“Mudah untuk kata sabar, tapi berat lagi orang yang memikulnya”, begitulah kata seorang sahabat tatkala saya memujuknya agar redha dengan ujian yang menimpanya. Ramai yang masih beranggapan perkataan ‘sabar’ sekadar menahan diri dari kesakitan yang dirasai baik secara fizikal mahupun batin.
Bagi orang yang mendalami ilmu tasawuf, barangkali perkataan ‘sabar’ adalah umpama ‘syukur’ kerana setiap kali ujian menimpa, pasti ada kebaikan menanti selepasnya sama ada ganjaran berupa pahala atau ditinggikan darjat oleh Allah swt. Oleh itu, setiap kali ujian melanda, mereka tidak berkata “sabar” sebaliknya kata “syukur.”
Apabila sabar dianggap menahan sakit, maka bertungkus-lumuslah seseorang itu menepis ‘aura’ negatif dalam dirinya. Berbeza dengan beranggapan sabar sebagai satu nikmat. Ujian yang melanda dirasa suatu yang ditunggu-tunggu. Saidina Ali pernah mengeluh, “mengapa aku tidak diuji? Adakah Allah telah melupakan aku?” Ini adalah kata-kata orang yang faham hikmah Allah berikan ujian atau musibah kepada para hamba-Nya.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud,
”Sesungguhnya sesudah kesukaran itu ada kemudahan”
(Surah Al-Syarh:6).
Dalam ayat ini kita diingatkan bahawa ujian itu hanya sementara dan tentunya setiap ujian yang diturunkan Allah disertakan dengan hikmah disebaliknya. Terpulang kepada kita sama ada mahu melihat sesuatu kejadian dari sisi gelap atau sisi terangnya. Ia bukan soal apa yang kita lihat, tetapi bagaimana kita melihatnya.
sumber dari: personaliti.wordpress.com
No comments:
Post a Comment