Wednesday, 19 March 2014

BERPESANLAH PADA DIRI







Firman ALLAH SWT bermaksud : maka janganlah kamu memuji-muji diri kamu (bahawa kamu suci bersih dari dosa). Dia lah sahaja yang lebih mengetahui akan orang-orang yang bertaqwa.( An Najm : 32)
 

ULASAN AYAT :

1.   SEORANG HAMBA tidak patut sombong atau berbangga dengan ilmu, harta dan jabatan yang dimilikinya sebelum ia selamat melintasi titian sirat. Apa gunanya pujian jika ia tetap terjatuh ke dalam neraka pada hari kiamat nanti. KEKASIH ALLAH tidak menyukai kemashyuran. Mereka selalu khuatir andai ibadahnya ditolak meskipun telah melakukannya dengan sempurna. Kesibukkannya dengan ALLAH tidak meninggalkan baki masa baginya untuk mendengar pujian atau celaan orang lain. Kita diajar untuk merendah diri malah tidak pula melihat orang lain dengan pandangan yang hina kerana kekurangan yang ada sehingga kita terus menghukum dan melebelkan mereka buruk.

2.   Jangan mudah menghukum manusia sesuka hati, bahkan insafilah diri kerana kita juga bukan sesiapapun dan tiada apa yang hebat tentang diri kita kerana apabila kita mati hanya kain putih yang sama juga membaluti dan diusung orang juga untuk dibawa pergi kekuburan.

3.   Sifat sombong dengan apa yang ada pada diri akan membuat kita jauh dari ALLAH, ianya hanya akan mendatangkan kehampaan dan rasa putus asa yang berpanjangan. Ketahuilah bahawa anugerah kecerdasan, kekayaan, kekuatan, kecantikan dan ketampanan serta ilmu pengetahuan semuanya akan berubah menjadi derita dan musibah jika kita tidak memperolehi taufik dan berkat dari ALLAH. Justeru ALLAH mengingatkan kita melalui ayat-ayatNya akan akibat buruk dari sifat sombong dan riak dariNYA. Jagalah ALLAH, maka ALLAH akan menjaga kita lebih lagi. HARTA pula jika diletakkan sebagai alat, ia akan menyelamat. Tetapi jika ia menjadi matlamat, ia akan membawa mudarat kerana kadang-kadang kita lupa, pengakhiran hidup kita adalah AKHIRAT.

4.   MISKIN DAN KAYA bukan persoalannya tetapi setiap dari kita perlu berusaha untuk mencari KEKAYAAN HATI yang boleh dimiliki oleh si miskin dan si kaya. Orang yang kaya hati akan sentiasa memiliki ketenangan dan kebahagiaan. Orang miskin berjalan atas landasan  kesabaran dan orang kaya pula akan berjalan atas landasan kesyukuran. Itulah sebaik-baik jalan. BERPESANLAH PADA DIRI (Setiap usaha dan ketekunan pasti ALLAH ganjarkan pahala sekalipun kita gagal). Pesan pada diri dan ingatkannya bahawa kita semua hamba ALLAH SWT.

5.   Oleh itu ALLAH sahaja yang boleh memberikan kita kejayaan atau kegagalan. Kedua-duanya dianugerahkan oleh ALLAH untuk kebaikan diri kita juga. ALLAH tidak akan menzalimi hamba-hambaNya. Apabila diuji, maka sunatullah telah menetapkan agar bersabar. Setiap kali menempuh ujian, maka sabarlah sebijak-bijak tindakan seorang hamba.

6.   Tidak perlu berbangga dengan apa yang ada kerana tiada seorang pun didunia ini yang sepanjang hidupnya sentiasa berjaya ataupun selalu mendapat apa yang diinginkan. Apabila disebut tentang hamba, ALLAH boleh melakukan apa sahaja kepada kita. Cuma apabila kita dibekalkan akal dan hati olehNya maka gunalah sebaiknya agar kita tahu mana baik dan mana buruknya. Apa yang baik perlu diteruskan manakala yang buruk harus segera ditinggalkan. 


WALLAHU’ALAM



sumber dari: http://www.tasik-puteri.com/

No comments:

Post a Comment