Saturday, 19 January 2013

Ringkasan asbab al nuzul (sebab penurunan) Surah Al-Mumtahanah







Dinyatakan di dalam Tafsir Fi Zilal al-Quran bahawa terdapat riwayat yang menceritakan peristiwa khusus yang menyebabkan turunnya permulaan surah ini.

Diceritakan terdapat seorang sahabat bernama Hatib ibn Abu Balta'ah yang merupakan kaum Muhajirin dan juga merupakan Ahli Peperangan Badar. Dia mempunyai anak-anak dan harta benda di Makkah. Walaupun dia bukan daripada kaum Quraisy, tetapi dia mempunyai ikatan janji setia dengan 'Uthman.

Apabila Rasulullah berazam untuk menakluk Makkah kerana kaum musyrikin telah melanggar perjanjian Hudaybiyah, baginda telah memerintahkan kaum muslimin bersiap sedia untuk memerangi mereka dan berdoa, "Ya Tuhanku, lindungilah berita kami ini daripada mereka." Kemudian Rasulullah telah memberitahu tujuannya itu kepada sekumpulan sahabat-sahabat termasuk Hatib.

Tiba-tiba Hatib menulis sepucuk surat dan mengirinkan melalui seorang perempuan musyrikin Makkah dari suku Muzaynah. Surat itu ditujukan kepada penduduk Makkah memberitahu kepada mereka bahawa Rasulullah telah berazam untuk menyerang mereka. Lalu Allah mendedahkan perbuatan itu kepada Rasulullah s.a.w sebagai memperkenan doa baginda dan meneruskan rancangan menawan Makkah. Lalu baginda mengirimkan sahabat-sahabatnya untuk mengejar dan merampas surat tersebut.


Al-Bukhari telah menceritakan di dalam kitab al-Maghazi, manakala Muslim menceritakannya di dalam Sahihnya dari hadith Hasan ibn Abd Rahman dari Sa'd ibn Ubaydah dari Abu Abdul Rahman as-Salami dari Ali r.a. katanya; Aku telah diutuskan oleh Rasulullah s.a.w bersama Abu Marthad dan Az-Zubayr ibn al-'Awam. Kamu semua daripada pasukan berkuda. Rasulullah bersabda, "Pergilah kamu sampai ke Raudhah Khakh. Di sana kamu akan mendapati seorang perempuan Musyrikin dan ada bersamanya sepucuk surat dari Hatib ibn Abu Balta'ah yang dikirimkan kepada kamu Musykirin." Kami dapat menangkap perempuan tersebut sedang mengenderai untanya di tempat yang dikatakan Rasulullah s.a.w. Lalu kami bertanya: "Di manakah surat?" Lalu dia menjawab, "Aku tidak bawa apa-apa surat." Kami pun menahan untanya dan memeriksanya, namun tidak menjumpai sebarang surat. Lalu kami berkata, "Rasulullah tidak pernah berbohong, awak mesti keluarkan surat itu, kalau tidak kami akan menanggalkan pakaian awak." Apabila dia mendapati kesungguhan kami dia pun mendapatkan tali pinggang bajunya dan mengeluarkan surat itu. Kami pun membawa surat itu kepada Rasulullah s.a.w.

Lalu Umar pun berkata, "Wahai Rasulullah! Dia (Hatib) telah mengkhianati Allah dan Rasul-Nya serta sekalian orang Mukmin! Serahkan sahaja kepada hamba untuk memenggal lehernya." Rasulullah pun bertanya kepada Hatib, "Apakah tujuan kau berbuat begini?" Jawab Hatib, "Demi Allah saya tidak mempunyai apa-apa tujuan melainkan tetap beriman kepada Allah dan Rasul-Nya. Tujuan saya berbuat demikian supaya budi saya dikenang mereka dan saya harap dengan budi ini Allah melindungi keluarga dan harta benda saya di sana, kerana tiada seorang pun dari sahabat anda melainkan semuanya masing-masing ada anak buahnya, dan dengan perantaraan mereka Allah melindungi keluarga dan harta benda mereka di sana.

Lalu Rasulullah s.a.w bersabda, "Cakapnya memang benar. Oleh itu janganlah kamu berkata apa-apa melainkan yang baik-baik sahaja." Umar menyampuk lagi, "Dia telah mengkhianati Allah dan Rasul-Nya dan sekalian orang Mu'min, serahkan sahaja kepada hamba memenggal lehernya." Jawab baginda s.a.w, "Bukankah dia Ahli Peperangan Badar?" Lalu Umar berkata, "Semoga Allah memberi kebaikan kepada Ahli Peperangan Badar." Kemudian Rasulullah s.a.w bersabda, "Buatlah apa yang kamu suka, sesungguhnya Syurga telah ditetapkan untuk kamu atau (syak rawi) sesungguhnya dosa-dosa kamu telah diampunkan oleh Allah." Lalu kedua mata Umar digenangi air mata dan berkata, "Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui." Al Bukhari telah menambah di dalam kitab al-Mughazi: Lalu Allah telah menurunkan surah.


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَتَّخِذُواْ عَدُوِّى وَعَدُوَّكُمۡ أَوۡلِيَآءَ تُلۡقُونَ إِلَيۡہِم بِٱلۡمَوَدَّةِ وَقَدۡ كَفَرُواْ بِمَا جَآءَكُم مِّنَ ٱلۡحَقِّ يُخۡرِجُونَ ٱلرَّسُولَ وَإِيَّاكُمۡ‌ۙ أَن تُؤۡمِنُواْ بِٱللَّهِ رَبِّكُمۡ إِن كُنتُمۡ خَرَجۡتُمۡ جِهَـٰدً۬ا فِى سَبِيلِى وَٱبۡتِغَآءَ مَرۡضَاتِى‌ۚ تُسِرُّونَ إِلَيۡہِم بِٱلۡمَوَدَّةِ وَأَنَا۟ أَعۡلَمُ بِمَآ أَخۡفَيۡتُمۡ وَمَآ أَعۡلَنتُمۡ‌ۚ وَمَن يَفۡعَلۡهُ مِنكُمۡ فَقَدۡ ضَلَّ سَوَآءَ ٱلسَّبِيلِ

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil musuhKu dan musuh kamu menjadi teman rapat, dengan cara kamu sampaikan kepada mereka (berita-berita rahsia orang-orang mukmin) dengan sebab hubungan baik dan kasih mesra yang ada di antara kamu dengan mereka, sedang mereka telah kufur ingkar terhadap kebenaran (Islam) yang sampai kepada kamu; mereka pula telah mengeluarkan Rasulullah (s.a.w) dan juga mengeluarkan kamu (dari Tanah Suci Mekah) disebabkan kamu beriman kepada Allah Tuhan kamu. (Janganlah kamu berbuat demikian) jika betul kamu keluar untuk berjihad pada jalanKu dan untuk mencari keredaanKu. (Tidak ada sebarang faedahnya) kamu mengadakan hubungan kasih mesra dengan mereka secara rahsia, sedang Aku amat mengetahui akan apa yang kamu rahsiakan dan apa yang kamu zahirkan. Dan (ingatlah), sesiapa di antara kamu yang melakukan perkara yang demikian, maka sesungguhnya telah sesatlah dia dari jalan yang betul. 



sumber dari: apiezibnuabas.blogspot.com

No comments:

Post a Comment