Dan sesungguhnya kami telah 
mengurniakan ilmu pengetahuan kepada Nabi Daud dan Nabi Sulaiman; dan mereka 
berdua bersyukur dengan berkata: "Segala puji tertentu bagi Allah yang dengan 
limpah kurniaNya memberi kami kelebihan mengatasi kebanyakan hamba-hambaNya yang 
beriman". (An-Naml 
27:15)  
Dan Nabi Sulaiman mewarisi 
(pangkat kenabian dan kerajaan) Nabi Daud; dan (setelah itu) Nabi Sulaiman 
berkata: "Wahai umat manusia, kami telah diajar mengerti bahasa pertuturan 
burung, dan kami telah diberikan serba sedikit dari tiap-tiap sesuatu (yang 
diperlukan); sesungguhnya yang demikian ini adalah limpah kurnia (dari Allah) 
yang jelas nyata". (An-Naml 
27:16)
Dan dihimpunkan bagi Nabi 
Sulaiman bala tenteranya, dari jin dan manusia serta burung; lalu mereka dijaga 
serta diatur keadaan dan perjalanan masing-masing. (An-Naml 
27:17)  
(Maralah angkatan itu) 
hingga apabila mereka sampai ke "Waadin-Naml", berkatalah seekor semut: "Wahai 
sekalian semut, masuklah ke sarang kamu masing-masing, jangan Sulaiman dan 
tenteranya memijak serta membinasakan kamu, sedang mereka tidak menyedari". (An-Naml 
27:18)  
Dan (setelah itu) Nabi 
Sulaiman memeriksa kumpulan burung (yang turut serta dalam tenteranya) lalu 
berkata: "Mengapa aku tidak melihat burung belatuk? Adakah ia dari mereka yang 
tidak hadir? (An-Naml 
27:20)  
"Demi sesungguhnya! Aku akan menyeksanya dengan seksa yang seberat-beratnya, atau aku akan menyembelihnya, kecuali ia membawa kepadaku alasan yang terang nyata (yang membuktikan sebab-sebab ia tidak hadir)". (An-Naml 27:21)
Burung belatuk itu tidak 
lama ghaibnya selepas itu, lalu datang sambil berkata (kepada Nabi Sulaiman): 
"Aku dapat mengetahui secara meliputi akan perkara yang engkau tidak cukup 
mengetahuinya, dan aku datang kepadamu dari negeri Saba' dengan membawa khabar 
berita yang diyakini kebenarannya. (An-Naml 
27:22)  
"Sesungguhnya aku dapati 
seorang perempuan memerintah mereka dan ia telah diberikan kepadanya (serba 
sedikit) dari tiap-tiap sesuatu (yang diperlukan) dan ia pula mempunyai 
singgahsana yang besar. (An-Naml 27:23 
"Aku dapati raja perempuan 
itu dan kaumnya sujud kepada matahari dengan meninggalkan ibadat menyembah 
Allah, dan Syaitan pula memperelokkan pada pandangan mereka perbuatan (syirik) 
mereka, lalu menghalangi mereka dari jalan (yang benar); oleh itu mereka tidak 
beroleh petunjuk, - (An-Naml 
27:24)  
"(Mereka dihalangi oleh Syaitan) supaya mereka tidak sujud menyembah Allah yang mengeluarkan benda yang tersembunyi di langit dan di bumi, dan yang mengetahui apa yang kamu rahsiakan serta apa yang kamu zahirkan. (An-Naml 27:25)
"Allah! - Tiada Tuhan 
melainkan Dia, Tuhan yang mempunyai Arasy yang besar ". (An-Naml 
27:26) 
 "Pergilah bawa suratku ini, 
serta campakkanlah kepada mereka, kemudian berundurlah dari mereka; dalam pada 
itu perhatikanlah apa tindak balas mereka". (An-Naml 
27:28)
 (Setelah membaca surat 
itu), berkatalah raja perempuan negeri Saba': "Wahai ketua-ketua kamu! 
Sesungguhnya telah disampaikan kepadaku sepucuk surat yang mulia. (An-Naml 
27:29) 
 "Sesungguhnya surat itu 
dari Nabi Sulaiman, dan kandungannya (seperti berikut): `Dengan nama Allah, Yang 
Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani, (An-Naml 
27:30)
" `Bahawa janganlah kamu 
meninggi diri terhadapku, dan datanglah kamu kepadaku dengan menyerah diri 
(beriman dan mematuhi ajaran agama Allah). ' " (An-Naml 
27:31)  
Raja perempuan itu berkata lagi: "Wahai ketua-ketua kaum, berilah penjelasan kepadaku mengenai perkara yang aku hadapi ini; aku tidak pernah memutuskan sesuatu perkara sebelum kamu hadir memberi pendapat dan mempersetujuinya". (An-Naml 27:32)
Mereka menjawab: Kita adalah 
orang-orang yang kuat gagah dan amat berani merempuh peperangan; dan perkara itu 
(walau bagaimanapun) terserahlah kepadamu; oleh itu fikirkanlah apa yang engkau 
hendak perintahkan. (An-Naml 
27:33)  
Raja perempuan itu berkata: 
"Sesungguhnya raja-raja, apabila masuk ke sebuah negeri, mereka merosakkannya, 
dan mereka menjadikan penduduknya yang mulia hina-dina; dan sedemikian itulah 
mereka akan lakukan. (An-Naml 
27:34)
"Dan bahawa aku hendak 
menghantarkan hadiah kepada mereka, kemudian aku akan menunggu, apakah balasan 
yang akan dibawa balik oleh utusan-utusan kita" (An-Naml 
27:35) 
 Maka apabila (utusan 
pembawa hadiah itu) datang mengadap Nabi Sulaiman, berkatalah Nabi Sulaiman 
(kepadanya): "Tidaklah patut kamu memberikan kepadaku pemberian harta-benda, 
kerana apa yang telah diberikan Allah kepadaku lebih baik dari apa yang telah 
diberikanNya kepada kamu; (bukan aku yang memandang kepada pemberian hadiah) 
bahkan kamulah yang bergembira dengan hanya kekayaan yang dihadiahkan kepada 
kamu (atau yang kamu hadiahkan dengan perasaan megah). (An-Naml 
27:36)  
"Kembalilah kepada mereka, (jika mereka tidak juga mahu beriman) maka demi sesungguhnya Kami akan mendatangi mereka dengan angkatan tentera yang mereka tidak terdaya menentangnya, dan kami akan mengeluarkan mereka dari negeri Saba' dengan keadaan hina, menjadi orang-orang tawanan." (An-Naml 27:37)
Nabi Sulaiman berkata pula 
(kepada golongan bijak pandainya): "Wahai pegawai-pegawaiku, siapakah di antara 
kamu yang dapat membawa kepadaku singgahsananya sebelum mereka datang mengadapku 
dalam keadaan berserah diri memeluk Islam?" (An-Naml 
27:38)
Berkatalah Ifrit dari golongan jin: "Aku akan membawakannya kepadamu sebelum engkau bangun dari tempat dudukmu, dan sesungguhnya aku amatlah kuat gagah untuk membawanya, lagi amanah". (An-Naml 27:39)
Berkata pula seorang yang 
mempunyai ilmu pengetahuan dari Kitab Allah: "Aku akan membawakannya kepadamu 
dalam sekelip mata!" Setelah Nabi Sulaiman melihat singgahsana itu terletak di 
sisinya, berkatalah ia: "Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku 
adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberianNya. Dan 
(sebenarnya) sesiapa yang bersyukur maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang 
kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi 
hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah". 
(An-Naml 
27:40)  
Nabi Sulaiman berkata pula (kepada orang-orangnya): "Ubahkanlah keadaan singgahsananya itu, supaya kita melihat adakah ia dapat mencapai pengetahuan yang sebenar (untuk mengenal singgahsananya itu) atau ia termasuk dalam golongan yang tidak dapat mencapai pengetahuan yang demikian". (An-Naml 27:41)
Maka ketika ia datang 
mengadap, Nabi Sulaiman bertanya kepadanya: Serupa inikah singahsanamu?" Ia 
menjawab: "Boleh jadi inilah dia; dan kami telah diberikan ilmu pengetahuan 
sebelum berlakunya (mukjizat) ini, dan kami pula adalah tetap berserah diri 
(menjunjung perintah Allah)". (An-Naml 
27:42)  
Dan ia dihalangi (daripada memeluk Islam pada masa yang lalu): apa yang ia pernah menyembahnya (dari benda-benda) yang lain dari Allah; sesungguhnya adalah ia (pada masa itu) dari puak yang kafir. (An-Naml 27:43)
(Setelah itu) dikatakan kepadanya: "Dipersilakan masuk ke dalam istana ini." Maka ketika ia melihatnya, disangkanya halaman istana itu sebuah kolam air, serta dia pun menyingsingkan pakaian dari dua betisnya. Nabi Sulaiman berkata: "Sebenarnya ini adalah sebuah istana yang diperbuat licin berkilat dari kaca". (Mendengar yang demikian), Balqis berdoa: "Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menganiaya diri sendiri dan (sekarang aku menegaskan bahawa) aku berserah diri memeluk Islam bersama-sama Nabi Sulaiman, kepada Allah Tuhan sekalian alam ". (An-Naml 27:44)
sumber dari: menggapaihusnulkhotimah.blogspot.com




















