“Dan dirikanlah solat, sesungguhnya solat itu mencegah perbuatan keji dan mungkar.” [Al-Ankabut :45]
Manusia, dengan solat, lebih dekat dirinya kepada ALLAH. Dengan solat, manusia dapat memelihara diri dari kemungkaran. Dengan solat, orang Islam dan orang Kafir dapat dibezakan. Dengan solat, hati kan menjadi tenang. Dengan solat, ramai orang yang sudah berjaya. Dengan solat, ada hamba ALLAh yang terpilih kembali kepada-Nya dalam sujud.. Dan, dengan solatlah kesempurnaan seorang hamba ALLAH.
Ada sesetengah daripada kita menunaikan solat hanya kerana kebiasaan atau hanya sebagai rutin yang hanya sekadar rutin bagi seorang Muslim. Dan ada sesetengah daripada kita hanya bertaqlid buta sahaja mengikut solat tanpa mengetahui sebab apakah untuk solat? Yang diketahui hanya, kerana kebiasaan orang Islam berbuat demikian ; rukuk, sujud maka hanya mengikut sahajalah.
Dalam melaksanakan tugas sebagai seorang pelajar, seorang anak, seorang pendakwah kepada diri sendiri, seorang kakak atau abang, seorang sahabat dan kawan. Kadangkala terasa sungguh kita keletihan, dan adakalanya terbujur di atas tilam merehatkan badan yang terasa penat. Begitulah setiap hari yang kita lakukan. Dan kadang-kadang kerana kesibukan seperti di atas, ramai hamba ALLAH yang terleka. Terleka untuk ‘berehat’ beberapa minit di hadapan Tuan Punya Dunia.
Apabila Solat Itu Hanya ‘Kebiasaan’
Orang yang solat kerana hanya dilakukan sebagai rutin harian tanpa mengetahui kenapa perlu solat dan apa keperluan serta keajaiban solat hanya memenatkan diri sendiri rukuk dan sujud. Kerana pergerakan solat yang dilakukan tanpa memahami keistimewaan solat, akan terasa lebih berat, terasa lebih malas untuk melakukan solat.Solat menjadi syarat yang dilakukan untuk mencukupkan syarat hidup. Dan jika solat ini hanya menjadi ‘kebiasaan’ sahaja, maka tidak hairanlah jika seseorang yang meninggalkan solat itu tidak berasa apa-apa. Kerana pada penetapan dalam fikirannya, solat ini hanya suatu ada dan rutin yang perlu dilaksanakan. Alangkah kasihannya kita!
Satu kehairanan bagi saya apabila saya tidak merasa apa-apa apabila mendengarkan azan. Saya takut. Saya takut adakah salah satu nikmat mencintai agama sendiri, ALLAh akan tarik? Oleh itu, saya berusaha untuk tidak menjadi golongan yang menganggap solat hanya ‘biasa-biasa’ sahaja.
sumber dari: cintailahi.com
No comments:
Post a Comment