Friday, 30 December 2011

Al-Insyiqaaq -kehidupan dan balasan





Kemudian Allah bersumpah dengan ciptaannya yang menakjubkan iaitu cahaya senja di kaki langit dan cahaya bulan purnama yang menjadi madah manusia ketika melafazkan bait-bait indah. Lalu diperingatkan bahawa semua itu mempunyai peringkatnya sebelum sampai ke puncak seperti juga manusia iaitu dari alam roh, alam rahim, alam bumi, alam kubur dan alam kekal di akhirat. Ayat ini mengisyaratkan manusia itu makhluk yang terikat proses.

Hukum kebarangkalian menyatakan bahawa kalau kita sudah melakukan proses (ikhtiar) yang terbaik, kemungkinan besar hasilnya juga adaah yang terbaik walaupun kita masih mempunyai kebarangkalian mendapat hasil sebaliknya iaitu apabila kita sudah berikhtiar dengan bersungguh-sungguh, namun hasilnya tidak seperti yang kita harapkan. Dalam hal ini, janganlah kita berhenti melakukan ikhtiar kerana manusia diciptakan Allah setingkat demi setingkat dan bukan sekaligus iaitu kegagalan adalah sebahagian daripada proses untuk membuat kita lebih matang.
Setelah itu, ayat memaparkan yang Allah bertanya pula kepada manusia untuk direnung. Ada manusia yang hatinya tertutup dari cahaya Al-Quran. Akalnya tidak pernah tersentuh dengan nasihat-nasihat Ilahi malah tertutup sehingga apabila Al-Quran dibacakan kepada mereka, mereka tidak bersujud dan hatinya tidak pernah tunduk. Inilah gambaran orang-orang yang hatinya mati.


Masalah hati
  • Tiada rawatan hati
Hati yang sakit dan tenat turut memerlukan rawatan. Hati yang tidak dirawat akan mengalami kesakitan, ketandusan, bahkan kematian.
"Belumkah datang waktunya bagi orang-orang yang beriman untuk tunduk hati mereka mengingat Allah dan kepada kebenaran yang telah turun, dan janganlah mereka seperti orang-orang yang sebelumnya telah diturunkan Al Kitab kepadanya, kemudian berlalulah masa yang panjang atas mereka lalu hati mereka menjadi keras. Dan kebanyakan di antara mereka adalah orang-orang yang fasik."
(57: 16-17)

Kita disuruh agar meluangkan waktu untuk mengingati Allah dan merenungi ayat-ayat Allah sebagai sesi rawatan hati, supaya tidak mengalami kegersangan, bahkan kematian. Allah mengingatkan kita agar jangan seperti ahli kitab yang tidak pernah mahu merawat hatinya sehingga hati mereka menjadi keras dan akhirnya mati.
  • Atmosfera yang tidak kondusif
Manusia adalah makhluk sosial yang mampu terpengaruh oleh persekitarannya. Apabila persekitarannya kondusif, kemungkinan besar hati kita pun sihat dan sebaliknya. Di sinilah betapa pentingnya kita memperhatikan atmosfera kehidupan kita.
"Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang-orang yang menyeru Tuhannya di pagi dan senja hari dengan mengharap keridoan-Nya; dan janganlah kedua matamu berpaling dari mereka mengharapkan perhiasan dunia ini; dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya telah Kami lalaikan dari mengingat Kami, serta menuruti hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melewati batas."
(18: 28)

Pada ayat ini Allah memerintahkan agar kita bersabar berada dalam lingkungan yang saleh, bersabarlah bersama-sama orang yang menyebut nama Tuhannya ketika pagi dan petang untuk mengharap keredhaan-Nya. Kita diingatkan untuk tidak berada dalam lingkungan yang suka menurut hawa nafsu dan mengikuti orang yang hatinya telah dilalaikan. Jelas bahawa hati akan menjadi mati kalau atmosferanya tidak kondusif.

No comments:

Post a Comment