Hingga apabila mereka sampai di lembah semut, berkatalah seekor semut, “Hai semut-semut, masuklah ke dalam sarang-sarangmu, agar kamu tidak diinjak oleh Sulaiman dan tenteranya, sedangkan mereka tidak menyedari.” (An-Naml 27:18)
Kelmarin daurah tentang Dakwah dan Halatujunya. Saya tertarik dengan analogi sunnah si semut oleh ikhwah yang menyampaikan pengisian. Perhatikan di dalam surah An-Naml (Semut), seekor semut yang menyedari kemaraan Nabi Sulaiman bersama tenteranya telah segera memberi amaran kepada semut yang lain untuk berlindung di dalam sarang masing-masing.
Prihatin seekor semut dan sikap peduli ke atas kemaslahatan ‘ummat’ semut mesti diteladani oleh para dai’e. Apakah hikmah Allah menyelitkan peristiwa semut ini di dalam Al Quran? Tentulah ia bukan perkara remeh atau kejadian kecil yang tiada kepentingan terhadap kita. Terdapat idea dakwah yang mahu disampaikan di sini.
Muslim yang mempunyai kefahaman menyampaikan dakwah wajib bertindak seperti semut di dalam petikan surah An-Naml diatas- sentiasa awas dengan bahaya di sekeliling dan berusaha menyelamatkan bukan sahaja diri sendiri malah ummah keseluruhannya dari bahaya yang nampak. Apakah bahaya tampak ke atas ummah yang jelas kita ketahui ketika ini? Saya beri satu contoh jawapan- Kejauhan umat Islam dari identiti dan kehidupan Islam. Kebejatan akidah ini kelak akan menghayutkan mereka di dalam maksiat dunia.
Tarbiah dan dakwah tidak boleh dipisahkan. Dakwah bermula dengan tarbiah. Rasulullah SAW mendapat tarbiah berterusan daripada Allah dan malaikatNya Jibril sebelum baginda menyampaikan dakwah Islam kepada sahabat-sahabat. Manfaat tarbiah adalah buat individu yang melaluinya. Kefahaman yang diperoleh daripada pakej tarbiah berfungsi membentuk individu muslim yang terkesan dengan Al Quran dan Sunnah. Kebaikannya untuk menyelamatkan diri sendiri daripada perkara-perkara yang menarik ke neraka. Dakwah pula ialah output tarbiah. Muslim yang ditarbiah dan menyimpan agama hanya untuk keselamatan dirinya adalah mereka yang meninggalkan hikmah cerita semut dalam surah An-Naml. Tiada rasa tanggungjawab untuk sama-sama memastikan manusia lain juga harus selamat daripada azab neraka.
Saya rasa sangat kecil apabila memikirkan sunnah si semut. Malah lebih kecil rasanya dari semut. Sehingga umur saya pada hari ini, berapa ramai sahaja yang saya dakwahkan? Belum lagi kalau ditapis berapa ramai pula yang saya sungguh-sungguh mahu menyampaikan Islam kepada mereka. Hujah apa yang saya terpaksa berikan apabila ditanya di akhirat nanti?
Mudah ke dakwah? Saya kata susah (Adakah dakwah yang senang??). Mahu menyelamatkan diri sendiri dari api neraka pun masih merangkak, kena pula menarik sama emak abah, adik-adik, saudara mara, kawan-kawan dan orang sekeliling. Beratnya. Tapi bolehkah saya beralasankan susah untuk bebas dari dakwah? Tidak boleh. Malu kalau semut tahu. Semut pun ‘berdakwah’ menyelamatkan bangsanya dari bahaya. Saya bagi alasan susah? Tak patut..tak patut..
sumber dari: zooxanthellae.wordpress.com
No comments:
Post a Comment