Tuesday, 6 March 2012

Al-Anbiyaa' -terjemahan


  

اقْتَرَبَ لِلنَّاسِ حِسَابُهُمْ وَهُمْ فِي غَفْلَةٍ مَّعْرِضُونَ
1 . Telah hampir datangnya kepada manusia hari perhitungan amalnya, sedang mereka dalam kelalaian, tidak hiraukan persediaan baginya.
مَا يَأْتِيهِم مِّن ذِكْرٍ مَّن رَّبِّهِم مُّحْدَثٍ إِلَّا اسْتَمَعُوهُ وَهُمْ يَلْعَبُونَ
2 . Tidak datang kepada mereka itu sebarang peringatan dari Tuhan mereka melainkan mereka mendengarnya sambil mereka mempermainkannya.
لَاهِيَةً قُلُوبُهُمْ وَأَسَرُّواْ النَّجْوَى الَّذِينَ ظَلَمُواْ هَلْ هَذَا إِلَّا بَشَرٌ مِّثْلُكُمْ أَفَتَأْتُونَ السِّحْرَ وَأَنتُمْ تُبْصِرُونَ
3 . Dengan keadaan hati mereka leka daripada memahami dan mengamalkan maksudnya. Dan orang yang zalim itu, berbisik-bisik sesama sendiri dengan berkata: Bukankah Muhammad ini manusia seperti kamu? Maka patutkah kamu menerima sihirnya sedang kamu melihat dan mengetahuinya?
قَالَ رَبِّي يَعْلَمُ الْقَوْلَ فِي السَّمَاء وَالأَرْضِ وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ
4 . Nabi Muhammad berkata: Tuhanku mengetahui tiap-tiap perkataan di langit dan di bumi; dan Dialah jua yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
بَلْ قَالُواْ أَضْغَاثُ أَحْلاَمٍ بَلِ افْتَرَاهُ بَلْ هُوَ شَاعِرٌ فَلْيَأْتِنَا بِآيَةٍ كَمَا أُرْسِلَ الأَوَّلُونَ
5 . Bahkan mereka berkata: Al-Qur'an itu adalah perkara mimpi, bahkan perkara yang diada-adakan, bahkan Muhammad sendiri seorang penyair. Maka hendaklah ia membawa kepada kita satu mukjizat sebagaimana mukjizat-mukjizat yang dibawa oleh Rasul-rasul yang telah diutus dahulu.
مَا آمَنَتْ قَبْلَهُم مِّن قَرْيَةٍ أَهْلَكْنَاهَا أَفَهُمْ يُؤْمِنُونَ
6 . Tidak ada sesebuah negeri pun sebelum mereka yang Kami binasakan walhal penduduknya beriman; adakah benar mereka mahu beriman?
وَمَا أَرْسَلْنَا قَبْلَكَ إِلاَّ رِجَالاً نُّوحِي إِلَيْهِمْ فَاسْأَلُواْ أَهْلَ الذِّكْرِ إِن كُنتُمْ لاَ تَعْلَمُونَ
7 . Dan Kami tidak mengutus Rasul-rasul sebelummu melainkan orang lelaki yang Kami wahikan kepada mereka; maka bertanyalah kamu kepada Ahlu'dz-Dzikri jika kamu tidak mengetahui.
وَمَا جَعَلْنَاهُمْ جَسَداً لَّا يَأْكُلُونَ الطَّعَامَ وَمَا كَانُوا خَالِدِينَ
8 . Dan Kami tidak menjadikan Rasul-rasul itu bertubuh badan yang tidak makan minum, dan mereka pula tidak akan kekal hidup selama-lamanya di dunia.
ثُمَّ صَدَقْنَاهُمُ الْوَعْدَ فَأَنجَيْنَاهُمْ وَمَن نَّشَاء وَأَهْلَكْنَا الْمُسْرِفِينَ
9 . Kemudian Kami tepati janji kepada mereka, lalu Kami selamatkan mereka dan siapa yang Kami kehendaki, dan Kami binasakan orang yang melampaui batas.
لَقَدْ أَنزَلْنَا إِلَيْكُمْ كِتَاباً فِيهِ ذِكْرُكُمْ أَفَلَا تَعْقِلُونَ
10 . Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu sebuah Kitab yang mengandungi pengajaran bagimu, maka mengapa kamu tidak memahaminya?
وَكَمْ قَصَمْنَا مِن قَرْيَةٍ كَانَتْ ظَالِمَةً وَأَنشَأْنَا بَعْدَهَا قَوْماً آخَرِينَ
11 . Dan berapa banyak Kami telah binasakan penduduk negeri yang berlaku zalim, dan Kami jadikan sesudah mereka, kaum yang lain.
فَلَمَّا أَحَسُّوا بَأْسَنَا إِذَا هُم مِّنْهَا يَرْكُضُونَ
12 . Maka tatkala mereka merasai azab Kami, mereka dengan serta-merta lari keluar dari negeri itu.
لَا تَرْكُضُوا وَارْجِعُوا إِلَى مَا أُتْرِفْتُمْ فِيهِ وَمَسَاكِنِكُمْ لَعَلَّكُمْ تُسْأَلُونَ
13 . Janganlah kamu lari, dan sebaliknya kembalilah kepada kemewahan hidup yang telah diberikan kepada kamu, dan ke tempat-tempat tinggal kamu, supaya kamu dapat ditanya mengenai apa yang berlaku.
قَالُوا يَا وَيْلَنَا إِنَّا كُنَّا ظَالِمِينَ
14 . Akhirnya mereka berkata: Aduhai celakanya kami! Sesungguhnya kami adalah orang yang berlaku zalim!
فَمَا زَالَت تِّلْكَ دَعْوَاهُمْ حَتَّى جَعَلْنَاهُمْ حَصِيداً خَامِدِينَ
15 . Maka demikianlah seterusnya jeritan dan keluhan mereka, sehingga Kami jadikan mereka hancur-lebur dan senyap-sepi.
وَمَا خَلَقْنَا السَّمَاء وَالْأَرْضَ وَمَا بَيْنَهُمَا لَاعِبِينَ
16 . Dan tidaklah Kami menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antaranya, secara main-main.
لَوْ أَرَدْنَا أَن نَّتَّخِذَ لَهْواً لَّاتَّخَذْنَاهُ مِن لَّدُنَّا إِن كُنَّا فَاعِلِينَ
17 . Sekiranya Kami hendak mengambil sesuatu untuk hiburan, tentulah kami akan mengambilnya dari sisi Kami; Kami tidak melakukannya.
بَلْ نَقْذِفُ بِالْحَقِّ عَلَى الْبَاطِلِ فَيَدْمَغُهُ فَإِذَا هُوَ زَاهِقٌ وَلَكُمُ الْوَيْلُ مِمَّا تَصِفُونَ
18 . Bahkan kami sentiasa mengarahkan yang benar menentang yang salah, lalu ia menghancurkannya, maka dengan serta-merta hilang lenyaplah dia. Dan kecelakaan akan menimpa kamu disebabkan apa yang kamu sifatkan terhadap Kami.
وَلَهُ مَن فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَمَنْ عِندَهُ لَا يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِهِ وَلَا يَسْتَحْسِرُونَ
19 . Dan segala yang ada di langit dan di bumi adalah milik kepunyaan Allah jua; dan malaikat-malaikat yang ada di sisi-Nya tidak membesarkan diri daripada beribadat kepada-Nya, dan tidak pula mereka mereka merasa penat dan letih.
يُسَبِّحُونَ اللَّيْلَ وَالنَّهَارَ لَا يَفْتُرُونَ
20 . Mereka beribadat malam dan siang, dengan tidak berhenti-henti.




أَمِ اتَّخَذُوا آلِهَةً مِّنَ الْأَرْضِ هُمْ يُنشِرُونَ
21 . Adakah benda-benda dari bumi yang mereka jadikan tuhan-tuhan itu, dapat menghidupkan semula sesuatu yang mati?
لَوْ كَانَ فِيهِمَا آلِهَةٌ إِلَّا اللَّهُ لَفَسَدَتَا فَسُبْحَانَ اللَّهِ رَبِّ الْعَرْشِ عَمَّا يَصِفُونَ
22 . Kalau ada di langit dan di bumi tuhan-tuhan selain dari Allah, nescaya rosaklah pentadbiran kedua-duanya. Maka Maha suci Allah, Tuhan yang mempunyai Arasy, dari apa yang mereka sifatkan.
لَا يُسْأَلُ عَمَّا يَفْعَلُ وَهُمْ يُسْأَلُونَ
23 . Ia tidak boleh ditanya tentang apa yang Dia lakukan, sedang merekalah yang akan ditanya kelak.
أَمِ اتَّخَذُوا مِن دُونِهِ آلِهَةً قُلْ هَاتُوا بُرْهَانَكُمْ هَذَا ذِكْرُ مَن مَّعِيَ وَذِكْرُ مَن قَبْلِي بَلْ أَكْثَرُهُمْ لَا يَعْلَمُونَ الْحَقَّ فَهُم مُّعْرِضُونَ
24 . Patutkah mereka menyembah tuhan selain Allah? Katakanlah: Bawalah buktimu; Al-Qur'an ini menjadi peringatan umatku, dan umat sebelumku. Bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui yang benar maka dengan itu mereka berpaling ingkar.
وَمَا أَرْسَلْنَا مِن قَبْلِكَ مِن رَّسُولٍ إِلَّا نُوحِي إِلَيْهِ أَنَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنَا فَاعْبُدُونِ
25 . Dan Kami tidak mengutus sebelummu seseorang Rasul pun melainkan Kami wahikan kepadanya Bahawa sesungguhnya tiada Tuhan melainkan Aku; oleh itu, beribadatlah kamu kepada-Ku.
وَقَالُوا اتَّخَذَ الرَّحْمَنُ وَلَداً سُبْحَانَهُ بَلْ عِبَادٌ مُّكْرَمُونَ
26 . Dan mereka berkata: Allah Ar-Rahmaan mempunyai anak. Maha Sucilah Ia. Bahkan mereka itu ialah hamba-hamba-Nya yang dimuliakan.
لَا يَسْبِقُونَهُ بِالْقَوْلِ وَهُم بِأَمْرِهِ يَعْمَلُونَ
27 . Mereka tidak mendahului-Nya dengan perkataan dan mereka mengerjakan apa yang diperintahkan-Nya.
يَعْلَمُ مَا بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَمَا خَلْفَهُمْ وَلَا يَشْفَعُونَ إِلَّا لِمَنِ ارْتَضَى وَهُم مِّنْ خَشْيَتِهِ مُشْفِقُونَ
28 . Allah mengetahui apa yang di hadapan mereka, dan apa yang di belakang mereka yang akan mereka lakukan; dan mereka tidak memohon syafaat melainkan bagi sesiapa yang diredhai-Nya; dan mereka sentiasa takut daripada ditimpa azab-Nya.
وَمَن يَقُلْ مِنْهُمْ إِنِّي إِلَهٌ مِّن دُونِهِ فَذَلِكَ نَجْزِيهِ جَهَنَّمَ كَذَلِكَ نَجْزِي الظَّالِمِينَ
29 . Dan jika ada sesiapa di antara mereka berkata: Sesungguhnya aku ialah tuhan selain Allah, maka yang demikian itu, Kami akan membalasnya dengan azab Neraka Jahanam; demikianlah Kami membalas golongan yang zalim.
أَوَلَمْ يَرَ الَّذِينَ كَفَرُوا أَنَّ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ كَانَتَا رَتْقاً فَفَتَقْنَاهُمَا وَجَعَلْنَا مِنَ الْمَاء كُلَّ شَيْءٍ حَيٍّ أَفَلَا يُؤْمِنُونَ
30 . Dan tidakkah orang kafir itu memikirkan dan mempercayai bahawa sesungguhnya langit dan bumi itu pada asal mulanya bercantum lalu Kami pisahkan antara keduanya? Dan Kami jadikan dari air, tiap-tiap benda yang hidup. Maka mengapa mereka tidak mahu beriman?
وَجَعَلْنَا فِي الْأَرْضِ رَوَاسِيَ أَن تَمِيدَ بِهِمْ وَجَعَلْنَا فِيهَا فِجَاجاً سُبُلاً لَعَلَّهُمْ يَهْتَدُونَ
31 . Dan Kami jadikan di bumi gunung-ganang yang menetapnya, supaya bumi itu tidak menggegar mereka; dan Kami jadikan di celah-celahnya jalan-jalan laluan, supaya mereka mendapat petunjuk.
وَجَعَلْنَا السَّمَاء سَقْفاً مَّحْفُوظاً وَهُمْ عَنْ آيَاتِهَا مُعْرِضُونَ
32 . Dan Kami jadikan langit sebagai bumbung yang terpelihara dan terkawal, sedang mereka berpaling.
وَهُوَ الَّذِي خَلَقَ اللَّيْلَ وَالنَّهَارَ وَالشَّمْسَ وَالْقَمَرَ كُلٌّ فِي فَلَكٍ يَسْبَحُونَ
33 . Dan Dialah Tuhan yang telah menjadikan malam dan siang, serta matahari dan bulan; tiap-tiap satunya beredar di tempat edaran masing-masing.
وَمَا جَعَلْنَا لِبَشَرٍ مِّن قَبْلِكَ الْخُلْدَ أَفَإِن مِّتَّ فَهُمُ الْخَالِدُونَ
34 . Dan Kami tidak menjadikan manusia sebelummu dapat hidup kekal. Maka kalau engkau mati, adakah mereka akan hidup berkekalan?
كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ وَنَبْلُوكُم بِالشَّرِّ وَالْخَيْرِ فِتْنَةً وَإِلَيْنَا تُرْجَعُونَ
35 . Tiap-tiap diri akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu akan kembali.
وَإِذَا رَآكَ الَّذِينَ كَفَرُوا إِن يَتَّخِذُونَكَ إِلَّا هُزُواً أَهَذَا الَّذِي يَذْكُرُ آلِهَتَكُمْ وَهُم بِذِكْرِ الرَّحْمَنِ هُمْ كَافِرُونَ
36 . Dan apabila orang kafir itu melihatmu, mereka hanyalah menjadikan perkara yang engkau sampaikan itu sebagai ejek-ejekan sahaja, sambil berkata sesama sendiri: Inikah dia orangnya yang mencaci tuhan-tuhan kamu? sedang mereka sendiri kufur ingkar kepada Al-Qur'an.
خُلِقَ الْإِنسَانُ مِنْ عَجَلٍ سَأُرِيكُمْ آيَاتِي فَلَا تَسْتَعْجِلُونِ
37 . Manusia dijadikan bertabiat terburu-buru; Aku akan perlihatkan kepada kamu tanda-tanda kekuasaan-Ku; maka janganlah kamu meminta disegerakan.
وَيَقُولُونَ مَتَى هَذَا الْوَعْدُ إِن كُنتُمْ صَادِقِينَ
38 . Dan kerana tabiat terburu-burunya mereka berkata: Bilakah berlakunya janji azab itu, jika betul kamu orang yang berkata benar?
لَوْ يَعْلَمُ الَّذِينَ كَفَرُوا حِينَ لَا يَكُفُّونَ عَن وُجُوهِهِمُ النَّارَ وَلَا عَن ظُهُورِهِمْ وَلَا هُمْ يُنصَرُونَ
39 . Kalaulah orang kafir itu mengetahui apa yang akan menimpa mereka ketika mereka tidak dapat menahan api neraka dari muka dan dari belakang mereka dan mereka pula tidak diberi pertolongan.
بَلْ تَأْتِيهِم بَغْتَةً فَتَبْهَتُهُمْ فَلَا يَسْتَطِيعُونَ رَدَّهَا وَلَا هُمْ يُنظَرُونَ
40 . Bahkan akan datang kepada mereka secara tiba-tiba, lalu mereka kebingungan; maka mereka tidak dapat menolaknya, dan tidak akan diberi tangguh.




وَلَقَدِ اسْتُهْزِئَ بِرُسُلٍ مِّن قَبْلِكَ فَحَاقَ بِالَّذِينَ سَخِرُوا مِنْهُم مَّا كَانُوا بِهِ يَسْتَهْزِئُون
41 . Dan sesungguhnya, telah diperolok-olokkan beberapa Rasul sebelum kamu, lalu ditimpakan akan orang yang mengejek-ejek di antara mereka, ditimpakan balasan azab bagi apa yang mereka telah perolok-olokkan itu.
قُلْ مَن يَكْلَؤُكُم بِاللَّيْلِ وَالنَّهَارِ مِنَ الرَّحْمَنِ بَلْ هُمْ عَن ذِكْرِ رَبِّهِم مُّعْرِضُونَ
42 . Katakanlah wahai Muhammad: Siapakah yang dapat menjaga keselamatan kamu pada malam dan siang daripada azab Tuhan yang bersifat Maha Pemurah? (Mereka tidak memikirkan yang demikian) bahkan mereka tetap berpaling ingkar dari pengajaran Tuhan mereka.
أَمْ لَهُمْ آلِهَةٌ تَمْنَعُهُم مِّن دُونِنَا لَا يَسْتَطِيعُونَ نَصْرَ أَنفُسِهِمْ وَلَا هُم مِّنَّا يُصْحَبُونَ
43 . Tidak ada bagi mereka tuhan yang dapat melindungi mereka dari azab Kami. Mereka yang dipertuhankan itu tidak berkuasa menolong diri mereka sendiri dan tidak pula mereka dibantu dengan pertolongan dari pihak Kami.
بَلْ مَتَّعْنَا هَؤُلَاء وَآبَاءهُمْ حَتَّى طَالَ عَلَيْهِمُ الْعُمُرُ أَفَلَا يَرَوْنَ أَنَّا نَأْتِي الْأَرْضَ نَنقُصُهَا مِنْ أَطْرَافِهَا أَفَهُمُ الْغَالِبُونَ
44 . Bahkan Kami biarkan mereka dan datuk-nenek mereka menikmati kesenangan hidup sehingga berlanjutanlah umur mereka; Maka tidakkah mereka melihat bahawa kami datangi bumi mereka dengan menguranginya sedikit demi sedikit, maka adakah mereka yang akan menang?
قُلْ إِنَّمَا أُنذِرُكُم بِالْوَحْيِ وَلَا يَسْمَعُ الصُّمُّ الدُّعَاء إِذَا مَا يُنذَرُونَ
45 . Katakanlah: Sesungguhnya aku hanyalah memberi amaran dengan wahi; dan tidaklah orang yang pekak mendengar seruan apabila mereka diberi amaran.
وَلَئِن مَّسَّتْهُمْ نَفْحَةٌ مِّنْ عَذَابِ رَبِّكَ لَيَقُولُنَّ يَا وَيْلَنَا إِنَّا كُنَّا ظَالِمِينَ
46 . Dan sesungguhnya, jika mereka disentuh oleh sedikit saja dari azab Tuhanmu, tentu mereka akan berkata: Aduhai celakalah kami! Sebenarnya kami adalah orang yang zalim terhadap diri sendiri!
وَنَضَعُ الْمَوَازِينَ الْقِسْطَ لِيَوْمِ الْقِيَامَةِ فَلَا تُظْلَمُ نَفْسٌ شَيْئاً وَإِن كَانَ مِثْقَالَ حَبَّةٍ مِّنْ خَرْدَلٍ أَتَيْنَا بِهَا وَكَفَى بِنَا حَاسِبِينَ
47 . Dan Kami akan mengadakan neraca timbangan yang adil, pada hari Kiamat; maka tidak ada diri sesiapa akan teraniaya sedikit pun; dan jika amalnya itu seberat biji sawi sekalipun, nescaya Kami akan mendatangkannya untuk dihitung: dan cukuplah Kami sebagai Penghitung.
وَلَقَدْ آتَيْنَا مُوسَى وَهَارُونَ الْفُرْقَانَ وَضِيَاء وَذِكْراً لِّلْمُتَّقِينَ
48 . Dan sesungguhnya, Kami telah berikan kepada Nabi Musa dan Nabi Harun Al-Furqan, dan penerangan serta pengajaran bagi orang yang mahu bertaqwa.
الَّذِينَ يَخْشَوْنَ رَبَّهُم بِالْغَيْبِ وَهُم مِّنَ السَّاعَةِ مُشْفِقُونَ
49 . Iaitu mereka yang takut Tuhannya semasa mereka tidak dilihat orang, dan mereka pula gerun cemas akan peristiwa-peristiwa hari Kiamat. .
وَهَذَا ذِكْرٌ مُّبَارَكٌ أَنزَلْنَاهُ أَفَأَنتُمْ لَهُ مُنكِرُونَ
50 . Dan Al-Qur'an ini juga pengajaran yang berkat, yang Kami turunkan; dengan keadaan yang demikian maka patutkah kamu mengingkarinya?
وَلَقَدْ آتَيْنَا إِبْرَاهِيمَ رُشْدَهُ مِن قَبْلُ وَكُنَّا بِه عَالِمِينَ
51 . Dan demi sesungguhnya, Kami telah memberi kepada Nabi Ibrahim sebelum itu hidayah kebenarannya, dan Kami adalah mengetahui akan hal keadaannya.
إِذْ قَالَ لِأَبِيهِ وَقَوْمِهِ مَا هَذِهِ التَّمَاثِيلُ الَّتِي أَنتُمْ لَهَا عَاكِفُونَ
52 . Ketika ia berkata kepada bapanya dan kaumnya: Apakah hakikatnya patung-patung ini yang kamu bersungguh-sungguh memujanya?
قَالُوا وَجَدْنَا آبَاءنَا لَهَا عَابِدِينَ
53 . Mereka menjawab: Kami dapati datuk nenek kami selalu menyembahnya.
قَالَ لَقَدْ كُنتُمْ أَنتُمْ وَآبَاؤُكُمْ فِي ضَلَالٍ مُّبِينٍ
54 . Ia berkata: Sesungguhnya kamu dan datuk-nenek kamu adalah dalam kesesatan yang nyata.
قَالُوا أَجِئْتَنَا بِالْحَقِّ أَمْ أَنتَ مِنَ اللَّاعِبِينَ
55 . Mereka bertanya: Adakah engkau membawa kepada kami sesuatu yang benar sebagai seorang Rasul, atau engkau dari orang yang bermain-main sahaja?
قَالَ بَل رَّبُّكُمْ رَبُّ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ الَّذِي فَطَرَهُنَّ وَأَنَا عَلَى ذَلِكُم مِّنَ الشَّاهِدِينَ
56 . Ia menjawab: bahkan Tuhan kamu ialah Tuhan yang mentadbirkan langit dan bumi, Dialah yang menciptakannya; dan aku adalah dari orang yang boleh memberi keterangan mengesahkan yang demikian itu.
وَتَاللَّهِ لَأَكِيدَنَّ أَصْنَامَكُم بَعْدَ أَن تُوَلُّوا مُدْبِرِينَ
57 . Dan demi Allah, aku akan jalankan rancangan terhadap berhala-berhala kamu, sesudah kamu pergi meninggalkan rumah berhala ini.
فَجَعَلَهُمْ جُذَاذاً إِلَّا كَبِيراً لَّهُمْ لَعَلَّهُمْ إِلَيْهِ يَرْجِعُونَ
58 . Lalu ia memecahkan semuanya berketul-ketul, kecuali sebuah berhala mereka yang besar, supaya mereka kembali kepadanya.
قَالُوا مَن فَعَلَ هَذَا بِآلِهَتِنَا إِنَّهُ لَمِنَ الظَّالِمِينَ
59 . Mereka bertanya: Siapakah yang melakukan perbuatan yang demikian terhadap tuhan-tuhan Kami? Sesungguhnya adalah ia dari orang yang zalim.
قَالُوا سَمِعْنَا فَتًى يَذْكُرُهُمْ يُقَالُ لَهُ إِبْرَاهِيمُ
60 . Setengah dari mereka berkata: Kami ada mendengar seorang anak muda bernama Ibrahim, mencacinya.




قَالُوا فَأْتُوا بِهِ عَلَى أَعْيُنِ النَّاسِ لَعَلَّهُمْ يَشْهَدُونَ
61 . Ketua-ketua mereka berkata: Jika demikian, bawalah dia di hadapan orang ramai supaya mereka menyaksikan tindakan mengenainya.
قَالُوا أَأَنتَ فَعَلْتَ هَذَا بِآلِهَتِنَا يَا إِبْرَاهِيمُ
62 . Setelah ia dibawa ke situ mereka bertanya: Engkaukah yang melakukan demikian kepada tuhan-tuhan kami, hai Ibrahim?
قَالَ بَلْ فَعَلَهُ كَبِيرُهُمْ هَذَا فَاسْأَلُوهُمْ إِن كَانُوا يَنطِقُونَ
63 . Ia menjawab: bahkan yang melakukannya ialah yang besar di antara mereka ini! Maka kamu tanyalah kepada mereka kalau mereka dapat berkata-kata.
فَرَجَعُوا إِلَى أَنفُسِهِمْ فَقَالُوا إِنَّكُمْ أَنتُمُ الظَّالِمُونَ
64 . Maka mereka kembali kepada diri mereka lalu berkata sesama sendiri: Sesungguhnya kamulah sendiri orang yang zalim.
ثُمَّ نُكِسُوا عَلَى رُؤُوسِهِمْ لَقَدْ عَلِمْتَ مَا هَؤُلَاء يَنطِقُونَ
65 . Kemudian tertunduk kepala mereka, lalu berkata: Sesungguhnya engkau telah tahu bahawa berhala-berhala itu tidak dapat berkata-kata.
قَالَ أَفَتَعْبُدُونَ مِن دُونِ اللَّهِ مَا لَا يَنفَعُكُمْ شَيْئاً وَلَا يَضُرُّكُمْ
66 . Nabi Ibrahim berkata: patutkah kamu menyembah selain Allah sesuatu yang tidak dapat mendatangkan faedah dan mudarat sedikitpun kepada kamu?
أُفٍّ لَّكُمْ وَلِمَا تَعْبُدُونَ مِن دُونِ اللَّهِ أَفَلَا تَعْقِلُونَ
67 . Jijik perasaanku terhadap kamu dan apa yang kamu sembah selain Allah! Maka mengapa kamu tidak mahu menggunakan akal fikiran kamu?
قَالُوا حَرِّقُوهُ وَانصُرُوا آلِهَتَكُمْ إِن كُنتُمْ فَاعِلِينَ
68 . Ketua-ketua mereka berkata: Bakarlah dia dan belalah tuhan-tuhan kamu, jika betul kamu mahu bertindak membelanya!
قُلْنَا يَا نَارُ كُونِي بَرْداً وَسَلَاماً عَلَى إِبْرَاهِيمَ
69 . Kami berfirman: Hai api, jadilah engkau sejuk serta selamat sejahtera kepada Ibrahim!
وَأَرَادُوا بِهِ كَيْداً فَجَعَلْنَاهُمُ الْأَخْسَرِينَ
70 . Dan mereka hendak melakukan angkara yang menyakitinya, lalu Kami jadikan mereka orang yang amat rugi.
وَنَجَّيْنَاهُ وَلُوطاً إِلَى الْأَرْضِ الَّتِي بَارَكْنَا فِيهَا لِلْعَالَمِينَ
71 . Dan Kami selamatkan dia dan sepupunya Nabi Lut ke negeri yang Kami limpahkan berkat padanya untuk umat manusia.
وَوَهَبْنَا لَهُ إِسْحَاقَ وَيَعْقُوبَ نَافِلَةً وَكُلّاً جَعَلْنَا صَالِحِينَ
72 . Dan Kami kurniakan kepadanya: Ishaq, dan Yaqub sebagai tambahan; dan tiap-tiap seorang dari mereka Kami jadikan orang yang salih.
وَجَعَلْنَاهُمْ أَئِمَّةً يَهْدُونَ بِأَمْرِنَا وَأَوْحَيْنَا إِلَيْهِمْ فِعْلَ الْخَيْرَاتِ وَإِقَامَ الصَّلَاةِ وَإِيتَاء الزَّكَاةِ وَكَانُوا لَنَا عَابِدِينَ
73 . Dan Kami jadikan mereka ketua-ketua ikutan, yang memimpin dengan perintah Kami, dan Kami wahikan kepada mereka mengerjakan kebaikan, dan mendirikan sembahyang, serta memberi zakat; dan mereka pula sentiasa beribadat kepada Kami.
وَلُوطاً آتَيْنَاهُ حُكْماً وَعِلْماً وَنَجَّيْنَاهُ مِنَ الْقَرْيَةِ الَّتِي كَانَت تَّعْمَلُ الْخَبَائِثَ إِنَّهُمْ كَانُوا قَوْمَ سَوْءٍ فَاسِقِينَ
74 . Dan kepada Nabi Lut, Kami berikan kebijaksanaan dan ilmu; dan Kami selamatkan dia dari bandar yang penduduknya selalu melakukan perkara yang keji; sesungguhnya mereka itu adalah kaum yang jahat, yang fasik derhaka.
وَأَدْخَلْنَاهُ فِي رَحْمَتِنَا إِنَّهُ مِنَ الصَّالِحِينَ
75 . Dan Kami masukkan Nabi Lut dalam kumpulan mereka yang dilimpahi rahmat Kami; sesungguhnya ia dari orang yang salih.
وَنُوحاً إِذْ نَادَى مِن قَبْلُ فَاسْتَجَبْنَا لَهُ فَنَجَّيْنَاهُ وَأَهْلَهُ مِنَ الْكَرْبِ الْعَظِيمِ
76 . Dan kisah Nabi Nuh, ketika ia berdoa kepada Kami sebelum itu, lalu Kami perkenankan doanya serta Kami selamatkan dia dan pengikut-pengikutnya dari kesusahan yang besar.
وَنَصَرْنَاهُ مِنَ الْقَوْمِ الَّذِينَ كَذَّبُوا بِآيَاتِنَا إِنَّهُمْ كَانُوا قَوْمَ سَوْءٍ فَأَغْرَقْنَاهُمْ أَجْمَعِينَ
77 . Dan Kami membelanya dari angkara kaum yang mendustakan ayat-ayat Kami; sesungguhnya mereka adalah kaum yang jahat lalu Kami tenggelamkan mereka semuanya.
وَدَاوُودَ وَسُلَيْمَانَ إِذْ يَحْكُمَانِ فِي الْحَرْثِ إِذْ نَفَشَتْ فِيهِ غَنَمُ الْقَوْمِ وَكُنَّا لِحُكْمِهِمْ شَاهِدِينَ
78 . Dan sebutkanlah peristiwa Nabi Daud dan Nabi Sulaiman, ketika mereka berdua menghukum mengenai tanam-tanaman semasa ia dirosakkan oleh kambing kaumnya pada waktu malam; dan sememangnya Kamilah yang memerhati dan mengesahkan hukuman mereka.
فَفَهَّمْنَاهَا سُلَيْمَانَ وَكُلّاً آتَيْنَا حُكْماً وَعِلْماً وَسَخَّرْنَا مَعَ دَاوُودَ الْجِبَالَ يُسَبِّحْنَ وَالطَّيْرَ وَكُنَّا فَاعِلِينَ
79 . Maka Kami beri Nabi Sulaiman memahami hukum yang lebih tepat; dan masing-masing Kami berikan hikmat kebijaksanaan dan ilmu yang banyak; dan Kami mudahkan gunung-ganang dan unggas memuji Kami bersama-sama dengan Nabi Daud; dan adalah Kami berkuasa melakukan semuanya itu.
وَعَلَّمْنَاهُ صَنْعَةَ لَبُوسٍ لَّكُمْ لِتُحْصِنَكُم مِّن بَأْسِكُمْ فَهَلْ أَنتُمْ شَاكِرُونَ
80 . Dan Kami mengajar Nabi Daud membuat baju-baju besi untuk kamu, untuk menjaga keselamatan kamu dalam peperangan, maka adakah kamu bersyukur?




وَلِسُلَيْمَانَ الرِّيحَ عَاصِفَةً تَجْرِي بِأَمْرِهِ إِلَى الْأَرْضِ الَّتِي بَارَكْنَا فِيهَا وَكُنَّا بِكُلِّ شَيْءٍ عَالِمِينَ
81 . Dan Kami mudahkan bagi Nabi Sulaiman angin yang kencang tiupannya, bertiup menurut kehendaknya ke bumi yang Kami limpahi berkat padanya; dan adalah Kami mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
وَمِنَ الشَّيَاطِينِ مَن يَغُوصُونَ لَهُ وَيَعْمَلُونَ عَمَلاً دُونَ ذَلِكَ وَكُنَّا لَهُمْ حَافِظِينَ
82 . Dan Kami mudahkan sebahagian dari Syaitan-syaitan untuk menyelam baginya, serta melakukan kerja-kerja yang lain dari itu; dan adalah Kami mengawal mereka daripada melanggar perintahnya.
وَأَيُّوبَ إِذْ نَادَى رَبَّهُ أَنِّي مَسَّنِيَ الضُّرُّ وَأَنتَ أَرْحَمُ الرَّاحِمِينَ
83 . Dan Nabi Ayub, ketika ia berdoa kepada Tuhannya: Sesungguhnya aku ditimpa penyakit, dan Engkaulah yang Maha Penyayang di antara para penyayang.
فَاسْتَجَبْنَا لَهُ فَكَشَفْنَا مَا بِهِ مِن ضُرٍّ وَآتَيْنَاهُ أَهْلَهُ وَمِثْلَهُم مَّعَهُمْ رَحْمَةً مِّنْ عِندِنَا وَذِكْرَى لِلْعَابِدِينَ
84 . Maka Kami perkenankan doa permohonannya, lalu Kami hapuskan penyakit yang menimpanya, serta kami kurniakan kepadanya keluarganya, dengan seganda lagi ramainya, sebagai satu rahmat dari Kami dan sebagai satu peringatan bagi orang yang taat kepada Kami.
وَإِسْمَاعِيلَ وَإِدْرِيسَ وَذَا الْكِفْلِ كُلٌّ مِّنَ الصَّابِرِينَ
85 . Dan demikianlah pula Nabi Ismail dan Idris serta Zulkifli; semuanya adalah dari orang yang sabar.
وَأَدْخَلْنَاهُمْ فِي رَحْمَتِنَا إِنَّهُم مِّنَ الصَّالِحِينَ
86 . Dan Kami masukkan mereka dalam rahmat Kami: sesungguhnya mereka adalah dari orang yang salih.
وَذَا النُّونِ إِذ ذَّهَبَ مُغَاضِباً فَظَنَّ أَن لَّن نَّقْدِرَ عَلَيْهِ فَنَادَى فِي الظُّلُمَاتِ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا أَنتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنتُ مِنَ الظَّالِمِينَ
87 . Dan Dzun-Nun, ketika ia pergi dalam keadaan marah, yang menyebabkan ia menyangka bahawa Kami tidak mampu mengenakannya kesusahan; maka ia pun menyeru dalam kegelapan dengan berkata: Sesungguhnya tiada Tuhan yang dapat menolong melainkan Engkau! Maha Suci Engkau Sesungguhnya aku adalah dari orang yang menganiaya diri sendiri.
فَاسْتَجَبْنَا لَهُ وَنَجَّيْنَاهُ مِنَ الْغَمِّ وَكَذَلِكَ نُنجِي الْمُؤْمِنِينَ
88 . Maka Kami kabulkan doanya, dan Kami selamatkan dia dari kesusahan; dan seperti demikianlah Kami akan selamatkan orang yang beriman.
وَزَكَرِيَّا إِذْ نَادَى رَبَّهُ رَبِّ لَا تَذَرْنِي فَرْداً وَأَنتَ خَيْرُ الْوَارِثِينَ
89 . Dan Zakaria, ketika ia merayu kepada Tuhannya: Wahai Tuhanku! Janganlah Engkau biarkan aku sendirian, dan Engkaulah sebaik-baik yang mewarisi.
فَاسْتَجَبْنَا لَهُ وَوَهَبْنَا لَهُ يَحْيَى وَأَصْلَحْنَا لَهُ زَوْجَهُ إِنَّهُمْ كَانُوا يُسَارِعُونَ فِي الْخَيْرَاتِ وَيَدْعُونَنَا رَغَباً وَرَهَباً وَكَانُوا لَنَا خَاشِعِينَ
90 . Maka Kami perkenankan doanya, dan Kami kurniakan kepadanya Yahya, dan Kami perelokkan keadaan isterinya, untuk melahirkan anak baginya. sesungguhnya mereka sentiasa berlumba-lumba dalam mengerjakan kebaikan, dan sentiasa berdoa kepada Kami dengan penuh harapan serta gerun takut; dan mereka pula sentiasa khusyuk dan taat kepada Kami.
وَالَّتِي أَحْصَنَتْ فَرْجَهَا فَنَفَخْنَا فِيهَا مِن رُّوحِنَا وَجَعَلْنَاهَا وَابْنَهَا آيَةً لِّلْعَالَمِينَ
91 . Dan sebutkanlah peristiwa perempuan yang telah menjaga kehormatan dan kesuciannya; lalu Kami tiupkan padanya dari Ruh ciptaan Kami, dan Kami jadikan dia dan anaknya sebagai satu tanda bagi umat manusia.
إِنَّ هَذِهِ أُمَّتُكُمْ أُمَّةً وَاحِدَةً وَأَنَا رَبُّكُمْ فَاعْبُدُونِ
92 . Sesungguhnya agama Islam inilah agama kamu, agama yang satu asas pokoknya, dan Akulah Tuhan kamu; maka sembahlah kamu akan Daku.
وَتَقَطَّعُوا أَمْرَهُم بَيْنَهُمْ كُلٌّ إِلَيْنَا رَاجِعُونَ
93 . Kebanyakan manusia masih berselisihan dan berpecah-belah dalam urusan agama mereka; mereka semuanya akan kembali kepada Kami.
فَمَن يَعْمَلْ مِنَ الصَّالِحَاتِ وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَلَا كُفْرَانَ لِسَعْيِهِ وَإِنَّا لَهُ كَاتِبُونَ
94 . Dengan yang demikian, sesiapa yang mengerjakan sesuatu amal kebaikan, sedang ia beriman, maka tidaklah disia-siakan amal usahanya; dan sesungguhnya Kami tetap menulisnya.
وَحَرَامٌ عَلَى قَرْيَةٍ أَهْلَكْنَاهَا أَنَّهُمْ لَا يَرْجِعُونَ
95 . Dan mustahil kepada penduduk sesebuah negeri yang Kami binasakan, bahawa mereka tidak akan kembali kepada Kami untuk menerima balasan.
حَتَّى إِذَا فُتِحَتْ يَأْجُوجُ وَمَأْجُوجُ وَهُم مِّن كُلِّ حَدَبٍ يَنسِلُونَ
96 . Demikianlah keadaan mereka hingga apabila terbuka tembok yang menyekat Yakjuj dan Makjuj serta mereka turun dari tiap-tiap tempat yang tinggi.
وَاقْتَرَبَ الْوَعْدُ الْحَقُّ فَإِذَا هِيَ شَاخِصَةٌ أَبْصَارُ الَّذِينَ كَفَرُوا يَا وَيْلَنَا قَدْ كُنَّا فِي غَفْلَةٍ مِّنْ هَذَا بَلْ كُنَّا ظَالِمِينَ
97 . Dan hampirlah datangnya janji hari Kiamat yang benar, maka dengan serta-merta pandangan mata orang yang kufur ingkar terbeliak, Aduhai celakanya kami. Sesungguhnya kami dalam keadaan yang lalai, bahkan kami telah menjadi orang yang zalim.
إِنَّكُمْ وَمَا تَعْبُدُونَ مِن دُونِ اللَّهِ حَصَبُ جَهَنَّمَ أَنتُمْ لَهَا وَارِدُونَ
98 . Sesungguhnya kamu dan apa yang kamu sembah, yang lain dari Allah, menjadi bahan-bahan bakaran neraka Jahannam; kamu akan memasukinya.
لَوْ كَانَ هَؤُلَاء آلِهَةً مَّا وَرَدُوهَا وَكُلٌّ فِيهَا خَالِدُونَ
99 . Kalaulah mereka itu tuhan-tuhan, tentulah mereka tidak masuk ke dalam neraka; dan semuanya akan kekal dalam neraka selama-lamanya.
لَهُمْ فِيهَا زَفِيرٌ وَهُمْ فِيهَا لَا يَسْمَعُونَ
100 . Mereka merintih kesakitan di dalam neraka, dan mereka pula di situ tidak dapat mendengar sesuatu yang menyenangkan.




إِنَّ الَّذِينَ سَبَقَتْ لَهُم مِّنَّا الْحُسْنَى أُوْلَئِكَ عَنْهَا مُبْعَدُونَ
101 . Sesungguhnya orang yang telah tetap dari dahulu lagi memperoleh kebaikan dari Kamu, mereka di jauhkan dari neraka itu.
لَا يَسْمَعُونَ حَسِيسَهَا وَهُمْ فِي مَا اشْتَهَتْ أَنفُسُهُمْ خَالِدُونَ
102 . Mereka tidak mendengar suara julangan api neraka itu, dan mereka akan kekal selama-lamanya di dalam Syurga yang diingini oleh jiwa mereka.
لَا يَحْزُنُهُمُ الْفَزَعُ الْأَكْبَرُ وَتَتَلَقَّاهُمُ الْمَلَائِكَةُ هَذَا يَوْمُكُمُ الَّذِي كُنتُمْ تُوعَدُونَ
103 . Huru-hara besar yang amat mengerikan itu tidak merunsingkan mereka, dan mereka disambut oleh malaikat-malaikat yang berkata: Inilah hari kamu beroleh kebahagiaan, yang telah dijanjikan kepada kamu di dunia dahulu.
يَوْمَ نَطْوِي السَّمَاء كَطَيِّ السِّجِلِّ لِلْكُتُبِ كَمَا بَدَأْنَا أَوَّلَ خَلْقٍ نُّعِيدُهُ وَعْداً عَلَيْنَا إِنَّا كُنَّا فَاعِلِينَ
104 . Ingatlah hari Kami menggulung langit seperti menggulung lembaran surat catatan; sebagaimana Kami mulakan wujudnya sesuatu kejadian, Kami ulangi wujudnya lagi; sebagai satu janji yang ditanggung oleh Kami; sesungguhnya Kami tetap melaksanakannya.
وَلَقَدْ كَتَبْنَا فِي الزَّبُورِ مِن بَعْدِ الذِّكْرِ أَنَّ الْأَرْضَ يَرِثُهَا عِبَادِيَ الصَّالِحُونَ
105 . Dan sesungguhnya, Kami telah tulis di dalam Zabur sesudah Kami tulis pada Lauh Mahfuz: Bahawa bumi itu akan di warisi oleh hamba-hamba-Ku yang salih.
إِنَّ فِي هَذَا لَبَلَاغاً لِّقَوْمٍ عَابِدِينَ
106 . Sesungguhnya Al-Qur'an ini mengandungi keterangan-keterangan yang cukup bagi orang yang mengerjakan ibadat.
وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِّلْعَالَمِينَ
107 . Dan tiadalah Kami mengutuskan kamu, melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.
قُلْ إِنَّمَا يُوحَى إِلَيَّ أَنَّمَا إِلَهُكُمْ إِلَهٌ وَاحِدٌ فَهَلْ أَنتُم مُّسْلِمُونَ
108 . Katakanlah: Sesungguhnya yang diwahikan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan yang Esa, maka adakah kamu menurut apa yang diwahikan kepadaku?
فَإِن تَوَلَّوْا فَقُلْ آذَنتُكُمْ عَلَى سَوَاء وَإِنْ أَدْرِي أَقَرِيبٌ أَم بَعِيدٌ مَّا تُوعَدُونَ
109 . Sekiranya mereka berpaling maka katakanlah: Aku telah memberitahu kepada kamu dengan jelas untuk kita bersama; dan aku tidak mengetahui sama ada balasan buruk yang dijanjikan kerana keingkaran kamu itu, sudah dekat atau masih jauh.
إِنَّهُ يَعْلَمُ الْجَهْرَ مِنَ الْقَوْلِ وَيَعْلَمُ مَا تَكْتُمُونَ
110 . Sesungguhnya Allah mengetahui akan perkataan yang kamu sebutkan dengan terus terang, dan juga Ia mengetahui apa yang kamu sembunyikan di hati.
وَإِنْ أَدْرِي لَعَلَّهُ فِتْنَةٌ لَّكُمْ وَمَتَاعٌ إِلَى حِينٍ
111 . Dan aku tidak mengetahui mungkin balasan itu menambah azab kamu, dan memberi kamu hidup senang hingga ke suatu masa yang tertentu.
قَالَ رَبِّ احْكُم بِالْحَقِّ وَرَبُّنَا الرَّحْمَنُ الْمُسْتَعَانُ عَلَى مَا تَصِفُونَ
112 . Kata Rasulullah: Ya Tuhanku, hukumkanlah dengan benar; dan Tuhan kami Maha Pemurah yang dipohon pertolongan-Nya atas apa yang kamu sifatkan itu.


No comments:

Post a Comment