بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang
1. Orang-orang yang kafir dari golongan Ahli Kitab dan orang-orang Musyrik tidak akan meninggalkan (agama mereka) sampai datang kepada mereka bukti yang nyata,
2. (Iaitu) seorang Rasul dari Allah (Muhammad) yang membacakan lembaran-lembaran yang suci (Al Qur’an),
3. Di dalamnya terdapat (isi) kitab-kitab yang lurus (benar). (1)
4. Dan tidaklah terpecah-belah orang-orang Al Kitab melainkan setelah datang kepada mereka bukti yang nyata.
5. Padahal mereka hanya diperintah menyembah Allah, dengan ikhlas menaatiNya semata-mata kerana (menjalankan) agama, (2) dan juga agar melaksanakan solat dan menunaikan zakat; dan yang demikian itulah agama yang lurus (benar).
6. Sungguh, orang-orang yang kafir dari golongan Ahli Kitab dan orang-orang Musyrik (akan masuk) ke neraka Jahannam; mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Mereka itu adalah sejahat-jahat makhluk.
7. Sungguh, orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan, mereka itu adalah sebaik-baik makhluk.
8. Balasan mereka di sisi Tuhan mereka ialah syurga ’Adn yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Allah redha terhadap mereka dan merekapun redha kepada-Nya. Yang demikian itu adalah (balasan) bagi orang yang takut kepada Tuhannya.
Catatan
Surah Al-Baiyinah (سورة البينة) adalah surah ke-98 dalam Al Quran. Surah Al Bayyinah terdiri atas 8 ayat, termasuk golongan Surah Madaniyah, diturunkan sesudah Surah At-Talaq. Dinamai Al Baiyinah (bukti yang nyata) diambil dari perkataan Al Baiyinah yang terdapat pada ayat pertama Surah ini.
Isi Kandungan
Pernyataan dari ahli Kitab dan orang-orang musyrik bahawa mereka akan tetap dalam agamanya masing-masing sampai datang nabi yang telah dijanjikan oleh Tuhan. Namun itu dan setelah Nabi Muhammad SAW datang, mereka terpecah belah, ada yang beriman dan ada yang tidak, padahal Nabi yang datang itu sifat-sifatnya sesuai dengan sifat-sifat yang mereka kenal pada kitab-kitab mereka dan membawa ajaran yang benar iaitu ikhlas dalam beribadah, mendirikan sembahyang, dan menunaikan zakat.
Dalam Surah ini Allah menerangkan bahawa ajaran Muhammad SAW adalah ajaran yang benar dan agama yang dibawanya adalah agama yang lurus yang mencakup pokok-pokok ajaran yang dibawa nabi-nabi yang dahulu.
Hubungan Surah Al Bayyinah Dengan Surah Al-Zalzalah
Pada Surah Al Bayyinah diterangkan orang yang akan mendapat balasan yang baik dan orang yang akan mendapat siksa, sedang Surah Az Zalzalah menerangkan masa datangnya balasan itu.
sumber dari: alqurans.blogspot.com
No comments:
Post a Comment