
Apabila langit terbelah, bintang gugur bertaburan, lautan pecah bercampur-baur dan kubur dibongkarkan.
Setelah semuanya itu berlaku, setiap orang akan  mengetahui apa yang telah dikerjakan dan ditinggalkannya.
 Wahai manusia! Apakah yang memperdayakanmu  menyebabkan kamu derhaka kepada Tuhanmu yang Maha Pemurah? Tuhan yang telah  mencipta dan mengatur kejadianmu, lalu menjadikan anggotamu sesuai dengan tujuan  yang kerananya anggota itu diadakan, serta menjadikan binaan tubuh badanmu sama  padan dengan kekuatannya. Dalam bentuk dan rupa apa sahaja yang dikehendakiNya,  Ia menyusun kejadianmu.
 Sebenarnya tidak ada yang memperdayakan kamu yang  ingkar ini! Bahkan kamu sendiri tidak percayakan adanya hari  pembalasan.
 Padahal sesungguhnya, ada malaikat yang menjaga dan  mengawas segala bawaan kamu. Mereka adalah makhluk mulia Allah yang ditugaskan  menulis amal kamu dan tahu apa yang kamu lakukan.
 Catitan malaikat itu ialah untuk menyatakan siapa  yang berbakti dan siapa yang bersalah kerana sesungguhnya orang yang berbakti  dengan taat dan amal kebajikan, tetap berada dalam Syurga yang penuh nikmat. Dan  orang yang bersalah akan berada di neraka menderita bakaran pada hari pembalasan  nanti, sentiasa dalam azab seksaNya.
 Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui kedahsyatan  hari pembalasan itu?
 Sekali lagi ditanya, apa jalannya engkau dapat  mengetahui kedahsyatan hari pembalasan itu?
 Hari itu ialah hari seseorang tidak dapat memberikan  pertolongan sedikitpun kepada orang lain dan segala urusan pada hari itu  tertentu bagi Allah.
No comments:
Post a Comment