Saturday, 19 January 2013

suara wanita itu aurat




Ada yang menyatakan bahawa suara wanita itu aurat; dan tidak dibenarkan bercakap dengan lelaki kecuali suami dan mahram mereka kerana suara mereka secara tabi’enya adalah lunak dan membawa fitnah serta menggoda syahwat lelaki? Apakah benar dakwaan tersebut??? 

Al Imam As Syeikh Dr. Yusuff Al Qardhowi di dalam sebuah karangan beliau ”Fatawa Al Mar’ah Al Muslimah” menyatakan bahawa tidak terdapat dalil yang mengharamkan mereka (wanita) untuk bercakap dengan lelaki. Bahkan terdapat dalil yang dinyatakan di dalam Al Quran yang menjelaskan keharusan wanita bercakap dengan lelaki. Bahkan Al Quran mengharuskan para Ummahatul Mukminin menjawab persoalan yang dikemukakan oleh sahabat Nabi R.Anhum sebagaimana Firman Allah:

وإذا سألتموهن متاعا فسئلوهن من وراء حجاب ( سورة الأحزاب : 53 )

Sesungguhnya setiap persoalan adalah memerlukan jawapan. Demikianlah yang dilakukan oleh Ummahatul Mukminin apabila ditanya kepada mereka (fatwa) oleh orang yang meminta fatwa lantaran mereka banyak meriwayatkan hadith. Bahkan terdapat wanita yang bertanyakan kepada Nabi SAW di hadapan para sahabat tentang sesuatu perkara tidak pula dihalang oleh baginda SAW.Mari kita berpedomankan pula dengan kisah dua orang anak perempuan Nabi Ya’akob yang bercakap dengan Nabi Musa A.S sebagaimana yang dirakamkan di dalam Surah Al Qasas ayat 23.

muslimatku.jpg

Begitu juga yang diceritakan oleh Al-Quran di mana Nabi Sulaiman berbicara dengan Ratu Saba’ dan demikian juga ratu tersebut berbicara dengan para pembesarnya. Meskipun ianya adalah merupakan syariat sebelum kita (شرع من قبلنا), namun ianya tidak dimansuhkan oleh syariat kita. Dan inilah pandangan yang terpilih (al Mukhtar).Dan ditegah oleh syara’ ialah setiap percakapan (wanita terhadap lelaki) dengan menyaringkan suara dan menjadikan ia lemah gemalai atau bahasa mudahnya ‘mengada-ngada’ yang boleh memberi kesan terhadap lelaki tersebut. Demikian juga bercakap perkara-perkara yang lagho (sia-sia) dan keji ( فاحشة ). Dan inilah yang disebut di dalam Al-Quran sebagai ( خضوع القول ) sebagaimana dalam firman Allah:

يا أيها النساء النبي لستنّ كأحد من النساء إن اتقيتنّ فلا تخضعن بالقول فيطمع الذي فى قلبه مرض وقلن قولا معروفا( سورةالأحزاب :32 )

Terjemahan : “Dan ayat ini menjelaskan ( الخضوع ) itu ialah perkataan yang boleh menambahkan lagi parah orang yang hatinya sakit dengan syahwat. Dan ayat ini tidaklah menghalang bercakap dengan lelaki secara mutlak atau keseluruhannya kerana Allah menyatakan (وقلن قولاً معروفا ) iaitu “ Dan katakanlah kepada mereka dengan perkataan yang ma’aruf”.


Kesimpulan :

1. Suara wanita bukanlah aurat berdasarkan dalil-dalil yang telah dinyatakan di atas.dan tidak ada dalil yang mengharamkannya.

2. Bercakap dengan suara yang menggoda terhadap lelaki sehingga menimbulkan syahwat dan fitnah adalah haram.

3. Percakapan yang dibenarkan adalah perkara yang baik dan ma’aruf serta mendapatkan penjelasan ilmiah seperti menuntut ilmu (murid terhadap guru).



sumber dari: fariddin.wordpress.com

No comments:

Post a Comment