
“Maka janganlah engkau (wahai Muhammad) berdukacita disebabkan tuduhan-tuduhan mereka terhadapmu. Sesungguhnya Kami sedia mengetahui apa yang mereka sembunyikan dan apa yang mereka nyatakan”. (Yaasin : 76)
Terdahulu daripada  ayat ini, Allah SWT telah menyatakan sebahagian bukti kekuasaan-Nya. Antaranya  menjadikan langit dan bumi, matahari dan bulan, kapal yang belayar di lautan  bahkan binatang ternak yang hidup di sekitar lingkungan manusia. Haiwan ternak  ini pula dimanfaatkan oleh manusia dengan berbagai cara baik semasa hidupnya  dijadikan tunggangan atau sesudah matinya dengan memanfaatkan daging, kulit,  susu dan bahagian-bahagian yang lainnya.
Sepatutnya  bukti-bukti ini menjadikan manusia melihat dan berfikir, lalu mengambil iktibar  agar kembali kepada Allah SWT yang Maha Esa dan Maha Kuasa. Namun mereka tetap  enggan dan kufur kepada Allah SWT dengan mengambil patung sebagai sembahan  sedangkan patung-patung itu tidak memberi kesan dan manfaat sedikitpun dalam  hidup manusia.
Allah SWT juga  mengingatkan agar manusia menyedari asal usulnya daripada air mani yang hina.   Allah SWT menjadikan manusia daripada air mani dan air mani itu pula keluar dari  lubang air najis iaitu saluran kencing lelaki. Mengapa tiba-tiba sahaja sesudah  dewasanya, manusia menjadi pembantah dan penentang kepada Allah SWT? 
Seterusnya, Allah  menyatakan kepada Nabi SAW agar jangan berasa dukacita dengan kata-kata dan  tindak-tanduk umat baginda yang angkuh itu. Kenyataan ini merupakan satu hiburan  kepada Nabi SAW yang merasa sedih dan berduka dengan fitnah yang dilemparkan  oleh musuh kepada baginda. 
Dalam kalangan  mereka yang menentang Islam ini, sememangnya banyak perkara yang menyakitkan  hati para pejuang Islam. Apatah lagi apa yang dialami sendiri oleh Nabi SAW pada  saat itu yang merupakan penentangan yang datang daripada kaum kerabat baginda  sendiri, yang selama ini mengasihi dan menyanjung tinggi budi pekerti Nabi.  Namun jika orang beriman sabar maka ganjaran besar pahalanya di sisi Allah  SWT.
Kata-kata cemuhan  dan ejekan daripada musuh Islam (walaupun mengaku muslim) yang dilontarkan  kepada golongan Islam adalah sebahagian daripada tugasan mereka. Antaranya,  memfitnah golongan Islam sebagaimana tuduhan keatas Nabi SAW kononnya Nabi  adalah pendusta, ahli sihir, gila, pemecah belah masyarakat dan  sebagainya.
Lalu Allah SWT  selaku pembela Nabi SAW meminta Nabi agar jangan berdukacita terhadap kata-kata  mereka kerana Allah SWT sendiri Maha Mengetahui apa yang tersembunyi dan apa  yang nyata daripada ucapan mereka.
No comments:
Post a Comment