Jawapan dari Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din
Saka adalah suatu istilah yang biasanya digunakan oleh 
tukang ubat atau bomoh tradisional yang merujuk kepada suatu fenomena gangguan 
spiritual yang berlaku ke atas manusia kebanyakannya kaum wanita dan ada juga 
lelaki, yang mengaitkannnya dengan makhluk yang kononnya diamanahkan menjaga 
seseorang. Bagi tujuan menjaga tersebut maka berbagai-bagai gangguan spiritual 
berlaku. Gangguan seperti ini dikenali sebagai gangguan makhluk 
halus.
Saka dikaitkan dengan kononnya ada makhluk yang 
berdampingan dengan keturunan bapa, ibu, datuk atau nenek seseorang yang menjaga 
atau bersahabat dengan makhluk ini dan dipesan kepada makhluk tersebut selepas 
kematiannya untuk menjaga dan mengawal anak cucu mereka.
Hasil daripada itu maka berlaku kawalan, sebenarnya 
gangguan ke atas orang berkenaan sehingga menimbulkan masalah yang diistilahkan 
sebagai saka.
Saya tidak dapat menentukan apa sebenarnya saka. Betul 
atau tidak ia makhluk yang mendampingi manusia dan keturunan mereka diganggu 
sehingga mendatangkan kemudaratan kepada mereka. Jika benar ianya (makhluk 
halus) sebagai sahabat, kawan atau dampingan orang-orang terdahulu, maka 
sepatutnya ia tidak berubah sekadar hanya menjaga dan melindungi anak cucu 
seseorang, tiba-tiba berlaku sebaliknya sehingga menyakiti dan menganggu sampai 
menjadi separuh gila atau separuh sedar.
Saya tidak nampak hal ini sebagai saka yang digunakan 
untuk menjaga dan mengawal seseorang untuk kebaikan. Jika berlaku begini, maka 
tidaklah menimbulkan masalah walaupun hukum asalnya bersahabat, berbuat baik, 
berdampingan dengan makhluk halus dilarang oleh syariat Islam.
Banyak ayat-ayat al-Quran yang menggesa manusia menjauhi 
dan berlindung diri daripada syaitan. Malah manusia wajib menjadikan syaitan 
sebagai musuh dan sebagainya.
Berbalik kepada seseorang yang diganggu oleh makhluk 
halus, maka jelas ia adalah musuh kerana ia menyakiti manusia, menganggu manusia 
dan melakukan perkara yang tidak dingini oleh manusia, ianya memberikan kesan 
negatif.
Kita mesti menjauhi mereka, benda yang dinamakan saka ini 
tidak menjadi sesuatu yang baik kepada manusia. Dirawatlah dengan cara-cara yang 
diharuskan oleh syarak bagi mengelakkan saka ini terus menerus menganggu 
manusia.
Adapun Qareen adalah istilah al-Quranul karim yang jelas 
Allah S.W.T menyebut dalam beberapa ayat seperti dalam Surah Qaf (ayat 23), 
Surah Al-Fussilat (ayat 25) dan lain-lain.
Di antara makna-maknanya, Allah menyebut (mafhumnya), 
“Dan kami tetapkan bagi mereka, teman-teman yang menjadikan mereka memandang 
bagus apa yang ada di hadapan dan di belakang mereka. Dan tetaplah atas mereka 
keputusan azab pada umat yang terdahulu dari jin dan manusia. Sesungguhnya 
mereka adalah orang-orang yang meragui.”
Istilah teman-teman dalam al-Quran adalah pada asal 
perkataan Qurana atau kawan-kawan setia. Maksudnya adalah dari suku sakat 
syaitan atau iblis ini menjadikan manusia sebagai teman mereka.
Firman Allah (mafhumnya), “Dan berkatalah Qareennya, 
inilah catatan amalan yang tersedia pada sisiku.” (Surah Qaf, ayat 
23).
Dan Surah Qaf, ayat 27 bermaksud, “Yang menyertai dia, 
Qarennya berkata pula,”Wahai Tuhan kami, aku tidak menyesatkannya, tapi dialah 
yang berada dalam kesesatan yang jauh.”
Ini merujuk kepada perkataan Qareen. Allah S.W.T 
menyifatkannya sebagai kawan rapat bukan kerana manusia hendak sangat berkawan 
dengan mereka, tetapi pada pandangan sesetengah ulama, sejak manusia dilahirkan 
ada makhluk halus yang mendampinginya, mengajak, memandu serta mempengaruhinya 
melakukan kejahatan. Itulah yang dimaksudkan sebagai Qareen.
Dalam hadis daripada Ibnu Mas’ud r.a, bahawasanya Nabi 
Muhammad s.a.w bersabda (maksudnya), “Setiap orang daripada kamu, ada bersama 
dengannya qareen (syaitan) daripada jin. Sahabat bertanya, apakah Rasulullah 
juga mempunyai qareen, baginda menjawab, ya, saya pun ada qareen itu, cuma Allah 
S.W.T membantu saya, dapat mempengaruhi qareen itu sehingga dia telahpun Islam 
dan dia berdamping dengan saya, dia tidak mendorong saya membuat sesuatu 
melainkan semuanya untuk kebaikan.” (Riwayat Muslim).
Hadis daripada Ai’shah r.ha berkata,”Suatu ketika 
Rasulullah s.a.w berada bersama dengan saya, lalu keluar meninggalkan saya 
kerana ada suatu urusan pada malam hari, tiba-tiba timbul cemburu dalam diri 
saya, apabila Rasulullah s.a.w kembali menemui saya, baginda mengetahui perasaan 
saya itu, maka baginda bertanya, apakah gerangan mu wahai Ai’shah? apakah kamu 
cemburu? Maka saya menjawab, manalah orang seperti saya ini tidak cemburu ke 
atas mu wahai Rasulullah s.a.w. Maka Nabi menyebut kepada saya, apakah kamu 
telah dikuasai oleh syaitanmu wahai Ai’shah. Maka saya menjawab, ya Rasulullah, 
apakah bersama saya ada syaitan? Rasulullah menjawab, ya, malah pada tiap-tiap 
insan ada syaitannya. Saya bertanya kepada Rasulullah, apakah kamu juga ada 
syaitan? Jawab baginda, ya, tetapi Allah S.W.T telah membantuku, aku Islamkan 
dia dan tidak menyuruhku melainkan untuk kebaikan.”
Hadis-hadis sebegini adalah hadis sahih, ia menunjukkan 
memang berlaku bahawa qareen, ia adalah syaitan, mendampingi semua manusia. 
Kalau Rasulullah s.a.w pun didampingi oleh qareen ini, inikan pula insan 
biasa.
Oleh yang demikian, jelas bahawa qareen ini ada pada 
setiap orang dan bergantung kepada seseorang insan itu, jika ia belum boleh 
menguasai dirinya dengan kerja-kerja ketaatan sehingga tidak ada ruang untuk 
melakukan kemaksiatan maka qareen ini seolah-olahnya putus asa untuk mengajaknya 
melakukan kejahatan, melainkan sekali sekala sahaja.
Adapun orang-orang yang mudah mendedahkan dirinya kepada 
melakukan perkara yang tidak baik, khasnya melakukan kemaksiatan, maka qareen 
inilah yang menjadi pendorong utama. Pada pandangan saya qareen adalah makhluk 
halus yang jahat.
Jika hendak dikatakan saka, hanya sekadar mengatakan 
ianya wujud ada, maka tidak salah mengatakan kita semuanya ada saka, tetapi saka 
yang saya maksudkan adalah saya yang sedia ada, bukan kerana dipelihara oleh 
keturunan, bukan disuruh oleh seseorang melakukannya tetapi kerana tabiat 
makhluk ini memang sentiasa berusaha menjerumuskan manusia kepada kejahatan. 
Wallahua’lam.
sumber dari: awwalulmukminin.blogspot.com

No comments:
Post a Comment