Surah Maryam (سورة مريم) adalah surah ke-19 dalam Al Qur'an. Surah ini terdiri atas 98 ayat dan termasuk golongan surah-surah Makkiyyah kerana hampir seluruh ayatnya diturunkan sebelum Nabi Muhammad SAW hijrah ke Madinah, bahkan sebelum sahabat-sahabat beliau hijrah ke negeri Habsyah. Menurut riwayat Ibnu Mas'ud, Ja'far bin Abi Thalib membacakan permulaan surah Maryam ini kepada raja Najasyi dan pengikut-pengikutnya pada waktu dia turut serta hijrah bersama-sama sahabat-sahabat yang lain ke negeri Habsyah.
Surah ini dinamai Maryam, kerana surah ini mengandungi kisah Maryam (atau Maria dalam agama kristian), ibu Nabi Isa a.s.. Surah ini menceritakan kelahiran yang ajaib, dimana Maryam melahirkan Isa A.S. sedang belum mengahwini dengan mana-mana laki-laki. Kelahiran Isa A.S. tanpa ayah, merupakan suatu bukti kekuasaan Allah SWT. Pengutaraan kisah Maryam sebagai kejadian yang luar biasa dan ajaib dalam surah ini, diawali dengan kisah kejadian ajaib lainnya, iaitu dikabulkannya doa nabi Zakaria a.s. oleh Allah SWT, dimana ia ingin dianugerahi seorang putera sebagai pewaris dan pelanjut cita-cita dan kepercayaannya, sedang usianya sudah sangat tua dan isterinya adalah wanita yang mandul.
isi kandungan
- Keimanan: Allah berbuat sesuatu menurut yang dikehendaki-Nya sekali pun ia menyimpang dan hukum-hukum alam; Isa A.S. bukan anak Allah kerana mustahil Allah mempunyai anak; Jibril AS turun kepada rasul-rasul membawa wahyu atas perintah Allah; pada hari kiamat orang kafir menghadap Allah dengan sendirinya, semua manusia akan menghadap Tuhan sebagai hamba.
- Kisah-kisah: Allah mengabulkan doa Zakaria A.S. untuk memperolehi anak; kisah kelahiran Isa A.S. tanpa ayah; kisah Ibrahim A.S. dengan bapanya; Musa AS seorang yang dipilih oleh Allah; Ismail A.S. seorang yang benar dalam janjinya; Idris A.S. seorang yang sangat kuat kepercayaannya.
- Dan lain-lain: Ancaman terhadap orang yang meninggalkan solat dan mengikuti hawa nafsunya serta khabar gembira untuk orang-orang yang telah taubat dan mengerjakan amal-amal yang soleh; keadaan di syurga; membiarkan orang yang sesat setelah diberi petunjuk bergelimang dalam kesesatannya adalah sunnah Allah.
No comments:
Post a Comment