanlah: Inilah jalan (agama)ku, aku dan  orang-orang yang mengikutku, mengajak (kamu) kepada Allah atas hujah (basirah)  yang nyata, Maha Suci Allah dan aku tiada termasuk dalam orang-orang yang  musyrik”  
(Yusuf:108).  
Ayat ini mengajar beberapa prinsip dalam kerja  dakwah iaitu:
1-Dakwah ini bersumberkan dari Allah (minallahi) 
 Ini dapat dilihat dari perkataan ‘katakanlah’yang memberi maksud bahawa  Rasulullah saw menerima perintah dari Allah dan juga perkataan ‘jalan  (agama)ku’yang menunjukkan bahawa dakwah harus berjalan atas panduan agama  Islam.
2-Dakwah ini menyeru kepada Allah (illahi) 
Ini dapat dilihat dari perkataan ‘mengajak kepada Allah..’yang  memberi maksud dakwah ini menyeru (ubudiyyah ) kepada Allah bukan kepada  pengangungan individu atau organisasi. Seruan kita ialah kepada Islam dahulu  sebelum yang lain.
3-Dakwah ini dilakukan hanya kerana Allah (lillahi) 
Ini dapat dilihat dari firman “Maha Suci Allah dan aku tiada  termasuk dalam orang-orang musyrik”. Sesungguhnya melakukan dakwah atas niat  selain dari mencari keredaan Allah adalah syirik yang tersembunyi.  
Atas dasar inilah kita katakan bahawa usaha kita sebagai perjuangan  rabbani yang mencakupi minallahi, illahi dan lillahi.  Bukan yang lain. Tambahan daripada itu, beberapa prinsip lain dalam kerja  dakwah yang dapat diambil dari ayat ini ialah:
4-Dakwah ini perlu dilakukan secara kolektif  (jamaie) 
Ini dapat dilihat dari firmanya ‘’aku dan orang-orang yang  mengikutiku’. Dakwah hendaklah dilakukan secara amal jamae agar hati-hati  pendakwah yang faham dan beriman atas prinsip ini disatukan segala potensi dan  kapasiti yang ada dalam satu saf yang padu dan tersusun.
5-Dakwah ini dilakukan atas kejelasan ilmu  
 Ini dapat dilihat dari perkataan “..mengajak kepada Allah atas hujah  (basirah)..”yang membawa maksud dilakukan atas kejelasan ilmu dan hujah bukan  atas ikut-ikutan. Untuk itu, pendakwah perlulah faham dan sentiasa berfikir.
6-Dakwah ini dilakukan dengan sumber-sumber kekuatan berikut:
- Kekuatan manhaj – Ini dapat dilihat dari perkataan ‘Katakanlah”, ‘Jalan (agama)ku “dan ”Atas hujah (basirah)’.
 - Kekuatan kepimpinan – Ini dapat dilihat dari perkataan Äku dan mereka yang mengikuti ku”. Äku’itu merujuk kepada Rasulullah saw sebagai simbol kepimpinan dakwah. Gabungan Áku’dan ‘mereka yang mengikuti ku’adalah simbol berjemaah.
 - Kekuatan displin – Ini dapat dilihat sifat sahabat yang taat ‘mengikuti’Rasulullah saw, istiqamah atas manhaj dan niat semata-mata kerana Allah taala. Tanpa displin, segala prinsip yang dinyatakan akan mudah diabaikan. Apabila prinsip telah ditinggalkan, maka jadilah dakwah sebagai usaha yang memenatkan sahaja.
 
Sumber: Fiqh Dakwah Dalam Al-Quran, IIFSO (2004)
No comments:
Post a Comment