Saturday, 8 June 2013

Dunia Dicipta Dalam Masa Enam Hari






Kebenaran tentang kejadian langit dan bumi dalam enam hari (masa) telah dinyatakan dalam al-quran :

1. Surah Hud ayat 7:

"Dan Dia-lah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam hari (masa)"


2. Surah Al-A’raaf ayat 54:

"Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang Telah menciptakan langit dan bumi dalam enam hari (masa)"

3. Surah Yunus ayat 3

"Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam hari (masa)"

4. Surah Al-Furqan ayat 59:

"Yang menciptakan langit dan bumi dan apa yang ada antara keduanya dalam enam hari (masa)"

Enam hari (masa) yang disebut didalam ayat-ayat diatas haruslah difahami dengan baik berdasarkan kajian ilmiah.

Syed Qutb dalam kitab Tafsir Fi Zilal Al-Quran menyatakan: “tidak syak lagi, yang dimaksudkan dengan enam hari dalam ayat ini adalah hari yang ditetapkan oleh Allah, Dia saja yang mengetahui kadar masanya. Ia bukan hari-hari yang dihitung oleh manusia”

Dr Hamka dalam Tafsir Al-Azhar pula menyatakan: "Hari (dalam ayat ini) adalah hari Allah. Tuhan sekelian alam. Ia adalah hari meliputi seluruh alam dan bukannya hari yang dikira menurut peredaran bumi mengelilingi matahari yang hanya memakan masa 24 jam. Berjuta-juta bintang dilangit mempunyai hari-harinya tersendiri, lebih panjang dari hari dibumi dan ada juga ada yang lebih pendek . maka hari sebelum bumi tercipta sudah pasti berbeza dengan hari sekarang ini"

Hendaklah difahami bahawa enam hari tersebut bukan seperti perkiraan manusia tetapi mengikut penetapan Allah SWT. Kadangkala Allah menyamai satu hari itu seperti 50 ribu tahun sepertimana termaktub dalam surah Al-Ma’arij ayat 4:

"Malaikat-malaikat dan Jibril naik (menghadap) kepada Tuhan dalam sehari yang kadarnya lima puluh ribu tahun"


Kesimpulan ilmu :

1. Imam Ibnu Kahtir menyebut didalam tafsir Al-Azim bahawa "Allah mencipta bumi dan apa yang terdapat diatasnya dalam masa empat hari dan Allah mencipta langit dalam masa dua hari".

2. Said Hawa menukilkan kata-kata Imam Nafasi dalam kitab Al-Asas Fi Al-tafsir yang berbunyi "Berhubung dengan penciptaan bumi, (Allah menetapkan) dua hari bagi penciptaan bumi dan dua hari lagi bagi penciptaan gunung-ganang dan penetapan keperluan hidup. Kesemuanya memakan masa empat hari"

3. Said Hawa sendiri dalam Al-Asasi Fi Al-tafsir berpendapat "Berpandukan dalil-dalil daripada Al-Quran, kenyataan langit dan bumi dicipta dalam enam peringkat dapat dianggap sebagai satu pandangan yang putus tanpa perbezaan pendapat (qat’ie) dikalangan ulama Islam"


sumber dari: pilihanustaz.blogspot.com

No comments:

Post a Comment