Friday, 28 March 2014

berbakti kepada dua ibubapa







Di dalam pusingan ini, al-Quran mengatakan tentang fitrah manusia yang jujur dan yang menyeleweng dan akibat yang akan menimpa mereka masing-masing. Ia memulakan dengan pesanan berbakti kepada dua ibubapa. Pesanan seperti ini sering kali disebut selepas membicarakan persoalan aqidah mengenali Allah atau disebut serentak dengannya.

Ini adalah kerana hubungan ibubapa dan anak itu merupakan hubungan pertama selepas hubungan keimanan kepada Allah dari segi kekuatan dan kepentingannya dan hubungan paling utama yang harus diambil perhatian yang berat dan diberi penghormatan.

Sebutan seiringan ini mengandungi dua maksud. Maksud pertama ialah menyatakan kepentingan hubungan ibubapa dan anak, dan maksud kedua ialah menyatakan bahawa hubungan iman kepada Allah itu merupakan hubungan pertama yang didahulukan kemudian diiringi pula dengan hubungan darah dalam bentuknya yang paling erat.

Di dalam pusingan ini, dikemukakan dua contoh fitrah manusia. Dalam contoh yang pertama, hubungan keimanan kepada Allah bertemu dengan hubungan dua ibubapa dalam perjalanan keduanya yang lurus, jujur serta mendapat hidayat yang menyampaikan mereka kepada Allah. Dalam contoh yang kedua, hubungan keturunan terputus dari hubungan keimanan.

Kedua-duanya tidak mempunyai titik pertemuan. Contoh yang pertama berakhir dengan kesudahan mendapat syurga dan berita gembira, sedangkan contoh yang kedua berakhir ke dalam Neraka dan menerima nasib azab sengsara. Sesuai dengan keadaan ini, al-Quran menayangkan gambaran azab dalam satu pemandangan dari pemandangan-pemandangan hari Qiamat, iaitu gambaran yang menggambarkan akibat kefasiqan dan keangkuhan.

15. “Dan Kami telah berpesan kepada manusia supaya berbuat kebaikan kepada dua ibu bapanya …”

Ini adalah pesanan kepada seluruh umat manusia. Dan pesanan ini pula dibuat di atas asas kemanusiaan semata-mata tanpa memerlukan kepada mana-mana sifat lain di sebalik sifatnya sebagai manusia. Ia merupakan pesanan supaya membuat kebaikan dan kebaktian yang bebas dari segala syarat dan ikatan terhadap ibubapa, kerana sifat keibubapaan itu sendiri memerlukan kebaktian seperti itu, tanpa memerlukan kepada mana-mana sifat yang lain lagi.

Ia adalah pesanan yang terbit dari Allah yang menciptakan manusia, dan mungkin pula pesanan ini adalah khusus untuk jenis manusia sahaja, kerana tidak pernah diketahui di alam burung atau di alam haiwan atau di alam serangga bahawa anak-anak yang kecil itu diwajibkan menjaga ibubapa mereka yang tua.

Apa yang dilihat dan disaksi ialah fitrah makluk-makhluk ini hanya ditaklifkan supaya yang tua menjaga yang muda di dalam setengah-setengah jenis binatang sahaja. Kerana itu pesanan ini mungkin khusus untuk jenis manusia sahaja.

Pesanan membuat kebaikan dan kebaktian kepada dua ibubapa berulang-ulang kali disebut di dalam al-Quran al-Karim dan di dalam hadis-hadis Rasulullah saw. Tetapi tidak ada pesanan yang ditujukan kepada ibubapa supaya berbuat kebaikan kepada anak-anaknya melainkan jarang-jarang sekali iaitu kerana adanya suatu sebab atau keadaan-keadaan tertentu, kerana dorongan fitrah insan itu sahaja sudah cukup untuk menggerakkan ibubapa menjaga dan memelihara anaknya secara spontan yang tergerak dengan sendiri tanpa memerlukan kepada peransang atau pendorong yang lain.

Fitrah inilah yang membuat ibubapa sanggup melakukan pengorbanan yang luhur, sempurna dan aneh, iaitu pengorbanan yang seringkali sampai kepada had mati, apatah lagi menderita kesakitan dan kesengsaraan.

Mereka berbuat demikian tanpa teragak-agak, tanpa menunggu ganjaran, tanpa membangkit-bangkit dan tanpa keinginan untuk mendapatkan terima kasih.

Tetapi bagi generasi anak-anak pula, mereka tidak banyak menoleh kebelakang. Mereka tidak banyak menoleh kepada generasi ibubapa yang berkorban, memberi dan sudah tua, kerana giliran mereka ialah maju ke depan mendapatkan generasi baru dari anak-anak mereka pula, dan untuk generasi inilah mereka mengambil giliran berkorban dan memeliharanya.

Demikianlah berlalunya hidup ini.

Islam menjadikan keluarga sebagai kepingan-kepingan bata asas dalam pembinaan masyarakat Islam dan tempat belaan dan asuhan, di mana anak-anak yang masih mentah itu perlahan-lahan dapat berkembang dan membesar, di samping menerima bekalan kasih sayang, bantu membantu, sanggup menyanggup dan bina membina.

Kanak-kanak yang tidak mendapat tempat belaan keluarga akan membesar dengan kelakuan-kelakuan yang ganjil/abnormal di dalam beberapa segi kehidupannya walaupun ia menerima kerehatan dan didikan yang secukupnya di luar lingkungan keluarga. Bekalan utama yang tidak dapat diperolehinya di tempat belaan yang lain dari belaan keluarga ialah perasaan kasih sayang.
Umum di akui bahawa kanak-kanak dengan tabiat semulajadinya suka membolot ibunya dalam dua tahun yang pertama dari umur hidupnya. Dalam masa ini, dia tidak sanggup berkongsi ibu dengan sesiapa pun.

Ini tidak dapat dinikmati kanak-kanak di tadika-tadika, kerana pengasuh-pengasuh yang bertugas di sini adalah berkewajipan mengasuh beberapa orang kanak-kanak yang lain dalam satu masa.  Mereka berdengki-dengki satu sama lain untuk mendapat ibu tiruan bersama itu. Disinilah tumbuhnya di dalam hati mereka perasaan marah dan dendam menyebabkan perasaan kasih sayang tidak dapat tumbuh di hati mereka.

Begitu juga kanak-kanak memerlukan satu kuasa yang tetap yang menjaga dan mengawasinya supaya ia dapat membina syakhsiyahnya yang teguh. Ini tidak mungkin terlaksana melainkan di tempat belaan keluarga, kerana di tadika-tadika tidak terdapat satu kuasa syakhsiyah yang tetap, kerana pengasuh-pengasuh di sana berubah-ubah dan bergilir-gilir menjaga kanak-kanak yang lain. Ini menyebabkan syakhsiyah kanak-kanak itu tidak teguh dan kukuh.

Ujian-ujian dan pengalaman-pengalaman di tadika-tadika setiap hari mendedahkan hikmat kebijaksanaan tulen mengapa keluarga itu dijadikan batu asas yang pertama bagi pembinaan masyarakat yang sejahtera, iaitu masyarakat yang menjadi matlamat perjuangan Islam untuk membangunkannya di atas landasan fitrah yang sejahtera.

Di sini al-Quran menggambarkan pengorbanan yang luhur yang diberikan oleh seorang ibu kepada anaknya, iaitu satu pengorbanan yang tidak dapat dibalas selama-lamanya oleh anak-anaknya walau bagaimana besarnya kebaktian mereka menjunjung perintah Allah membuat baik kepada kedua ibubapa mereka :

15. “… Ibunya telah mengandungkannya dengan susah payah dan melahirkannya dengan susah payah. Tempoh mengandungnya sampai lepas susunya ialah tiga puluh bulan …”

Susunan kata-kata ayat ini dan bunyi kata-kata itu sendiri memberi gambaran yang hidup betapa teruknya kesusahan, kepenatan, kepayahan dan kesulitan yang dialami seseorang ibu.
Ungkapan ini seolah-olah keluhan penat lelah memikul tanggungan yang berat yang membuat seseorang itu termengah-mengah menarik nafas. Itulah gambaran ibu yang mengandung terutama di hari-hari akhir, dan itulah keadaan ibu yang melahirkan anak dengan penuh penderitaan dan kesakitan.

Ilmu genetik telah menerangkan kepada kita betapa besarnya pengorbanan seorang ibu dalam proses mengandung dan melahirkan seorang anak. Ia menerangkan kepada kita dengan gambaran yang amat menarik dan jelas.

Sebaik saja telur perempuan itu berkahwin (bersenyawa) dengan sel mani lelaki, ia berusaha melekatkan dirinya di dinding rahim. Ia dilengkapkan dengan sifat pemakan. Ia mengoyak dinding rahim tempat ia melekat itu dan memakannya, maka darah si ibu pun mengalir ke tempatnya, di mana telur yang bersenyawa dengan sel mani itu sentiasa tergenang dalam darah ibu yang kaya dengan berbagai-bagai zat.

Ia menghisapkan darah itu untuk hidup subur. Ia sentiasa memakan dinding-dinding rahim itu, sentiasa menghisap bahan hayat, sedangkan si ibu makan dan minum, mencerna dan menghisap untuk membekalkan darah yang bersih dan berzat kepada telur yang lahap dan rakus itu.

Dalam masa pembentukan tulang-temalang janin, ia banyak menghisap zat kapur dari darah ibunya, ini menyebabkan di ibu itu memerlukan zat kapur kerana ia memberikan larutan tulang-tulangnya dalam darah untuk membentuk tulang bayi yang comel itu. Ini hanya sebahagian kecil dari pengorbanan si ibu yang banyak.

Di samping itu, melahirkan anak pula merupakan proses yang sukar dan mengoyakkan anggota, tetapi kesakitan dan kemeranaan melahirkan anak itu tidak dapat menghalang  keinginan fitrah si ibu. Ia tidak dapat menjadikan si ibu lupa kepada kemanisan mendapat anak yang memenuhi keinginan fitrahnya. Ibarat benih yang menumbuhkan tumbuhan yang baru, ia hidup dan menjalar subur sedangkan benih itu sendiri mengering dan mati.

Kemudian diikuti pula dengan kerja menyusu dan membela. Si ibu memberi jus daging dan tulang-temalangnya di dalam susu. Ia memberi jus hati dan sarafnya untuk membela bayinya. Walaupun demikian, dia tetap gembira, bahagia, pengasih dan penyayang. Dia tidak pernah jemu dan tidak pernah bosan dengan kepenatan melayani bayinya. Yang menjadi cita-cita si ibu ialah ia mahu melihat anak itu sihat dan subur. Itulah satu-satunya ganjaran yang diingininya.

Masakan seorang itu dapat membalas pengorbanan di ibu ini biarpun bagaimana besar ia berbakti dan membuat baik kepada, kerana apa yang dibuat olehnya adalah terlalu kecik dan sedikit.

Amatlah benar sabda Rasulullah saw apabila beliau ditemui seorang lelaki dalam masa tawaf. Lelaki itu mengendung ibunya mengerjakan tawaf, lalu ia bertanya Rasulullah saw : “Adakah hamba telah menyempurnakan haknya?” Jawab Beliau saw : “Tidak, tidak sampai pun dengan sepenarik keluhannya.” (Riwayat oleh al-Hafiz Abu Bakar dengan isnadnya dari Buraydah dari bapanya)

Setelah selesai menerangkan pesanan berbakti kepada dua ibubapa dan menggerakkan hati manusia dengan pengorbanan ibu-ibu, al-Quran membawa kita kepada peringkat di bayi itu meningkat usia dewasa yang matang, mempunyai fitrah yang jujur dan hati yang mendapat hidayat :

15. “… Sehingga apabila ia sampai ke peringkat dewasa dan meningkat usia empat puluh ia pun berdoa : “Wahai Tuhanku, Dorongkan daku supaya mensyukuri nikmatMu yang telah engkau kurniakannya kepadaku dan kepada dua ibubapaku dan supaya aku mengerjakan amalan yang soleh yang Engkau redhakannya dan kurniakanlah kesolehan dalam zuriat keturunan ku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadaMu dan sesungguhnya aku dari golongan Muslimin.”

Peringkat umur dewasa yang matang ialah peringkat umur di antara tiga puluh dan empat puluh. Dan peringkat usia empat puluh tahun itu merupakan kemuncak kematangan, di waktu ini segala kekuatan dan tenaga seseorang itu subur dengan sempurna dan di waktu inilah juga ia cukup bersedia untuk memikirkan sesuatu dengan mendalam dan tenang. Dan di dalam peringkat usia ini juga fitrah manusia yang jujur dan lurus mulai memberi perhatiannya kepada hakikat di sebalik hidup dan selepas hidup ini memikirkan nasib kesudahan hayatnya.

Di sini al-Quran menggambarkan perasaan dan fikiran yang terlintas di dalam jiwa yang jujur itu semasa ia berada dipersimpangan jalan di antara peringkat umurnya yang telah berlalu dengan peringkat akhir umurnya yang hampir-hampir kelihatan, disinilah ia berdoa kepada Allah swt :

15. “…“Wahai Tuhanku, Dorongkan daku supaya mensyukuri nikmatMu yang telah engkau kurniakannya kepadaku dan kepada dua ibubapaku …”

Inilah seruan kalbu yang mengenangkan nikmat Allah, kalbu yang merasa nikmat Ilahi itu begitu besar dan begitu banyak. Nikmat itu telah melimpahi dirinya dan dua ibubapanya sebelum ini, iaitu nikmat Ilahi yang telah begitu lama diketahuinya. Kalbu yang merasa kesyukuran dan terima kasihnya adalah terlalu kecil, kerana ia berdoa kepada Allah supaya ia dapat mensyukuri semuanya.
Ia memohon supaya Allah dorongkannya agar dapat ia menunaikan kewajipan kesyukuran itu dengan sempurna dan janganlah tenaganya dan perhatiannya berbelah bagi di dalam kesibukan-kesibukan yang lain dari menyempurnakan kewajipan yang besar ini.

15. “… Dan supaya aku mengerjakan amalan yang soleh …”

Ini satu lagi permohonannya iaitu ia berdoa agar ia dikurniakan pertolongan dan taufiq kepada amalan-amalan yang soleh yang sempurna hingga mendapat keredhaan Allah, kerana Allah itu merupakan satu-satunya matlamat dan harapan yang dicita-citakannya.

15. “… Dan kurniakanlah kesolehan dalam zuriat keturunanku …”

Inilah permohonan ketiga . Setiap hati yang mukmin bercita-cita supaya amalannya yang soleh itu bersambung pada zuriat keturunannya dan agar hati merasa tenang bahawa di dalam zuriat keturunannya yang akan datang terdapat anak cucunya yang menyembah Allah dan memohon keredhaanNya.

Zuriat keturunan yang soleh itulah cita-cita dan impian setiap hamba yang soleh. Ia lebih menyenangkan hatinya dari segala perhiasan dunia. Doa ini bermula dari ibubapa kepada sekalian anak cucu-cicit supaya generasi yang bersilih ganti itu bersambung di dalam ketaatan kepada Allah
Ia mengemukakan permohonan syafaatnya kepada Allah dan syafaatnya yang dikemukakan di hadapan doanya yang tulus ikhlas itu ialah taubat dan penyerahan diri kepada Allah (Islam) :

15. “… Sesungguhnya aku bertaubat kepadaMu dan sesungguhnya aku dari golongan Muslimin.”

Itulah sikap hamba yang soleh yang mempunyai fitrah yang bersih dan jujur terhadap Allah, sedangkan sikap Allah terhadap mereka telah diterangkan oleh al-Quran seperti berikut :

16. “Merekalah orang-orang yang Kami terima dari mereka sebaik-baik amalan yang dikerjakan mereka dan Kami ampunkan kesalahan-kesalahan mereka. Mereka adalah dari penghuni-penghuni syurga sebagai memenuhi janji yang benar yang telah dijanjikan kepada mereka.”

Maksudnya, balasan itu mengikut hisab yang sebaik-baiknya dan kesalahan-kesalahan akan diampuni. Dan tempat kembalinya ialah syurga bersama penghuni-penghuninya. Itulah penunaian janji yang benar yang dijanjikan kepada mereka di dunia. Dan Allah tidak akan memungkiri janjiNya. Dan balasanNya adalah balasan nikmat yang melimpah ruah.



sumber dari: http://mykonsis.wordpress.com/

No comments:

Post a Comment