Sunday 1 June 2014

Teguran dan Peringatan dari Surah ABASA




My Photo


Saat menyemak Surah 'ABASA' ini, terasa betapa alpa dan jahilnya diri serta sentiasa leka dengan hal-hal duniawi. Astaghfirullahalazim..   :'(
Kita sebenarnya sedang menerima teguran dan peringatan. Sangat-sangat insaf..

1.    Jangan berpaling dari orang yang kelihatan hina/cacat/kurang dari kita

Dia memasamkan muka dan berpaling, (1) Kerana dia didatangi orang buta. (2) Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui (tujuannya, wahai Muhammad)? Barangkali dia mahu membersihkan hatinya (dengan pelajaran agama yang didapatinya daripadamu)! (3) Ataupun dia mahu mendapat peringatan, supaya peringatan itu memberi manfaat kepadanya. (4)

2.   Tidak perlu bersusah-payah melayan orang yang sombong dan merasakan diri hebat sehingga mereka tidak memerlukan ajaran Al-Quran, bukan salah kita jika mereka tidak mahu membersihkan diri mereka.

Adapun orang yang merasa keadaannya telah cukup, tidak berhajat lagi (kepada ajaran Al-Quran), (5) Maka engkau bersungguh-sungguh melayaninya. (6) Padahal engkau tidak bersalah kalau dia tidak mahu membersihkan dirinya (dari keingkarannya). (7)

3.  Segeralah melayan dan memberi ilmu kepada orang yang datang dengan perasaan takut kerana telah melanggar perintah Allah.

Adapun orang yang segera datang kepadamu, (8) Dengan perasaan takutnya (melanggar perintah-perintah Allah); (9) Maka engkau berlengah-lengah melayaninya. (10) Janganlah melakukan lagi yang sedemikian itu! Sebenarnya ayat-ayat Al-Quran adalah pengajaran dan peringatan (yang mencukupi). (11)

4.    Mereka yang mahu mengejar pahala/kebaikan, akan mengambil iktibar dari Al Quran yang sangat mulia dan terpelihara.

Maka sesiapa yang mahukan kebaikan dirinya, dapatlah dia mengambil peringatan daripadanya. (12) (Ayat-ayat Suci itu tersimpan) dalam naskhah-naskhah yang dimuliakan; (13) Yang tinggi darjatnya, lagi suci (dari segala gangguan); (14) (Terpelihara) di tangan malaikat-malaikat yang menyalinnya dari Luh Mahfuz; (15) (Malaikat-malaikat) yang mulia, lagi yang berbakti. (16)

5.   Selagi kita bernama manusia, jangan angkuh kerana kita diciptakan oleh Allah, dari air mani dan diberi tanggungjawab oleh Allah di dunia ini. Hidup bukan untuk bersukaria. Kita diberi akal oleh Allah untuk memilih jalan yang baik dan buruk. Kita akan dimatikan dan dibangkitkan dan dipersoalkan. Maka, JANGANLAH ingkar!

Binasalah hendaknya manusia (yang ingkar) itu, betapa besar kekufurannya? (17) (Tidakkah dia memikirkan) dari apakah dia diciptakan oleh Allah? (18) Dari air mani diciptakannya, serta dilengkapkan keadaannya dengan persediaan untuk bertanggungjawab; (19) Kemudian jalan (baik dan jahat), dimudahkan Tuhan kepadanya (untuk menimbang dan mengambil mana satu yang dia pilih); (20) Kemudian dimatikannya, lalu diperintahkan supaya dia dikuburkan; (21) Kemudian apabila Allah kehendaki dibangkitkannya (hidup semula). (22) Janganlah hendaknya dia kufur ingkar lagi! Sebenarnya dia belum menunaikan apa yang diperintahkan kepadanya. (23)

6.  Jika yang itu pun kita tidak dapat berfikir tentang kejadian diri sendiri, masih angkuh dan merasa diri sendiri hebat, lihatlah pada  makanan kita setiap hari. Bolehkah kita mencipta tumbuh-tumbuhan. Dari air hujan yang Allah turunkan, menyuburkan sayuran, bijirin, buah2an dengan masing2 mempunyai zat yang tersendiri. Adanya rumput untuk binatang ternakan, dan kita juga mendapat makanan dari ternakan itu. Renungkan setiap nikmat dari makanan kita itu.

(Kalaulah dia tidak memikirkan asal dan kesudahan dirinya), maka hendaklah manusia melihat kepada makanannya (bagaimana kami mentadbirkannya): (24) Sesungguhnya kami telah mencurahkan hujan dengan curahan yang menakjubkan. (25) Kemudian kami belah-belahkan bumi dengan belahan yang sesuai dengan tumbuh-tumbuhan; (26) Lalu Kami tumbuhkan pada bumi biji-bijian, (27) Dan buah anggur serta sayur-sayuran, (28) Dan zaitun serta pohon-pohon kurma, (29) Dan taman-taman yang menghijau subur, (30) Dan berbagai buah-buahan serta bermacam-macam rumput; (31) Untuk kegunaan kamu dan binatang-binatang ternak kamu. (32)

7.    Hari kiamat itu pasti akan tiba, dan tiada masa bagi setiap manusia untuk menyelamatkan orang lain selain sibuk menyelamatkan diri sendiri. Lupa saudara, ibu, bapa, isteri dan anak.

Kemudian (ingatlah keadaan yang berlaku) apabila datang suara jeritan yang dahsyat; (33) Pada hari seseorang itu lari dari saudaranya, (34) Dan ibunya serta bapanya, (35) Dan isterinya serta anak-anaknya; (36) Kerana tiap-tiap seorang dari mereka pada hari itu, ada perkara-perkara yang cukup untuk menjadikannya sibuk dengan hal dirinya sahaja. (37)

8.    Waktu itulah jelas kelihatan perbezaan wajah orang ‘beriman’ dan wajah orang ‘derhaka’. 

Muka (orang-orang yang beriman) pada hari itu berseri-seri, (38) Tertawa, lagi bersuka ria; (39) Dan muka (orang-orang yang ingkar) pada hari itu penuh berdebu, (40) Diliputi oleh warna hitam legam dan gelap-gelita. (41) Mereka itu ialah orang-orang yang kafir, yang derhaka. (42)



sumber dari: exlshina.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment