1. Apabila matahari dilingkari cahayanya dan hilang lenyap, dan apabila bintang-bintang gugur berselerak, dan apabila gunung-ganang di terbangkan ke angkasa setelah dihancurkan menjadi debu, dan apabila unta yang bunting terbiar, dan apabila binatang liar dihimpunkan, dan apabila lautan meluap-luap bercampur-baur, dan apabila setiap diri disatukan dengan pasangannya, dan apabila anak perempuan yang ditanam hidup-hidup ditanya: “Dengan dosa apakah ia dibunuh?”
2. Dan apabila suratan amal dibentangkan, dan apabila langit ditanggalkan dari tempatnya, dan apabila neraka dinyalakan menjulang dan apabila Syurga didekatkan.
Setelah semuanya itu berlaku setiap orang akan mengetahui tentang amal yang telah dibawanya.
3. Aku bersumpah dengan bintang-bintang yang tenggelam timbul, yang beredar, juga yang tetap pada tempatnya. Dan demi malam, apabila ia hampir habis, dan siang, apabila ia mulai terang.
4. Sebenarnya Al-Quran itu sesungguhnya ialah Kalamullah yang disampaikan oleh Jibril, Utusan yang mulia, yang kuat gagah, lagi berkedudukan tinggi di sisi Allah yang mempunyai Arasy, yang ditaati di sana dalam kalangan malaikat, lagi dipercayai.
5. Sebenarnya sahabat kamu Nabi Muhammad itu wahai golongan yang menentang Islam, bukanlah ia seorang gila sepertimana kamu tuduh. Dan Nabi Muhammad yakin bahawa yang disampaikan kepadanya ialah wahyu dari Tuhan, kerana demi sesungguhnya! Nabi Muhammad telah mengenal dan melihat Jibril di kaki langit yang nyata.
6. Dan bukanlah Nabi Muhammad seorang yang boleh dituduh dan disangka buruk, terhadap penyampaiannya mengenai perkara yang ghaib.
7. Dan sebenarnya Al-Quran itu bukanlah perkataan Syaitan yang kena rejam.
8. Dengan yang demikian, maka ke manakah kamu hendak pergi kiranya kamu masih menyeleweng dari jalan Al-Quran?
9. Al-Quran itu tidak lain hanyalah peringatan bagi seluruh penduduk alam. Iaitu bagi sesiapa dari kamu yang mahu tetap teguh di atas jalan Islam yang betul dan kamu tidak dapat menentukan kemahuan kamu mengenai sesuatupun, kecuali dengan cara yang diatur oleh Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan seluruh alam.
No comments:
Post a Comment