Surah Yusuf adalah surah bercirikan cerita yang penuh dengan pengajaran.  Surah ini mencerminkan replika sebenar kehidupan manusia, baik di masa lampau  mahupun di masa sekarang dan akan datang. Manusia dengan segala sifatnya  tergambar dalam surah yang sangat unik ini. Inilah satu-satunya surah yang  terkandung di dalamnya cerita / kisah benar: daripada awal hingga akhir. Berbeza  dengan cerita-cerita lain dalam Al-Quran, Surah Yusuf memaparkan cerita secara  berturutan dan tersusun. 
 
  
 
MUQADDIMAH
Kuliah ini akan membicarakan latar penurunan Surah Yūsuf, tema kisah Yūsuf  dan tafsiran santai kepada ayat 1-3 Surah Yūsuf .
 
Surah Yūsuf adalah salah satu daripada 114 surah dalam Al-Quran.
KEISTIMEWAAN 
- Surah Yūsuf hampir seluruhnya kisah Yūsuf. Kisah Yūsuf tidak ada dalam surah  lain (walaupun nama Nabi Yūsuf disebut dua kali dalam dua surah: Al-An’am dan  Al-Ghafir/Al-Mu'min). Kisah lain tidak ada dalam Surah Yūsuf. Sebagai  perbandingan kisah Nabi Musa AS terdapat di 25 lokasi dalam Al-Quran. Begitu  juga kisah Nabi Isa AS yang terdapat di lebih daripada 10 lokasi secara  terpisah.
 
- Surah Yūsuf mempunyai kesatuan tema dan konsisten.
 
- Surah Yūsuf diturunkan seluruhnya, sekali gus. Kenapa? Kerana nada cerita  dalam Surah Yūsuf tidak sesuai untuk dipisah-pisahkan!
 
BILA DITURUNKAN?
 
1.    Tidak diketahui tarikh  yang tepat.
2.    Dua / tiga tahun sebelum hijrah (era Makkah). Sebagai ayat  Makkiyah (ayat yang diturunkan sebelum Hijrah) ayat-ayat dalam Surah Yūsuf  diturunkan sesuai dengan persekitaran Makkah (sebelum Hijrah) yang:
 
-     Tiada institusi Islam; contohnya suasana umat Islam yang tinggal di  negara-negara bukan Islam.
-    Tiada sumber Islam (sehinggakan Rasulullah  SAW tidak mengetahui apa-apa tentang kisah Yūsuf)
-    Para sahabat ditindas,  dizalimi dan diusir.
 
3.    Sebelum berlaku Isra’ & Mi’raj (di mana  Rasulullah SAW melihat Nabi Yūsuf). Bayangkan betapa Rasulullah melihat Nabi  Yūsuf selepas mengetahui tentang ceritanya dalam Al-Quran!  Terkesan!
 
TIMING
 
1.    Surah Yūsuf diturunkan  ketika 'ām al-huzn عام الحزن (tahun kesedihan) ketika mana Rasulullah SAW diuji  dengan dugaan-dugaan yang berturut-turut:
 
a.    Kematian Abu  Thalib
b.    Kematian Khadijah
c.    Penghinaan Tha’if
d.    Rasulullah  SAW dan para sahabat dipulau.
 
2.    Surah Yūsuf diturunkan sebagai remedi  di waktu Rasulullah SAW berdukacita.
3.    Surah Yūsuf diturunkan ketika para  sahabat diasak dengan cabaran dan penyiksaan sehingga mereka meminta Rasulullah  SAW menceritakan kisah orang-orang terdahulu yang ditimpa cabaran dan siksaan  yang sama.
4.    Orang Quraish menguji dan cuba menidakkan kerasulan Nabi  Muhammad SAW. Mereka menemui kalangan Yahudi untuk mendapatkan soalan-soalan  “maut” untuk ditanya kepada Rasulullah SAW:
 
a.    Soalan yang hanya  seorang Nabi sahaja yang boleh menjawab.
b.    Soalan helah untuk menidakkan  kerasulan Nabi Muhammad SAW.
 
ANDA DAN SURAH  YŪSUF
 
1.    Surah Yūsuf barangkali tidak dapat meringankan  kesedihan, duka lara, keperitan, kegoyahan atau apa saja impak lainnya yang anda  alami tetapi sekurang-kurangnya boleh mengubat hati anda!
2.    Surah Yūsuf  dapat memujuk hati anda untuk memahami bahawa apa yang anda alami telah dialami  oleh orang lain juga, hatta para Nabi, dan bahawa segalanya itu adalah rencah  kehidupan sebagai mana rencah kehidupan dalam babak-babak kisah Yūsuf dalam  Al-Quran.
3.    Terdapat beberapa salah faham, salah tanggapan dan salah  amalan tentang Surah Yūsuf, antara lainnya:
 
-    Sebahagian ayat dalam  Surah Yūsuf dibaca untuk mendapatkan sesuatu  / menyelesaikan sesuatu  masalah.
-    Isteri Al-‘Aziz yang disebutkan dalam Surah Yūsuf dinamakan  sebagai Zulaikha yang digambarkan sebagai cantik!
-    Zulaikha dikatakan  berkahwin dengan Nabi Yūsuf; sehinggakan ada yang menjadikan pasangan “Yūsuf dan  Zulaikha” sebagai doa untuk pasangan!
 
 
sumber dari: ustaz.org