Sunday, 23 December 2012

sesuatu amalan yang dilakukan dengan riak





"Riak ikan di air, sudah tahu jantan betinanya", betul ker!!!

Riak ni tak aper, kita takut riak yang membawa maksud "memperlihat atau menyempurnakan ibadat dengan tujuan mendapat pujian serta perhatian orang lain"

Allah ada berfirman mengenai riak ni dalam surat Al-Ma'un ayat 4-7 yang bermaksud:

"Maka celakalah bagi orang-orang bersembahyang yang sentiasa lalai daripada sembahyangnya. Mereka yang mengerjakan kebaikan, minta dilihat orang"

Rasulullah SAW sendiri takut perasaan riak menimpa umatnya kerana ia boleh berlaku dalam pelbagai keadaan, hatta ketika menunaikan solat yang sepatutnya dilakukan dengan ikhlas. Baginda bersabda maksudnya:

"Allah AzzawaJalla tidak akan menerima sesuatu amalan yang dilakukan dengan riak meskipun riak sekadar debu saja".

Rasulullah SAW menganggap riak sebagai amalan syirik kecil kerana bagi seseorang yang sudah dihinggapi sifat ini ibadahnya tidak lagi ikhlas untuk mendapat keredaan Allah, sebaliknya menempatkan insan lain sebagai tandingan bagi Allah kerana amalnya bertujuan menarik perhatian insan itu. Seperti sabda Rasulullah maksudnya:

"Sesungguhnya serendah-rendah riak itu ialah syirik"

Dosa syirik yang tidak diketahui merujuk riak kerana ia dianggap syirik tersembunyi. Pelakunya menampakkan ibadah itu dikerjakan kerana Allah, sedangkan niat tersembunyinya untuk mendapat perhatian dan pujian manusia.

Riak boleh berlaku melalui gerak geri tubuh badan kita. Contohnya seseorang yang ingin orang lain tahu yang dirinya seorang yang kuat beribadah seperti bangun sholat di waktu malam, sentiasa berpuasa serta sangat takut dengan balasan Allah S.W.T., lalu dia menampakkan dirinya letih lesu dan kusut masai. Keadaan macam ini membibitkan perasaan riak dalam hati dan Rasulullah pun ada bersabda maksudnya:

"Jika seseorang kamu berpuasa, maka hendaklah meminyakkan kepalanya, menguruskan rambutnya dan memakai celak di manatnya.".

Ini untuk menghindarkan kita dari godaan syaitan untuk menimbulkan perasaan riak dengan menunjuk-nunjuk ibadat yang kita lakukan.

Melalui pakaian juga boleh menyuburkan sifat riak dalam hati kita. Contohnya seseorang yang berpakaian seperti ulamak dan juga berpakaian mengikut sunnah nabi dengan berjubah dan berserban dibimbangi berdetak pulak di hati supaya orang kata dirinya seorang yang alim dan kuat beribadah. Begitu juga dengan memakai pakaian yang mahal-mahal takut timbul riak di hati supaya orang lain tahu yang dia orang kaya dan bangsawan.

Dalam percakapan dan perbuatan juga boleh berlaku riak. Contohnya bila sholat didepan orang, dia sujud lama-lama, bila berzikir pula dia sengaja kuatkan suara. Begitu juga bila bercakap tentang hal-hal semasa, dia sentiasa merujuk kepada cerita-cerita mengenai orang-orang soleh dan menerangkan hadis-hadis. Niatnya tiada lain supaya orang tahu yang dia seorang yang kuat beribadah dan tinggi ilmu agamanya.

Walaupun semua yang dilakukan itu adalah amal sholeh tetapi terselit di hati ingin mendapat kepujian dunia dari manusia. Sebaliknya ketika beribadah secara bersendirian kualiti amalannya tidak sehebat ketika orang lain memandangnya. Sedangkan amal seseorang yang diterima Allah harus dengan niat ikhlas semata-mata demi Allah dan dilakukan sesuai dengan tuntutan syariat (mengikuti sunnah Nabi).

Riak adalah salah satu penyakit hati. Penawar bagi semua ini ialah dengan mengetahui bahawa segala amalan yang diiringi riak tidak diterima Allah S.W.T. di akhirat kelak. Jika perasaan riak timbul juga ketika beribadah, perlu kita segera menepisnya dan jangan dibiarkan terus bermain di jiwa kerana itu bisikan syaitan yang ingin menyesatkan manusia.

Menyedari besarnya musibah dibawa sifat riak, Rasulullah SAW mengajar umatnya memohon perlindungan dari Allah dengan membaca doa:

"Ya, Allah! Sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada perbuatan syirik yang kami ketahui. Kami memohon ampunan kepada-Mu daripada dosa (syirik) yang kami tidak mengetahuinya." (Hadis riwayat Ahmad)


sumber dari: kerdipanrohani.wordpress.com

No comments:

Post a Comment