Wednesday, 19 December 2012

banyakkan membaca selawat dan salam atas Nabi s.a.w pada hari Jumaat dan malamnya




Dalam adab ke-15, Syeikh Abdus Samad Falimbani menyarankan untuk berselawat atas Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w pada malam atau hari Jumaat:

"Sayugianya engkau banyakkan membaca selawat dan salam atas Nabi s.a.w pada hari Jumaat dan malamnya, iaitu terlebih daripada hari yang lain kerana kelebihan membaca selawat atas Nabi s.a.w pada hari Jumaat itu amat banyak. Dan sesetengah daripada kelebihan membaca selawat itu sabda Nabi s.a.w:
'Barangsiapa membaca selawat atasku di dalam hari Jumaat 80 kali nescaya mengampuni Allah Ta'ala baginya akan dosa 80 tahun.' (Hadith Riwayat Daruqutni)"

Dalam kitab Fadhilat Selawat oleh Muhadith Syeikh Abdullah Siddiq al-Ghumari al-Hasani disebutkan hadith:


2.1 Daripada Aus bin Aus r.a, Rasulullah s.a.w bersabda:

"Hari kamu yang paling afdal ialah hari Jumaat. Pada hari itu, diciptakan (Nabi) Adam dan pada hari itu juga nyawanya dicabut. Pada hari Jumaat juga, berlaku tiupan sangkakala dan Kiamat. Maka perbanyakkanlah ucapan selawat ke atasku pada hari itu kerana selawat kalian akan dihadapkan kepadaku.
Para sahabat bertanya, 'Bagaimanakah selawat kami akan dipersembahkan kepada kamu, sedangkan kamu telah binasa? Mereka memaksudkan sebagai binasa dimamah tanah.'
Maka baginda s.a.w bersabda, 'Sesungguhnya Allah mengharamkan bumi daripada memakan jasad-jasad para nabi.' " (Hadith Riwayat Imam Ahmad, Abu Daud, al-Nasaie dan ibnu Majah)
Hadith yang lebih kurang sama daripada Abi Darda' juga dalam kitab tersebut. Imam Nawawi dalam kitab al-Azkar juga menyebut kelebihan membanyakkan selawat atas baginda Nabi s.a.w pada hari Jumaat. Syeikh Abdus Samad Falimbani juga menyebut agar membanyakkan tasbih dan istighfar bermula pada petang Khamis, kerana waktu tersebut sudah menyamai kelebihan pada Hari Jumaat.


Jika terdapat majlis zikir, selawat ataupun seumpamanya pada malam Jumaat, hadirlah ke majlis tersebut. Insya-Allah mendapat berkat daripada amalan-amalan tersebut. Alhamdulillah, saya diberikan nikmat untuk menghadiri Majlis Ratib al-Attas di Madrasah al-Khairat, Kuching secara rutin pada malam Jumaat.

Dalam majlis tersebut, dibacakan surah Yaasiin, susunan wirid Ratib al-Attas, doa-doa, himpunan selawat para ulama muktabar, Asma'ul Husna serta mengalunkan qosidah dan maulid indah berzikir kepada Allah dan berselawat atas Sayyiduna Nabi Muhammad s.a.w. Majlis tersebut dipimpin oleh mudir madrasah, Habib Mohammad bin Alwi al-Attas. Bacaan tersebut terhimpun dalam kitab Kitab 'Pembuka Jalan Mendekatkan Diri kepada Allah' yang disusun oleh beliau.





sumber dari: mujahidnusantara85.blogspot.com

No comments:

Post a Comment