Tuesday 13 May 2014

Surah Muhammad : Pengajaran dan Perspektif Untuk Para Du’at









Surah Muhammad merupakan surah ke 47 dalam al-Quran iaitu selepas surah al-Ahqaaf. Dinamakan surah Muhammad kerana ia menerangkan penurunan al-Quran kepada nabi Muhammad. Dalam al-Quran lafaz nabi Muhammad hanya disebut pada empat tempat sahaja. Ayat-ayat tersebut ialah Surah Ali Imran ayat 144, Surah al-Ahzab 40, Surah Muhammad ayat 2 dan Surah al-Fath ayat 29. Surah ini juga dinamakan sebagai surah al-Qital kerana ia membahaskan hukum-hukum berkaitan dengan peperangan sama ada ketika peperangan dan selepas peperangan seperti hukum orang-orang tawanan. Permulaan surah ini mempunyai ikatan yang kuat dengan akhir surah al-Ahqaaf dan sekiranya tidak ada perkataan Bismillah seakan-akan ia merupakan satu ayat.
 
Isi Kandungan Surah :

Surah ini mengandungi tajuk berkaitan dengan jihad, undang-undang peperangan, orang tawanan, harta rampasan, gambaran orang mukmin serta ganjaran dan gambaran orang kafir serta balasan yang akan diterima di akhirat kelak.

Surah ini bermula dengan menerangkan golongan kafir yang merupakan musuh Allah dan kaum muslimin dan kemurkaan Allah ke atas mereka. Di samping itu, Allah menjelaskan golongan mukmin yang Allah reda kepada mereka. Allah menjamin bahawa sesiapa yang menolong Allah pasti mereka akan mendapat kemenangan. Allah juga menjelaskan bagaimana kaum kafir telah musnah disebabkan kedegilan dan kemungkaran yang telah dilakukan.

Surah ini juga mengambarkan keadaan syurga yang diperolehi oleh orang yang beriman dan neraka bagi tempat orang kafir. Allah juga menjelaskan bahawa akan berlaku pertentangan dari golongan kafir terhadap orang mukmin tetapi kita mesti yakin bahawa segala perbuatan mereka itu tidak sedikitpun memudaratkan Allah dan yang pastinya segala amalan mereka menjadi sia-sia dan terbatal. Allah tidak akan mengampuni mereka.

Di samping itu, kaum muslimin wajib taat kepada perintah Allah dan rasulNya. Surah ini diakhiri dengan kembali kepada topik asalnya iaitu berjihad pada jalan Allah sebagai satu-satunya jalan untuk membawa kemuliaan umat, menjauhi segala bentuk yang boleh membawa umat ke arah kemunduran dan kehinaaan. Allah juga menyeru kepada umat Islam supaya menderma harta pada jalan Allah. Al-Tabrani menyebutkan dari Ibn Umar r.a berkata bahawa nabi s.a.w. selalu membaca surah ini ketika solat Maghrib.

Bersesuaian dengan suasana perang dan kekerasan, maka ayat dalam surah ini mengambarkan kedahsyatan bunyi kata-kata yang mengungkapkan gambaran peperangan. Setiap ayatnya di selubungi suasana dan keadaan perang. Bunyi akhir ceraian-ceraian ayat itu berdentum-dentum sejak dari permulaan lagi seolah-olah bunyi letupan bom yang berat iaitu kata-kata ‘amalahum, balahum, amthalahum, ahwa’ahum dan apabila bunyinya perlahan, maka ia seolah-olah bunyi libasan mata pedang di udara iaitu kata-kata awzaruha, amthaluha dan aqfaluha. Dijelaskan juga gambaran suasana peperangan dengan kata-kata yang mengungkapkan gambaran tersebut.Misalnya pertempuran dan pembunuhan diungkapkan :

“ Apabila kamu bertemu dengan orang-orang kafir (di medan pertempuran) maka pancunglah leher mereka.” (Muhammad 4). Suasana ketakutan dan kecemasan pada orang-orang munafik digambarkan dengan satu pemandangan yang keras.

Firman Allah : “ Mereka memandang kepadamu dengan mata terbalalak kerana takut mati.” ( Muhammad 20) Perlu diketahui, bahawa bunyi dalam setiap ayat al-Quran mempunyai pengertian yang tersendiri dalam menjelaskan makna ayat tersebut. Oleh sebab itu, para ulamak menetapkan bahawa orang yang hendak menafsir al-Quran perlu mengetahui bahasa Arab kerana setiap kalimah dan ayat al-Quran itu mempunyai makna dan mesej tersendiri.



sumber dari: lonelymusafir.wordpress.com/

No comments:

Post a Comment