Saturday, 7 September 2013

Binalah Hatimu Yang Bahagia






Jari-jemari ini seakan ingin menekan-menekan papan kekunci ini, mahu saja dikeluarkan apa saja yang difikirkan di benak fikiran ini satu-persatu.

Menulis di sini sekadar mahu mengingatkan diri ini, insan yang masih tercari-cari diri, insan sentiasa memohon keberkatan dan keredhaan Maha Suci Allah, Yang Menjadikan Alam ini.

Sambil ditemani buku-buku yang setia menuggu meminta dibaca dan dihadam satu demi satu, jari terus menekan-nekan papan kekunci ini...

Membaca memberikan saya berfikir dan menghayati setiap tulisan dan karya yang dibaca.
Moga ilmu yang diperolehi memberi manfaat, mudah-mudahan...InsyaAllah..

Sambil mencari-cari buku di rak buku kepunyaan abah, saya terjumpa sebuah buku bertajuk ”Akhlak” karya Abdul Rahman Rukaini, Mantan Ketua Bahagian Agama dan Tamadun Islam Dewan Bahasa Dan Pustaka Perunding dan Penulis Kitab-kitab Sekolah Agama Kerajaan Johor. Tulisan beliau sangat mudah difahami ayat-ayatnya. Salah satu tulisan beliau adalah berkaitan Amal Soleh.

Menurut Abdul Rahman Rukaini (2001), pengertian Amal Soleh, ialah merupakan apa saja amal orang Islam yang meliputi gerak hati (termasuk akal) pengucapan lisan dan perlakuan anggota tubuh badan (termasuk pancaindera) mengikut syariat Islam. Amal dilakukan dengan:
  • Niat yang ikhlas kerana Allah S.W.T
  • Mengikut rukun, syariat dan cara yang betul
  • Tidak dicampuri oleh perkara maksiat dan perkara-perkara yang membatalkan atau merosakkannya.

Amal itu mencakupi amal yang menghubungkan antara manusia dengan Allah S.W.T, dengan diri sendiri, dengan orang lain atau dengan alam dan kehidupan seluruhnya. Ringkasnya, ruang lingkup amal soleh amat luas yang membolehkan setiap orang mengambil peluang untuk melakukan bagi mencapai keselamatan, keamanan dan kebahagian di dunia dan di akhirat. (Abdul Rahman Rukaini, 2001)

Tulisan ini, mengingatkan saya, di mana setiap manusia diberi peluang oleh Allah untuk melakukan yang terbaik. Maka terpulang pada insan tersebut untuk merebut peluang yang diberikan oleh Allah Azzawajjalla.

Cukup indah dan cantik setiap anugerah Allah kepada kita. Alam yang dihuni ini penuh dengan sumber-sumber yang diberikan Allah supaya kita melihat dan merenung kebesaran Allah. SUBHANALLAH....

Allah berfirman dalam Surah Al-A’raf, ayat 56 yang bermaksud :

" Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi setelah (diciptakan) dengan baik. Berdoalah kepada-NYA dengan rasa takut dan penuh harap. Sesungguhnya rahmat Allah sangat dekat kepada orang yang berbuat kebaikan "
(56: سورة الأعراف)

Setiap amal yang dilakukan hendaklah berlandaskan ilmu, maka insyaAllah amal dapat dilakukan dengan terbaik. Motivasikan diri dengan mendekati Allah dalam setiap waktu dan ketika, moga kita sentiasa disisi Allah Yang Maha Berkuasa dan Maha Penyayang.

Bibit-bibit maaruf sentiasa bersemi di hati, dengan bertasbih, "Subhanallah”, bertakbir "Allahu akbar” dan bertahmid "Alhamdulillah”.

Rasulullah S.A.W bersabda :
" Sebaik-baik manusia adalah orang yang panjang umurnya dan baik amalannya, dan seburuk-buruk manusia adalah orang yang panjang umur dan buruk amalannya "
(Riwayat Ahmad)


Mungkin ada ketika kita alpa..alpa dengan kemewahan dunia, alpa dengan keseronokkan dunia. Berdoalah semoga hati kita sentiasa mengingati Allah, mengingati Allah, mengingati Allah....

Doa yang Allah ajarkan dalam firmanNYA dalam Surah Ali Imran,ayat 8 :
" Ya Tuhan kami, janganlah Engkau condongkan hati kami kepada kesesatan setelah Engkau berikan petunjuk kepada kami, dan anugerahkanlah kepada kami rahmat dari sisi-MU, sesungguhnya Engkau Maha Pemberi Anugerah "
( سورة ال عمران :8)


Rasulullah S.A.W bersabda:
" Ingatlah, dalam tubuh manusia itu ada segumpal daging. Kalau segumpal daging itu baik, maka akan baiklah seluruh tubuhnya. Tetapi, bila rosak, nescaya akan rosak pula seluruh tubuhnya. Segumpal daging itu bernama qalbu "
(Riwayat Bukhari & Muslim)

Sesungguhnya Allah Maha Penyayang dan Maha Pengasih...
Binalah hati ini dengan akhlak mulia, akhlak yang terpuji di sisi Allah....
Moga Allah menganugerahkan kepada kita, "nur” (cahaya-cahaya) iman, keyakinan dan zikir sehingga hidup kita diterangi cahaya Ilahi, cahaya petunjuk dan cahaya hidayah yang membawa kebahagian dan keberkatan hidup di dunia dan akhirat. Aminn..

Surah Al-An’am, ayat 162 dan ayat 163 yang bermaksud :
”Katakanlah (Muhammad)’ ”Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku, dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan seluruh alam,”
( سورة الانعام : 162 )

" tidak ada sekutu bagiNYA; dan demikianlah yang diperintahkan kepadaku dan aku adalah orang yang pertama-tama berserah diri (muslim).”
( سورة الانعام : 163 )


Coretan ini adalah ingatan untuk diri ini jua..sekadar ingin berkongsi kembara di hati ini...
Semoga yang baik itu datangnya daripada Allah Azzawajjalla dan yang buruk itu datangnya daripada kelemahan diri ini jua..

BINALAH HATIMU YANG BAHAGIA


sumber dari: nurhuda-cahayapetunjuk.blogspot.com

No comments:

Post a Comment