Alhamdulillah, Allah kurniakan peluang untuk menghayati surah an-Nas. Surah an-Nas diturunkan bersama dengan surah al-Falaq. Dua surah yang saling melengkapi dari segi menerangkan kejahatan-kejahatan yang mengganggu manusia. Yang memerlukan manusia memohon perlindungan Ilahi Rabbi. Yang membezakan, surah al-falaq memfokuskan kepada kejahatan fizikal manakala surah an-nas menjurus kepada gangguan dalam bentuk rohaniah atau spiritual. Indah dan lengkapnya Islam. Allah jelaskan bentuk kejahatan dan Allah anjurkan supaya mohon perlindungan kepada Allah daripada gangguan-gangguan kejahatan yang sudah tentu membinasakan.
Terjemahan ayat:
Katakanlah: “aku berlindung kepada Allah yang memelihara dan menguasai manusia. Raja Manusia. Sembahan manusia. Dari kejahatan bisikan syaitan yang sentiasa bersembunyi, yang membisikkan (kejahatan) ke dalam dada manusia, dari golongan jin dan manusia.”
Menurut Tafsir Fil Zilalil Quran, tiga sifat Allah yang disebut dalam ayat ini adalah ar-Rab, al-Malik dan al-Illaah. Ar-Rab bererti Allah yang menguasai manusia, juga memelihara manusia. Allah adalah al-Malik, iaitu Allah Maha Memerintah dan Maha Mentadbir. Allah yang mengarahkan segala perjalanan makhluk. Al-Illah merujuk kepada Allah adalah sembahan manusia, yang menguasai segalanya. Sebab Allah yang menguasai dan mentadbir semua makhluk, sudah pasti Allah juga berkuasa menjaga semua manusia daripada segala kejahatan. Teringat saya pada adab berdoa, antaranya, Allah suka kalau hambaNya menggunakan nama-namaNya yang indah untuk berdoa. Dalam surah an-Nas ini terselit nama-nama yang mengagungkan kebesaran Allah dalam memohon perlindunganNya.
Dan, Allah pilih untuk gunakan perkataan “pemelihara manusia” awal-awal lagi semata-mata supaya hambaNya merasa dekat denganNya, bila-bila masa dan setiap ketika, Allah ada dan sentiasa sedia melindungi hambaNya. Secara psikologinya, bila manusia sedar Allah sentiasa menjaga dan melindungi kita, kita tak teragak-agak untuk mintak tolong dengan Allah supaya lindung kita daripada gangguan kejahatan. Betapa berhemahnya bicara Allah, dalam keagunganNya dan kekuasaanNya, Allah berbicara dalam cara supaya hambaNya merasa mudah untuk mendekatiNya.
Kemudian Allah yakinkan hambaNya, Dia yang mentadbir semua manusia. Dia yang menguasai semua manusia. Jadi mintaklah perlindungan dan naunganNya sebab Allah yang menguasai segalanya, jadi dah tentu Allah berupaya memberi perlindungan kepada makhlukNya daripada sebarang kejahatan, baik yang terang nyata mahupun yang halus dan tersembunyi.
Secara spesifik, kejahatan yang dijelaskan dalam surah ini adalah gangguan dalam bentuk halus iaitu bisikan jahat. Modus operandi gangguan ini adalah dengan membisikkan kejahatan ke dalam dada manusia. Menyeru supaya berbuat kejahatan, dalam pelbagai bentuk: membangkitkan rasa was-was, menimbulkan syak wasangka, memujuk supaya melengahkan kebenaran dan menyuruh melakukan keburukan. Agen pelaksana atau pembisik ni: syaitan dah tentu. Tapi Allah kata, bukan setakat syaitan saja, manusia pun sama. Oo…..banyaknya musuh tersembunyi. Syaitan dah pasti. Manusia pun join sekali. Agaknya sebab tu kena berhati-hati memilih kawan, juga pemimpin. Takut yang didampingi apalagi yang dihormati dan dituruti membisik ke arah keburukan.
Tapi Allah Maha Adil dan Maha Bijaksana. Allah Maha Mengetahui dalam perancanganNya, Dia bagi “green light” kepada syaitan untuk menggangu makhluk bergelar manusia. Tapi, Allah bagi syarat. Syaitan tak boleh ganggu hamba-hamba kesayangan Allah dan mereka yang Allah pelihara. Sebab tu, Allah pesan dalam surah ni mohon perlindungan Allah, peliharaan Allah khususnya daripada kejahatan syaitan yang tersembunyi ni. Yang tersembunyi ni lebih bahaya sebab tak nampak, bila tak nampak oleh mata kasar, kadang-kadang tak sedar sebab kalau bisikan kejahatan dah menguasai diri, mata hati mungkin tak berfungsi. Takutnya…..semoga Allah lindungi diri dan anak-anak daripada segala kejahatan dalam bentuk bisikan hati.
Allah bekalkan hambaNya dengan senjata dan doa. Ini pentingnya bertasbih mengingati Allah, sebab syaitan takut dengan hati yang sentiasa mengingati Allah. Sebagaimana sabda baginda Rasulullah S.A.W., dari Ibn 'Abbas RA "Syaitan itu duduk mencangkung di atas hati manusia, apabila manusia menyebut Allah ia akan mengundurkan diri dan apabila manusia lalai ia akan membisikkan kejahatan."
Dalam satu hadis lain, Baginda Rasul (selawat dan salam ke atas Baginda) bersabda, "Apabila manusia menyebut nama Allah, ia akan mengundurkan dirinya dan apabila manusia lalai, ia akan membisikkan kejahatan." Jadi, nak elak bisik-bisik syaitan, kena basahkan hati dan lidah dengan zikrullah.
So, the more reason untuk mendidik diri berzikir mengingati Allah sentiasa. The more reason untuk mengamalkan dan menghayati Surah an-Nas untuk memohon perlindungan Allah daripada kejahatan bisikan syaitan dan manusia, untuk diri juga anak-anak. Semoga Allah kurniakan diri ini kekuatan untuk amalkan pengetahuan yang dikurniakan......
sumber dari: roza-todaysspecial.blogspot.com
No comments:
Post a Comment