Fenomena yang biasa saya lihat sewaktu menuntut di KMB 
tiga tahun lepas, bila tibanya musim exam, surau itu bertambah jemaahnya dua 
atau tiga saf. Hamba-hamba Allah yang dahulunya liat untuk keluar dari 
sarang-sarangnya di blok-blok asrama kini keluar bak kupu-kupu yang berterbangan 
menuju ke arah lampu kalimantan. Masing-masing yang merasakan dirinya perlu 
bergantung kepada Allah datang untuk sujud mengharap pada-Nya di tempat yang 
lebih afdhal untuk sujud iaitu masjid.
Ramai mengatakan fenomena ini tidak sihat. Mereka itu 
hanya keluar bila ada exam, sesudah exam mereka akan masuk balik ke dalam 
sarang-sarang mereka sebagaimana ayat Allah dalam surah Al-Ankabut:
Dalam pada itu, apabila mereka naik bahtera (lalu menemui sesuatu bahaya di laut), mereka memohon pertolongan kepada Allah dengan doa yang tulus ikhlas kepadaNya. Kemudian setelah Allah menyelamatkan mereka (naik) ke darat, mereka berlaku syirik kepadaNya. (65)
Biarlah demikian. Persoalannya, sejauh mana kita tahu 
bahawa mereka yang keluar dari sarangnya hanya  akan berbuat demikian ketika 
exam? Sejauh mana pula kita yang mengecam pasti kita tidak akan berbuat 
demikian? Apa yang pasti, pada musim ini, ramai yang terbuka hatinya untuk 
meletakkan pergantungannya kepada Allah, Rabbul 
A'lamin.
Inilah juga masanya untuk kita membelai-belai diri kita 
dengan peringatan-peringatan kerana peringatan-peringatan itu membasahkan hati. 
Apabila basah hati, maka tenanglah ia. Moga-moga dengan tenangnya hati itu dapat 
kita menelaah dengan tenang dan sekaligus menjawab exam dengan 
tenang.
Apa yang penting moga-moga dengan rapatnya diri kita 
kepada Allah di kala kita memerlukan ini, Allah terus membuka pintu hidayahNya 
agar kita terus istiqamah di dalam ubudiyyah kepada-Nya. Lebih-lebih lagi agar 
kita terus istiqamah di dalam mendalami pemahaman kita terhadap 
agamaNya.
Semoga kalian semua sukses di dalam exam 
ini. 
Wallahuallam
sumber dari: iyabangalore.blogspot.com

No comments:
Post a Comment