Permulaan surah ini merupakan ayat-ayal al-Quran yang pertama yang diturunkan, mengikut kata sepakat para Ulama. Riwayat-riwayat yang menyebut ayat yang lain yang mula diturunkan itu adalah tidak dapat dipegang. Ujar al-Imam Ahmad: Kami telah diceritakan oleh ‘Abdur-Razzaq, kami telah diceritakan oleh Ma’mar- ibn az-Zuhri dan ‘Urwah dari Aisyah r.anha katanya:
Wahyu pertama yang mula diterima Rasulullah s.a.w. ialah yang benar dalam masa tidur. Beliau tidak melihat satu mimpi melainkan yang dengan jelas seperti serlahan cahaya pagi. Kemudian beliau diberi kegemaran bersemadi di tempat yang sunyi. Beliau bersemadi di Gua Hira. Di sanalah beliau beribadat beberapa malam lamanya sebelum beliau pulang kepada keluarganya dan berbekal untuk itu, kemudian beliau pulang lagi kepada Khadijah dan berbekal pula seperti itu sehingga datanglah kebenaran semasa beliau berada dalam Gua Hira. Ia didatangi malaikat Jibril yang berkata kepada beliau: “Bacalah!” Jawab beliau: “Aku tidak pandai membaca.” Dan beliau bercerita: Lalu malaikat itu datang memelukku hingga membuat aku penat, kemudian ia melepaskan aku sambil berkata: “Bacalah!” Aku menjawab “Aku tidak pandai membaca.” Lalu ia memelukku kali yang kedua sehingga membuat aku penat kemudian ia melepaskan aku sambil berkata: “Bacalah” Aku menjawab: “Aku tidak pandai membaca”. Lalu ia memelukku kali yang ketiga kemudian ia berkata:
Selepas itu Rasulullah s.a.w. kembali dengan ayat-ayat ini dalam keadaan menggigil hingga beliau masuk ke dalam rumah menemui Khadijah dan berkata “Selimutkan aku! Selimutkan aku!” Lalu mereka menyelimutkan beliau sehingga hilang ketakutannya. Lalu beliau berkata: “Wahai Khadijah!
Mengapa aku jadi begini?” Kemudian beliau menceritakan kepada Khadijah apa yang telah berlaku dan berkata: “Aku bimbang terhadap diriku.” Lalu dijawab Khadijah: “Tidak. Senangkan hati anda. Demi Allah, Allah tidak sekali-kali akan menghinakan anda, kerana sesungguhnya anda seorang yang sentiasa membuat hubungan yang baik dengan kaum kerabat, sentiasa bercakap benar, menanggung bebanan menolong orang-orang yang lemah, sentiasa memuliakan tamu dan sentiasa menolong orang-orang yang dilandakan bala bencana.” Kemudian Khadijah membawa beliau bertemu dengan Waraqah ibn Naufal ibn Mad ibn Abdul ‘Uzza ibn Qusayy iaitu sepupu Khadijah sebelah bapanya Dia adalah seorang yang telah memeluk agama Nasrani pada masa jahiliyah lagi. Dia boleh menulis kitab dalam bahasa Arab dan telah menulis kitab suci Injil dalam bahasa ‘Ibrani sebanyak yang dikehendaki Allah. Dia seorang tua yang telah buta matanya, lalu Khadijah berkata: “Wahai sepupuku! Dengarlah cerita dari anak saudaramu ini. Kata Waraqah: “Wahai anak saudaraku! Apakah yang engkau lihat?”
Lalu Rasulullah s.a.w. menceritakan segala apa yang dilihatnya. Kemudian Waraqah berkata “Itulah malaikat yang diturunkan kepada Musa a.s. Aku berangan-angan kembali muda belia, aku berangan-angan semoga aku masih
hidup sewaktu engkau diusir keluar oleh kaum engkau.” Lalu Rasulullah
s.a.w. bertanya: “Apakah mereka akan mengusirku keluar?” Jawab Waraqah: “Ya. Tiada siapa pun yang datang membawa apa yang dibawa engkau melainkan ia akan dimusuhi. Jika aku sempat dengan masamu, aku akan memberi sepenuh pertolongan kepadamu.” Tetapi tidak lama kemudian Waraqah meninggal dunia.... hingga akhir. (Hadith ini dikeluarkan di dalam Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim dari hadith az Zuhri).
No comments:
Post a Comment