SURAH al-Mutaffifin  mengandungi 36 ayat. Ia diturunkan selepas surah al-Ankabut dan merupakan surah  terakhir yang diturunkan di Madinah. Hubungan surah ini dengan surah al-Infitar.  Dalam surah al-Infitar, Allah SWT berfirman bahawa pada setiap orang itu ada  malaikat yang memelihara dan mencatat amalannya. Dalam surah ini pula, Allah SWT  menerangkan tentang nama yang telah ditulis oleh mereka iaitu Kitabun Marqum  yang ditempatkan di Illiyin atau Sijjin.
Firman Allah  SWT: Kecelakaan besar bagi orang-orang yang curang (dalam timbangan dan  sukatan).
Al-Maraghi berkata:  Dikhabarkan bahawa di Madinah terdapat seorang yang bernama Abu Juhaynah. Dia  mempunyai dua alat penimbang, satu besar dan satu lagi kecil. Apabila dia hendak  membeli biji-bijian dan buah-buahan daripada para penanamnya dia akan  menggunakan alat penimbang besar dan apabila dia ingin menjual kepada orang lain  ditimbangnya dengan menggunakan alat penimbang yang kecil. Orang sepertinya  ialah seorang yang rakus dan tamak. Mereka inilah yang diancam dengan ancaman  yang berat sebagaimana yang terdapat dalam ayat di atas. 
Malahan mereka ini juga  yang ditakutkan oleh Nabi Muhammad SAW dalam sabdanya yang bermaksud: "Lima  perbuatan yang akan dikenakan dengan lima seksaan: 
Pertama: Satu kaum yang memungkiri  janji lalu Allah SWT akan memberi kemenangan kepada musuh untuk  menguasainya.
Kedua: Mereka tidak menghukum  dengan hukuman yang diturunkan oleh Allah SWT, pasti Allah menurunkan kefakiran  kepada mereka.
Ketiga: Jika berlakunya  perbuatan keji di kalangan mereka, pasti kematian akan tersebar di kalangan  mereka.
Keempat: Mereka yang  mengurangkan timbangan pasti tumbuh-tumbuhan tidak akan tumbuh.
Kelima: Mereka yang enggan  membayar zakat, pasti mereka tidak mendapat hujan".
Firman Allah SWT: Iaitu  mereka yang apabila menerima sukatan (gantang cupak) dari orang lain mereka  mengambilnya dengan cukup. Dan (sebaliknya) apabila mereka menyukat atau  menimbang untuk orang lain, mereka kurangi.  Syed Qutub berkata: Mereka  adalah orang-orang yang apabila membeli, mereka mahukan barang-barang itu  disukat dengan cukup tetapi jika mereka menjual, mereka memberikan barang-barang  tersebut dengan sukatan yang kurang. Firman Allah SWT: Tidakkah mereka  menyangka bahawa mereka akan dibangkitkan (hidup semula sesudah mati)? Pada hari  (kiamat) yang amat besar (huru-haranya).
Ibn Kathir berkata: Apakah  mereka tidak merasa takut pada hari kebangkitan kerana Allah SWT mengetahui  segala rahsia dan pada hari yang sangat mengerikan itu terdapat perkara yang  menakutkan dan menyeramkan.
Orang yang rugi pada hari itu  akan dimasukkan ke dalam neraka yang sangat panas.
Firman Allah SWT: Hari  berdiri manusia untuk mengadap Tuhan sekelian alam? Sebagai penghormatan  terhadap keagungan Allah SWT.
Ibn Umar r.a menerangkan, pada  suatu ketika beliau melintasi penjual lalu berkata: "Takutlah kepada Allah SWT  dan sempurnakanlah timbangan. Ini disebabkan golongan yang mengurangkan  timbangan itu pada hari Kiamat akan ditahan untuk menghormati kebesaran Tuhan  yang Maha Pengasih, bahkan peluh pun menahan mereka". Ikrimah berkata: Aku  bersaksi bahawa setiap penyukat dan penimbang akan dimasukkan ke dalam  neraka. Beliau ditanya oleh seseorang: Anakmu sendiri penyukat, bagaimana?  Jawabnya: Aku bersaksi bahawa beliau juga nanti akan dimasukkan ke dalam  neraka. Dalam ucapan ini Ikrimah bermaksud memberi keterangan yang sangat  menyedihkan bahawa pada umumnya manusia pada ketika itu ramai mengurangkan  sukatan dan timbangan.

No comments:
Post a Comment