Bismillahirrahmanirrahim
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh
Sakaratul maut. Sememangnya suatu saat yang sukar dan mencabar untuk dilalui. Saat yang dikhabarkan sebagai tahap dahaga yang terlalu tinggi. Sehingga satu lautan belum tentu akan hilang hausnya. Di kala itu jugalah para syaitan berusaha sedaya mampu mengelirukan manusia. Agar sama-sama sesat dan kekal di dalam neraka di hari pembalasan kelak. Pada saat tersebut juga kita dipesan oleh Rasulullah SAW agar men’talqin’kan orang yang sedang nazak itu. Di sunatkan pada masa itu kita memberikan titisan air (kalau boleh air zam-zam) ke dalam mulut si pesakit bagi membantu menghilangkan sedikit hausnya yang tidak terkira.
Surah Yaasin sekiranya dibaca dengan caranya dan ikhlas niatnya dapat juga membantu mereka yang menghadapi saat ini. Ajarkanlah kepada keluarga terdekat agar dengan ilmu tersebut nanti mereka dapat sedikit sebanyak membatu kita menghadapi sakaratul maut tersebut. Bacaan Yaasin dengan cara 7 hentian mubin. Ilmu ini merupakan furuk daripada keseluruhan pelajaran ilmu perubatan Islam yang telah ditauliahkan kepada kami oleh Datuk Dr. Harun Din suatu ketika dahulu (MPI 2001).
Maksud.
Di dalam surah Yaasin terdapat tujuh tempat hentian (wakaf) di atas perkataan Mubien (
مبين). Mengikut ilmu perubatan Islam, kita boleh memberhentikan bacaan di atas perkataan tersebut dan kembali mengulangi bacaan Yaasin dari mula. Seterusnya melangkaui mubien yang pertama dan berhenti (wakaf) pula di hentian mubien yang kedua. Kembali memulakan bacaan sehinggalah selesai tujuh kali bacaan dengan tujuh kali wakaf di hentian mubien.
Hujjah ilmiah.
Al-Quran merupakan petunjuk dan ubat bagi mereka yang benar-benar yakin dan beriman dengannya. Tidak semua ilmu al-Quran ini dikuasai oleh seseorang. Tetapi mendalami ilmu-ilmu al-Quran akan dapat meningkatkan lagi kekuatan iman seseorang. Al-Quran adalah mukjizat. Ia juga mengandungi pelbagai hikmah yang hanya diketahui secara keseluruhannya oleh Yang Maha Pencipta. Barangsiapa yang Allah kurniakan sebahagian hikmah ini kepadanya maka dia telah dibekalkan dengan bekalan yang terbaik.
Bacaan al-Quran adalah suatu ibadah. Setiap huruf akan diganjarkan dengan 1o kebajikan. Bukannya Alif Lam Mim (
الم) itu satu huruf kata Nabi SAW, tetapi Alif itu satu huruf, Lam itu satu huruf dan Mim itu satu huruf. Surah Yaasin pula diganjarkan sebagaimana yang diniatkan oleh pembacanya (al-Hadith).
Bacaan al-Quran dengan cara-cara yang tertentu bukan merupakan suatu bid’ah. Selagi cara tersebut tidak bertentangan dengan syariat seperti membaca ayat-ayat al-Quran secara terbalik, membaca di dalam tandas, membaca dengan potongan ayat yang tidak lengkap lalu disambung baca dengan ayat dari surah yang lain sehingga menjadi satu ayat lengkap dengan maksud yang tidak difahami dan sebagainya. Malah bacaan al-Quran yang diperturunkan ilmunya oleh seorang guru yang lebih amalan dan pengalamannya serta betul pula letak susunnya adalah wajar diikuti.
No comments:
Post a Comment