Saturday, 19 January 2013

isu bukan Islam memasuki masjid menjadi polemik dalam masyarakat





Firman Allah SWT (Surah al-Mumtahanah 60:8):


Bermaksud : Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu karena agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil.

Peraturan yang diperkenalkan Islam sama sekali tidak akan menyusahkan manusia. Ia akan mengamankan semua manusia. Namun, apa yang menjadi isu dan perselisihan kebiasaannya adalah berpunca daripada bagaimana kita mentafsir ayat-ayat Allah, hadith nabi, pendapat mazhab-mazhab dan pelbagai sumber yang soheh dan diterima pakai.

Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz berkata, isu bukan Islam memasuki masjid menjadi polemik dalam masyarakat akibat sentimen politik mengatasi kefahaman agama Islam yang murni. Beliau berkata tindakan itu dilihat ganjil kerana umat Islam sekarang terlalu jahil dengan agama. Tindakan mempolemikkan isu tersebut juga bukan sahaja akan menjauhkan orang bukan Islam kepada Islam, malah bertentangan dengan sunnah Nabi.

Menurut bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin, jika seseorang bukan Islam masuk dan tidak mengganggu masjid, tidak mencemar masjid, atau nak berbincang dengan orang Islam, menerangkan tentang kebajikan yang nak dibuat seperti penerangan tentang kesihatan, penyakit, mereka boleh masuk, selagi bukan nak menentang Islam.

Pendapat Ustaz Zaharuddin Abd Rahman(www.zaharuddin.net) Majoriti ulama melarang bukan Islam memasuki Masjidil Haram atas larangan yang terdapat di dalam ayat Al-Quran yang bermaksud "Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu solat, sedang kamu dalam keadaan mabuk, sehingga kamu mengerti apa yang kamu ucapkan, (jangan pula hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan junub, terkecuali sekadar berlalu saja." ( 4:43 ).

Imam Abu Hanifah berpendapat bukan Islam dibenarkan untuk memasuki Masjidil Haram sekadar lalu, namun tidak dibenarkan untuknya duduk dan menetap di sana (sebagaimana sebahagian umat Islam); ini kerana beliau berpandangan, ‘kotor' yang disebut di dalam ayat itu hanyalah membawa maksud kekotoran syirik yang melibatkan hati bukannya kekotoran fizikal. Lebih dari itu, Ibn Hajar menyatakan mazhab Hanafi membenarkan bukan Islam memasuki masjid tanpa syarat.

Imam Ahmad Hanbal pula menyatakan bukan Islam hanya dibenarkan untuk memasuki masjidil haram dan lainnya setelah mendapat kebenaran dari umat Islam atas tujuan-tujuan yang munasabah seperti pembinaan dan kerja-kerja penyenggaran. Beliau mengambil dalil iaitu penduduk Taif dibenarkan oleh nabi s.a.w untuk menetap dan tinggal di masjid sebelum mereka memeluk Islam. Selain itu, Imam Al-Bukhari juga ada membawakan sebuah hadis yang menyebut bagaimana seorang bukan Islam bernama Thamamah ibn Athal, diikat oleh Rasulullah di dalam masjid (ditangkap atas kesalahan tertentu).

Manakala hukum memasuki masjid selain Masjidil Haram, Imam Ibn Hajar Al-lsquo;Asqolani ketika menghuraikan isu ini mengatakan mazhab Maliki tetap MELARANG bukan Islam memasuki masjid manakala Mazhab Syafie, Hanbali dan Hanafi membenarkan bukan Islam untuk memasuki masjid-masjid lain dengan syarat-syarat tertentu. Imam Nawawi menghuraikan, melihat kepada hadis di atas, harus hukumnya mengikat tawanan dan menahannya serta harus juga seorang yang bukan Islam untuk memasuki masjid. Mazhab Syafie menyatakan keharusannya dengan syarat terdapat keizinan dari umat Islam sama ada kafir itu dari kalangan ahli Kitab atau selainnya. Namun Khalifah Umar bin Abd Aziz, Qatadah dan Imam Malik tidak mengharuskannya. Selain itu, anak murid Imam Syafie yang utama iaitu Al-Muzani juga berbeza ijtihad dengan gurunya, beliau menyatakan TIDAK HARUS bukan Islam memasuki masjid apatah lagi menetap di dalamnya, kerana jika mereka dibenarkan, sudah tentu orang yang berjunub juga akan dibenarkan. Sedangkan terdapat ayat menyebut larangan bagi mereka yang berjunub memasuki masjid kecuali lalu sahaja.

KESIMPULANNYA majoriti ulama bersepakat bukan Islam TIDAK BOLEH MEMASUKI MASJIDIL HARAM, namun dengan agak ketara mereka berbeza ijtihad dalam menentukan hukum bagi masjid-masjid yang lain. Namun demikian, majoriti ulama silam dan kontemporari dilihat mengharuskan bagi masjid-masjid biasa dengan syarat-syarat tertentu seperti :-

i. Mestilah dengan izin umat Islam atau badan berkuasa Islam bagi masjid berkenaan.

ii. Mestilah mempunyai sebab yang munasabah untuk memasukinya sama ada untuk mendengar penerangan berkenaan Islam, mendaftar sesuatu, bertanya, melihat dan mempelajari cara ibadah umat Islam dan yang seumpamanya.

iii. Mereka mestilah menghormati seluruh keadaan dan alatan masjid, tidak membuat bising dan memakai pakaian yang sesuai seperti menutup aurat bagi wanitanya.

Melihat kepada kenyataan di atas, jelaslah kepada kita bahawa terdapat kepelbagaian pendapat tentang hukum bukan Islam memasuki masjid. Jadi marilah kita gunakan kepelbagaian itu untuk disesuaikan dengan keadaan dan situasi semasa. Janganlah menuduh atau merendah-rendahkan ilmu agama orang lain, jangan mengambil peluang untuk menyerang peribadi individu tertentu bila isu sebegini timbul dalam masyarakat. Marilah kita berdiskusi dengan penuh harmoni demi kemajuan dan pembangunan ilmu.

Bukan Islam memasuki masjid bukanlah suatu isu, namun perkara yang menjadi kebimbangan Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah tentang umat Islam di negara ini yang disifatkannya dalam suasana kritikal, bagaikan tenggelam punca yang perlu diberi perhatian sama ada oleh UMNO mahupun PAS termasuk juga mereka yang mengaku diri sebagai Islam di dalam KEADILAN. Keadaan itu berlaku titah baginda, akibat pemimpin memilih untuk bertelagah serta bersaing mendapatkan pengaruh sehingga tergamak melakukan perkara mencemarkan agama serta menjatuhkan maruah ummah. Raja Dr. Nazrin bertitah, pemimpin sedemikian mungkin menyimpang daripada prinsip asas Islam yang sentiasa menyeru kepada perpaduan ummah kerana merelakan agamanya dicemari dan umatnya dihina. Mengambil contoh penderitaan dan penghinaan yang menimpa sebahagian umat Islam di Palestin, Afghanistan dan Iran, titah baginda, ia bermula daripada pemesongan di kalangan pemimpin yang rela membuka laluan kepada orang bukan Islam untuk melakukan pencerobohan serta kemusnahan terhadap bumi dan umat Islam itu sendiri.

Begitu juga tentang larangan menggunakan masjid sebagai pentas politik oleh Sultan Selangor harus dilihat dari pandangan yang positif. Baginda ingin melihat umat Islam di negeri Selangor berada dalam keadaan harmoni, mengekalkan semangat persaudaraan dan perpaduan. Janganlah hanya kerana hendak menyebelahi parti masing-masing, semuanya diputabelitkan agar sesuatu tindakan salah parti mereka dilihat seolah-olah betul.

Celah Gelegar menyeru agar semua pihak dapat menjernihkan pandangan kita terhadap Islam yang sekian lama disolekkan dengan wajah yang comot oleh pihak-pihak yang tertentu. Segala prejudis dan salah faham yang sering mengabui mata hendaklah dicuci sama sekali, agar kita semua dapat melihat warna Islam yang sebenar.


sumber dari: celahgelegar.blogspot.com

No comments:

Post a Comment