Friday, 2 August 2013

Yang Benar Itu Berat




Berkatalah benar sekalipun berat. Terimalah kebenaran walaupun pahit!
1. Bukan senang untuk berkata benar dan menyampaikan kebenaran. Sungguh ia susah, berat, dan pahit. Sebab itu kebencian yang dipendam atau tidak dizahirkan ketika seseorang itu mengetahui atau melihat sesuatu kemungkaran berlaku sedang dia tidak mencegahnya, adalah selemah-lemah iman dalam Islam.
2. Kebenaran itu jua sukar untuk diterima, berat untuk dipikul, dan pahit untuk ditelan oleh orang yang disampaikan kebenaran tersebut. Tidak kira usia, jantina, bangsa, dan agama yang dianuti, sesiapa sahaja cenderung memberi respons awal dengan memprotesnya sama ada dengan kata-kata, hujah, dan alasan atau malah melalui tindakan, seolah-olah ia suatu refleks negatif apabila kebenaran disampaikan kepadanya. Dengan kata lain ketika ditegur.
3. Spesifiknya di sini, saya berbicara dalam skop agama Islam, dalam konteks ‘nahi mungkar’.
4. Sebuah perkongsian.. Kita (saya la) susah nak cakap apa yang betul. Mulut begitu berat nak sampaikan apa yang benar kepada orang yang berbuat salah. Kenapa? Sebabnya, yang pertama, sentiasa sedar bahawa diri sendiri sangatlah tidak layak untuk menegur orang lain. Kedua, takut dan risau orang yang ditegur itu terasa, makan hati, rasa down, dan menjauhi kita (saya la lagi).
5. Tapi apa yang memberi kekuatan kepada saya untuk memberi teguran ialah kerana rasa sayang kepada orang tersebut. Walaupun berat untuk menyampaikan, tapi atas nama sayang kepada saudara seagama, saya cuba kuatkan jua diri ini. Dan sebetulnya, kerana pegangan saya pada common sense ‘treat people the way you want to be treated’, saya gagahkan diri jua untuk menegur mereka yang saya sayang.. kerana saya sebenarnya suka untuk ditegur,diingatkan, dan diperbetulkan apabila saya terbuat salah dalam apa-apa hal.
6. Itu tentang menyampaikan kebenaran. Soal menerima kebenaran yang disampaikan pula, saya beranggapan bahawa setiap manusia pasti mempunyai sifat egonya yang tersendiri pada tahap yang tersendiri yang menjadi punca utama kepada refleks negatif atau ‘memberontak’ tatkala dia diberi peringatan dan teguran, atau disampaikan kebenaran. Namun, bukan kerana ego semata-mata seseorang itu menolak kebenaran yang disampaikan. Banyak lagi sebab lain. Antaranya kerana apa yang ditegur berlawanan dengan kesukaannya, tabiat, mahupun adat. Dan kerana kebenaran itu telah menafikan kehendaknya untuk berbuat apa yang disukai oleh diri.
7.Haa~. Itulah dia. Sungguhpun saya memang suka ditegur dan diberi kritikan membina, namun saya juga manusia biasa yang tidak terlepas daripada melakukan kesalahan dan manusia biasa yang turut mempunyai ego yang tersendiri. Tidak dapat tidak dinafikan,diri yang serba kelemahan ini juga ada refleks memprotes teguran yang diberi. Saya pernah memberi respon negatif terhadap kebenaran yang baru mencecah cochlear. Namun seperti yang saya katakan tadi, ia adalah refleks, iaitu tindakan yang berlaku dengan pantas tanpa singgah dahulu di puncak akal untuk berfikir sedalam-dalamnya..dan menimbang betul-betul nilai kebenaran yang disampaikan.
8. Tetapi setelah saya memberi kesempatan kepada akal untuk berfikir dengan baik, bersuluhkan petunjuk-Nya yang terang, saya terima jua kebenaran yang disampaikan.. dengan pada mulanya terselit jua secebis rasa pahit untuk ditelan dalam diri yang dhoif ini. Namun syukur saya diberi nur-Nya (alhamdulillah) untuk menerima bahawa yang benar adalah tetap benar dan yang salah tetap salah.
9. Sesungguhnya, saya bukanlah sengaja mahu buat salah, tetapi jujur saya akui bahawa saya terlepas pandang akan hal itu. Puas saya memikirkan kenapa dan bagaimana saya boleh bertindak demikian sehingga terlepas pandang akan kesalahan yang dilakukan.. Namun tiada jawapan yang saya temui selain menerimanya sebagai satu bentuk ujian Allah, yang tersirat seribu hikmah >> i) Supaya lebih berhati-hati. ii) Mengenal siapa kawan yang baik dan sebenar-benar kawan.
10. Saya memahami kenapa saya ditegur dan bersyukur kerana mempunyai orang yang menyayangi saya dengan sebenar-benarnya kerana berani menyatakan kesilapan yang telah saya lakukan. Pasti dia juga berat untuk menyampaikan kepada saya, tapi atas nama iman dan cinta saudara, ikhlas dia melakukannya. Sangat saya hargai! Terima kasih teman (=
11. Konklusinya, jika kita ditegur..janganlah mudah memprotes. Fikir dahulu dalam-dalam akan kebenaran terhadap apa yang disampaikan. Jangan berhujah menafikan kebenaran yang menyapa akal nikmat kurniaan Tuhan hanya kerana seronok melanggar larangan Tuhan dan bosan mematuhi suruhan Tuhan (astaghfirullah), atau hanya kerana rasa ego tidak boleh ditegur. Terimalah ia dengan berlapang dada, bersyukurlah kerana telah diberi peringatan dan belajarlah melalui kesilapan. Carigalilah hikmah yang tersirat.
(mengertilah…fahamilah, bahawa bukan mudah untuk menyampaikan yang haq, kalau bukan dari iman yang tinggi).
"Dan janganlah kamu campuradukkan kebenaran dengan kebatilan dan (janganlah) kamu sembunyikan kebenaran, sedangkan kamu mengetahuinya." [QS al-Baqarah 2:42]
"Ya Allah, tunjukilah kami bahawa yang benar tetap benar, dan pandulah kami mengikutinya. Dan tunjukilah kami bahawa yang salah tetap salah, dan pandulah kami untuk menjauhinya.."
~Peringatan untuk diri sendiri yang mudah dan sering terleka.
Perkongsian untuk saling mengingatkan..

Tolong...ingatkan aku bila aku pun terleka..



sumber dari: firdausnurul.blogspot.com

No comments:

Post a Comment