Semalam, kita dikejutkan dengan berita tentang penemuan mayat seorang bayi yang dicampak atau tercampak dari Pangsapuri Sentul, Kuala Lumpur. Berita ini menjadi hiasan di dada-dada akhbar. MasyaAllah, dunia akhir zaman, begitu mudah dan murah harga nyawa manusia. Tatkala Al-quran dan hadith tidak lagi jadi pegangan, maka selagi itulah dosa dan noda akan sentiasa menjadi teman. Siksanya bayi tersebut di saat akhir kehidupannya. Moga Allah memberikan taufiq dan hidayah kepada pelakunya. Dan semoga pelakunya dapat dihadapkan kepada muka pengadilan.
Firman Allah Ta’ala:
وَإِذَا الْمَوْءُودَةُ سُئِلَتْ (8)
بِأَيِّ ذَنْبٍ قُتِلَتْ (9)
Maksud ayat:
“Apabila bayi-bayi perempuan yang dikuburkan hidup-hidup disoal.
Kerana dosa apakah mereka dibunuh?”
(Surah Al-Takwir : 8-9)
Bayi-bayi perempuan yang ditanam hidup-hidup oleh bapa-bapa mereka pada zaman jahiliyah dahulu, adalah adat jahiliyah yang paling kejam. Apalah dosa bayi-bayi perempuan itu maka mereka diperlakukan begitu zalim, bayi-bayi itu tidak pernah minta mereka dilahirkan sebagai bayi perempuan. Kemunculan mereka ke dunia ini hanyalah natijah daripada hubungan kelamin ibu bapa mereka. Sepatutnya bayi perempuan itu disambut dengan kasih sayang sebagai anugerah Allah Ta’ala.
Kini kita kembali mengulangi zaman Jahiliah di mana bayi dibunuh dengan kejam tanpa rasa sedikitpun pertimbangan. MasyaAllah, inilah harga kemajuan duniawi yang kita terpaksa bayar hari ini. Imanshah berpesan kepada rakan-rakan yang memiliki adik, kakak, abang, mahupun anak-anak. Awasilah mereka, perhatikanlah mereka. Biar kita dikatakan kolot di mata mereka, namun di hadapan Allah kita dapat menjawabnya nanti!!
No comments:
Post a Comment