Dalam masyarakat Melayu, surah Yasin merupakan surah kedua paling popular selepas surah al-Fatihah. Boleh dikatakan semua umat Melayu tak kira jantan betina, kecil besar, semua pernah membacanya sekurangnya sekali seumur hidup mereka. Kalau mereka tak baca pun semasa hidup, masa nak mati, ada orang akan bacakan kepada mereka. Dan pada setiap malam Jumaat, surah Yasin adalah surah “wajib”. Hebatnya surah Yasin kepada orang Melayu, hingga diadakan pula majlis khusus untuk membaca surah Yasin. Kerana itulah, surah Yasin sangat kuat hubungannya dengan masyarakat Melayu.
Jika disebut surah Yasin, yang paling banyak bermain dalam fikiran kita adalah kematian dan kesusahan. Kenapa? Kerana surah Yasin lah yang dicari bila ada kematian. Surah Yasinlah yang dicari bila kita berhajat kepada sesuatu. Ini tema paling popular dalam masyarakat Melayu. Namun jika diteliti maksud dan pengertian surah ini, sedarkah kita bahawa surah ini sangat memberi pengajaran buat mereka yang bergelar pejuang? Dalam surah ini, terdapat sebuah kisah yang mampu mengalirkan air mata seorang pejuang yang mengerti dan menghayati maksud ayat-ayat tersebut. Ini kerana dekatnya kisah ini dengan realiti yang dihadapi oleh sang pejuang.
Dari ayat 13-29, Allah telah menceritakan kepada kita kisah penduduk di sebuah negeri. Menurut ulamak, negeri itu bernama Anthokiah, dahulu terletak di Turki, namun selepas perang dunia I, ia termasuk dalam sempadan Syria. Penduduk di negeri itu termasuk pembesar dan rajanya, semua tidak beriman kepada Allah. Kerana, Allah telah mengutus rasulNya untuk menyeru penduduk Anthokiah agar menyembah Tuhan Yang Esa. Permulaannya diutus 2 orang rasul, kemudian dikuatkan dengan yang ketiga.
Hebatnya hikmat yang dapat dipelajari dari surah Yasin adalah perjuangan Islam ini tidak boleh dilaksana dengan bersendirian. Sedangkan Nabi yang diutus ke Anthokiah pun dalam keadaan berjamaah yaitu bertiga, inikan pula kita yang serba kekurangan ini. Kerana itu setiap pejuang harus sedar bahawa kerja buat Islam ini bukannya mudah dan ringan. Ianya amat berat dan takkan mampu untuk dipikul secara nafsi nafsi. Ia perlu kepada sebuah kesatuan. Kerana itu, penting bagi kita untuk bersatu dalam pertubuhan yang berikrar untuk memperjuangkan Islam.
Diceritakan lagi bahawa penduduk negeri ini telah menolak secara total dakwah yang disampaikan oleh utusan Allah itu. Mereka bukan sahaja menolak, bahkan mempersoal siapa Rasul itu untuk menyeru mereka kepada tauhid. Lebih malang lagi, para Rasul ini telah dituduh sebaga pembawa sial kepada penduduk Anthokiah. Rasul ini juga diugut dengan hukuman rejam dan kemuncaknya, mereka telah memenjarakan dua Rasul yang awal diutus.
Ini lah antara ujian yang sentiasa berulang kali datang menemui para pembawa risalah Islam. Sentiasa ada golongan yang akan mempersoal kewajaran sang pejuang menyeru mereka kearah kebenaran. Ini bukan perkara baru. Seorang pejuang yang benar tak akan terkejut dengan reaksi sebegini. Dan wajiblah para pejuang ini untuk bersabar dalam menghadapi kerenah mad’u walau seteruk mana sekalipun. Kerana inilah yang telah dihadapi oleh para Rasul. Inilah jalan yang telah dilalui oleh para Rasul. Dan demi Allah, tiada seorang pun para Rasul yang lari dari perjuangan semata kerana dakwah mereka ditolak. Maka jika kita lari dari perjuangan, maka apa kah kita masih boleh mengaku sebagai seorang pengikut Rasul? Dipenjara, diugut itu adalah “habuan” buat pejuang di dunia. Jalan menegakkan agama Allah bukan jalan yang dihampar dengan sutera. Tapi ia jalan yang penuh dengan kerikil tajam yang menanti untuk menusuk kaki kaki yang melaluinya. Bacalah kisah keteguhan Zainab al-Ghazali, dan lihat bagaimana dia telah disiksa dengan kejam di dalam penjara Thoghut.
Seterusnya kita dapat mengetahui bahawa penduduk Anthokiah telah menangkap para Rasul tadi dan mereka disiksa oleh penduduk itu. Dan ketika disiksa itulah, datang seorang pemuda bernama Habib an-Najjar dalam keadaan tergesa-gesa. Menurut ulamak, Habib bukanlah seorang yang hebat darjatnya di sisi penduduk Anthokiah. Habib hanyalah seorang tukang kayu, atau tukang batu. Namun itu bukan penghalang baginya untuk mendapat hidayah. Malah ketika dua Rasul mula-mula datang untuk berdakwah, mereka telah bertemu dengan Habib dan setelah mendengar ajaran Rasul itu, Habib telah memeluk Islam. Habib lah orang pertama dan terakhir yang memeluk Islam melalui dakwah para Rasul tadi. Namun begitu terdapat juga ulamak yang mengatakan Raja Anthokiah juga telah memeluk Islam apabila menyaksikan mukjikat Rasul menghidupkan seorang penduduk yang mati.
Untuk mendapat hidayah, seratus peratus terletak pada budi bicara Allah SWT. Kita tidak boleh memberi hidayah walau sehebat manapun kita. Cuba kita banding, jika Rasul yang maksum pun hanya mampu menarik seorang sahaja untuk masuk Islam, bagaimana pula dengan kita? Kita ditugas untuk menyeru kearah mengtauhidkan Allah, bukan untuk memberi hidayah. Kita hanya wajib menyeru, nak ikut atau tidak, itu ditentukan oleh Allah. Kerana itulah kita jangan rasa susah hati jika tiada yang mengikuti perjuangan kita. Tugas kita adalah untuk menyeru manusia, yang seterusnya akan ditentu oleh Allah. Tugas kita cukup sekadar memberi tahu.
Kehebatan seseorang tidak dinilai pada pangkat, hartanya. Tapi pada takwanya. Lihatlah Habib yang tiada pangkat tapi sanggup membela para Rasul. Habib tidak meninggalkan Rasul ketika dalam kesusahan. Habib bangkit, bangun menentang kemungkaran dengan lidahnya. Sebab itu jangan kita perlekeh seseorang hanya kerana dia tak berpangkat, berharta. Setiap orang ada kelebihan mereka. Kerana itu semua orang perlu dirai.
Keteguhan iman Habib telah menyebabkan penduduk Anthokiah menjatuhkan hukuman bunuh keatasnya. Caranya adalah mereka telah memijak-mijak Habib hingga syahidlah Habib.
Ini lah pengajaran yang penting buat sang pejuang. Sesungguhnya perjuangan membela Islam ini adalah jalan sehala. Tiada patah balik algi. Kita perlu bersedia untuk mempertaruhkan nyawa demi perjuangan Islam. Jangan kita sangka perjuangan ini mudah. Dan jangan juga kita menyangka bahawa perjuangan ini diredhai oleh semua. Sesungguhnya perjuangan ini akan menagih keringat, darah dan air mata kita semua.
Hebatnya semangat Habib ini, di alam Roh pun, setelah berjaya mengecap nikmat syahid, Habib masih ingin berdakwah kepada kaumnya.
Sesungguhnya seseorang yang bersungguh dan ikhlas dalam berdakwah, dia akan terus berdakwah hatta setelah berpindah ke perkampungan abadi. Hayatilah kisah para Syuhada yang kegigihan mereka berjuang telah membuka hati orang yang masih hidup hingga mereka juga berikrar untuk mengikut jejak langkah para Syuhada.
Inilah antara pengajaran berguna yang harus diambil iktibarnya oleh para pejuang. Ingatlah, jalan membela Islam ini akan sentiasa dicemburui oleh musuh. Maka bersedialah kita untuk mengorbankan segalanya hatta nyawa sekalipun kerana inilah, sunnah para Rasul!
Wallahua’lam…
No comments:
Post a Comment