“Maha Suci Allah yang menjadikan di langit gugusan-gugusan bintang dan
Dia menjadikan juga padanya matahari dan bulan yang bercahaya”
(Surah Al-Furqan : 61)
Bayangkan, kita adalah bulan purnama yang bertanggungjawab menerangi bumi di waktu malam. Kitalah watak utama pada cerita kita. Kitalah yang menjadi masterpiece, dan kita juga yang bertanggungjawab ke atas diri kita dan persekitaran kita. Tetapi, bukanlah bulan sahaja yang menyuluhpantul cahaya sang mentari tika di malam hari, tetapi juga ditemani kehadiran bintang yang turut menjadi satu fenomena menakjubkan sebagai pelengkap galaksi bima sakti menjadi sebahagian cerita kita untuk diperlihatkan.
“Tuhan menjadikan 2 cahaya untuk menguasai hari: Cahaya yang lebih terang menguasai siang, cahaya yang malap menguasai malam. Dia juga menjadikan bintang” (Genesis 1:16)
Kehadiran teman-teman yang ada di sekeliling ini bukanlah perlu disoalkan kewujudannya. Tetapi difikirkan mengapa Allah hadirkan mereka bersama kita. Di atas tadi, itulah analoginya antara manusia dan alam ciptaan-Nya.
Mungkin hari ini kita ditempatkan di satu tempat yang begitu berbeza dengan pengalaman dan persekitaran kita sekian lama. Kita berjumpa dengan pelbagai watak, pemikiran, sikap, rupa dan bangsa yang berlainan setiap hari. Sahabat, pak cik, mak cik, usrah, rakan sekelas dan sebagainya kita dipertemukan. Mengapakah mereka hadir di mata kita pada hari ini?
Jawapannya mudah. Tentulah kuasa Allah, atas aturannya Dia menjadikan hikmah untuk kita berfikir kenapa hari ini ditentukan untuk kita bertemu perwatakan variasi yang turut dicoret dalam diari hidup kita. Inilah masanya juga variasi personaliti kita dapat diwarnai dengan kehadiran mereka, sebagai insan yang mungkin kita kongsi ke arah destinasi yang sama.
Mungkin pernah berlaku antara kita terjumpa di sebuah ‘planet’ , bergerak bersama-sama, berkenal dan berbaik-baik kerana sesuatu perkara buat sementara. Sampai satu saat, rupa-rupanya orang itulah sebenarnya yang kita patut rapat, berbaik dan berkongsi suka duka kerana dialah yang begitu sesuai dengan kehidupan kita. Dengan mengetahui lebih mendalam tentang sahabat kita itu, barulah kita sedar, tahap manakah langkah kita berbanding dengan dia. Kita dapat muhasabah diri, begitu juga dengannya. Kita berubah sedikit demi sedikit memutar punat yang sama kecenderungan agar kita lebih mencengkam kuat antara satu sama lain.
Hal ini tidaklah bermakna bahawa kita hanya perlu mencari seseorang atau perkumpulan yang sesuai dengan diri kita. Suatu hari secara pastinya kita akan bertemu dengan orang yang belum pernah kita terfikir wataknya. Inilah yang berlaku jika kita terlalu mengecilkan skop pandangan minda kita bahawa we are what we want (kita sebenarnya adalah untuk apa yang kita ingini). Itu adalah satu kesilapan yang besar jika itu sahaja kita implementasikannya dalam kehidupan. Sedangkan hidup kita bererti pada sebuah sinergi. Kita pastinya akan bertemu dengan pelbagai lagi jenis manusia yang secara tidak sedar membantu kita dalam melincinkan perjalanan kita menuju destinasi yang kita ingini.
Inilah yang saya terfikir setelah 3 bulan lebih saya berada di matriks UIA. Sahabat sahabat yang ada bersama sekeliling saya temui mempunyai latar belakang yang jauh berbeza menyebabkan perjumpaan yang telah dicaturkan Allah lebih indah. Sebagai contoh, di bilik saya sendiri. 7 daripada 8 orang ahli dalam bilik ini adalah pelajar jurusan seni bina manakala seorang lagi dari jurusan kejuruteraan. Meskipun 2 daripada kami begitu songsang, dengan majoriti sahabat-sahabat yang baik inilah merupakan satu anugerah yang tidak ternilai.
Nak digambarkan, saya merasakan sesuatu yang sangat luar biasa setelah bersama dengan mereka. Di antara kami seolah-olah mutually affectionate sebagai satu keluarga yang saling lengkap melengkapi. Walaupun hanya saya dan Adib Farhan sahaja berlatarbelakang sekolah agama, 4 yang lain turut memaparkan personaliti islamik, tidak melepaskan tanggungjawab sebagai seorang muslim. Hal ini menjadikan perjalanan hidup lebih menarik dengan kehadiran mereka.
Begitu juga yang lain di sini, ramai rakan-rakan saya yang lain bukan dari sekolah agama yang memberikan gambaran baik. Saya bertemu seorang rakan yang mengamalkan qiyam sedangkan dia akui tidak berpengetahuan mendalam dalam agama. Hal ini menjadikan diri sendiri bermuhasabah, kenapa kadang-kadang orang yang berpendidikan agama tidak melaksanakan sepenuhnya apa yang difahami. Diri ini seolah-olah mahu terkedepan dalam segenap bidang, tetapi perkara yang mudah masih gagal dilaksanakan.
Bertemu pula dengan orang yang lebih senior, saya menjadi gemar bertanya. Maklumlah, pengalaman yang ada pada mereka perlu dikutip kerana ianya satu langkah untuk saya tahu lorong mana yang saya jalan. Saya sering berhubung dengan abang-abang yang menjadi pembimbing saya untuk meneruskan kehidupan.
Kadangkala terasa kehadiran mereka menjadikan saya lebih memahami erti perjuangan dalam kehidupan ini. Ketika sedih dan tertekan, ada sahaja jalan keluar yang disertakan dengan pengalaman yang membantu.
Rakan-rakan study circle1 di UIA ini pula bagi saya seolah-olah satu pilihan Allah untuk saya bertemu dengan mereka. Sebagai fasilitator2 yang dipilih oleh UIA, saya terfikir bahawa untuk menguasai keadaan bersama-sama rakan-rakan sebaya dalam bentuk usrah bukan senang. Lebih-lebih lagi dalam kumpulan, 7 daripada 8 orang adalah daripada jurusan kejuruteraan. Saya bukanlah banyak mana ilmu untuk dikongsi tetapi, alhamdulillah serba sedikit dapatlah saya bentangkan sebagaimana yang dikehendaki oleh UIA untuk dikira sebagai pemarkahan dalam subjek FIM3. Satu teknik yang saya selalu amalkan adalah dengan membentangkan isu-isu agama lain sebagai perbezaan dengan Islam, agar adalah sedikit kelainan. Bersyukur, semua ahli memberikan komitmen yang cukup bagus. Kerana ini, barulah saya sedar saya tidak mengubah orang lain tetapi, saya mengubah diri sendiri. Dengan membicarakan tentang agama selain Islam, saya sendiri menjadi prihatin dalam mengkaji dan bertambah ilmu sedikit sebanyak, insyaallah.
Yang menjadi persoalan, bagaimana pula andai Allah menetapkan kita bersekongkong dengan insan yang tidak selari dengan kehendak fitrah, sepertimana yang saya nyatakan pada awal tadi? 2 orang yang agak ‘pelik’ ini seringkali merokok dalam bilik menyebabkan kami pula yang terpaksa melarikan diri. Ada antara sahabat saya mencadangkan agar 6 orang ini pindah bilik, walaupun agak tidak munasabah. Mujur, 2 orang ini walaupun perangai mereka tidak sebetulnya mereka agak mesra dan mudah dibawa berbincang. Bagi saya, selagi mereka tidak isytiharkan mereka keluar islam, mereka tetap saudara seaqidah yang perlu disayangi, bukan dibenci. Kadang-kadang saya suka juga bergurau dengan mereka begitu juga ada waktu saya face-to-face selami isi hati mereka. Dalam keluarga mereka sendiri, mereka akui bahawa perlaksanaan wajib itu begitu ditekankan, cuma diri sahaja yang tidak kuasa. Biarpun sedikit demi sedikit, saya dan rakan-rakan cuba membimbing mereka. Andai gagal, doalah senjata paling ampuh.
sumber dari: senikehidupan.wordpress.com
No comments:
Post a Comment