
Di dalam Al-Quran banyak disebutkan tentang  kejadian unta selain penciptaan langit dan bumi dan juga penciptaan-penciptaan  yang lain. 
Tetapi di dalam hal unta ini Al-Quran menyebutnya dengan pelbagai  versi seperti العشار di dalam Surah At-Takwir ayat 4:
Dan apabila unta-unta yang bunting terbiar.
Dan juga الإبل di dalam Surah Al-Ghaashiyah ayat 17:
(Mengapa mereka yang kafir masih mengingkari akhirat) tidakkah  mereka memperhatikan keadaan unta bagaimana ia diciptakan?
Mengapakah Al-Quran menyebutnya di dalam pelbagai versi?
Menurut jawapan daripada Nouman Ali Khan hafizahullah, perkataan العشار merujuk kepada unta betina yang bunting 10 bulan. Mengapa العشار?
Ini kerana:
1) Petunjuk status kekayaan kaum Arab jahiliyyah. Tiada bagi mereka yang lebih dihargai dari العشار. Oleh kerana dahsyatnya hari kiamat, sesuatu yang dihargai seperti itu pun (dalam konteks kita mungkin benda-benda lain) akan dibiarkan kerana kedahsyatan hari kiamat membuatkan manusia lupa kepada itu semua kecuali teringat kembali semua amalan yang telah dilakukan!
2) Perhatikan ayat ayat 8-9 surah yang sama. Selain dari menceritakan kedahsyatan hari kiamat, surah ini mengkritik sikap jahiliyyah yang bencikan anak perempuan (sehingga ada yang dibunuh ketika lahir) dengan mengatakan bahawa anak-anak perempuan yang dibunuh akan ditanya atas dosa apakah mereka dibunuh? dan dalam masa yang sama mengingatkan Jahiliyyah bahawa dosa ini tidak akan terlepas dari pengadilan Allah. Kritikan Al-Quran juga menunjukkan ironinya sikap jahiliyyah - unta diagungkan, anak sendiri dibunuh.
Di dalam perihal lain, apakah hikmah dan  pengajaran yang kita dapati daripada binatang yang bernama unta ini? Dan mengapa  Al-Quran banyak kali mengulangi nama dan sifat unta? Bahkan kenapa Al-Quran  menyeru supaya kita berfikir tentang kejadian unta?
 Sudah pasti banyak perkara yang kita dapat  pelajari dari kejadian unta, oleh sebab itu Allah seru kita supaya kaji tentang  unta.
 Ulama telah buat kajian tentang unta, didapati  unta ada sifat-sifat terpuji yang harus diikuti oleh manusia, antaranya (secara  ringkas) ialah:
 1. Unta mempunyai sifat sabar yang tinggi, oleh sebab itu dia mampu merempuhi padang pasir yang panas dan salji yang sejuk tanpa sebarang bantahan. Justeru, manusia kena belajar sikap tersebut khasnya dalam memperjuangkan Islam.
2. Unta mentaati tuannya, oleh sebab itu dia senang dipelihara. Justeru, manusia kena taat Tuhan dan mudah amalkan agama.
3. Unta mengenali tuannya dan ingat tempat kembali, sebab tu dalam hukum fiqh jika ada jumpa binatang yang sesat maka boleh ambil untuk diiklankan kecuali unta sebab unta akan tahu sendiri jalan pulang. Justeru, manusia kena kenal dan tahu tempat kembali iaitu akhirat maka sentiasa beramal untuk akhirat.
4. Unta tidak akan melakukan hubungan seks di hadapan manusia kerana sikap malu yang tinggi, bahkan jika dia tahu ada manusia yang intai waktu dia mengawan maka dia akan marah dan mungkin akan bunuh orang tersebut. Justeru, manusia pun kena ada sikap malu yang tinggi, bukan senang-senang buat maksiat depan khalayak orang, bahkan ada manusia yang lebih teruk dari binatang dalam bab ni hingga tak malu bercumbu-cumbu di hadapan orang.
5. Unta tidak akan berkongsi bini macam binatang lain. Justeru, manusia juga harus jaga maruah dalam berkeluarga.
6. Unta mampu menyesuaikan diri dengan suasana sekeliling, jika musim sejuk maka kulitnya akan menjadi baju sejuk baginya kerana ada aliran pemanas badan. Jika musim panas pula dia akan berasa selesa juga kerana kulitnya mampu menyesuaikan diri. Justeru, manusia harus pandai dalam bergaul dengan masyarakat, bukan sombong dan tidak sabar dengan suasana keliling.
7. Bahagian-bahagian dari diri unta banyak manfaatnya, hati unta, daging unta, susu unta bahkan air kencing unta pun boleh dijadikan ubat. Justeru, manusia kena jadikan diri mereka sentiasa memberi manfaat untuk umat bukannya mudarat dan racun bagi umat.
Dan sebenarnya banyak lagi yang boleh  disyarahkan dan ditafsirkan dari sikap-sikap unta untuk renungan manusia. Apa  yang dah diberi tu pun cukup sebagai pengajaran buat manusia yang sering bongkak  dan sombong terhadap apa yang dikurniakan oleh Allah swt. Kita sebagai manusia  harus mensyukuri nikmat Allah bukannya merasakan diri kita lebih bagus. Dan  semoga kita mengambil manfaat daripada sifat-sifat kejadian unta.
No comments:
Post a Comment